Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah jasad nabi-nabi tidak dimakan tanah atau tidak reput?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, kami katakan bahawa kita semua berasal daripada tanah dan akan kembali ke tanah. Justeru, hendaklah kita bersifat dengan sifat tanah yang rendah diri dan tawadhu. Firman Allah SWT:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

(Surah Taha: 55)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT memelihara dan memaksumkan jenazah para nabi dari dimakan oleh tanah dan bumi tidak seperti orang lain.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini dua hadith:

  • Daripada Aus bin Aus, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَىَّ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلاَتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ يَقُولُونَ بَلِيتَ ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الأَرْضِ أَجْسَادَ الأَنْبِيَاءِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya, daripada seafdhal hari-hari kamu ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam dan padanya juga dimatikannya, dan padanya tiupan sangkakala dan padanya juga berlakunya kebangkitan. Justeru, perbanyakkan selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana selawat kamu akan dibentangkan kepadaku. Perawi berkata, para sahabat bertanya, “Hai, Rasulullah bagaimana dibentangkan selawat kami sedangkan kamu sudah reput atau dimakan tanah?” Sabda Baginda SAW, ‘Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah mengharamkan bagi bumi untuk memakan jasad-jasad para nabi.’

Riwayat Abu Dawud (1047). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih li ghairihi dalam takhrij Sunan Abi Dawud

  • Daripada Aus bin Abi Aus, dan dikatakan Aus bin Aus bapa kepada Amr:

 فأكثروا عليَّ من الصلاةِ فيه فإنّ صلاتَكم معروضةٌ عليَّ قالوا: يا رسولَ اللهِ كيف تعرضُ عليك صلاتُنا وقد أرِمْتَ؟ فقال: إنّ اللهَ ﷿ حرَّم على الأرضِ أن تأكلَ أجسادَ الأنبياءِ.

Maksudnya: “‘Maka, hendaklah kamu memperbanyakkan selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.’ Mereka bertanya, ‘Hai, Rasulullah bagaimana dibentangkan kepadamu selawat kami kerana kamu sudah hancur atau dimakan bumi?’ Sabda Baginda SAW, ‘Sesungguhnya, Allah mengharamkan atas bumi untuk memakan jasad para nabi.’

Riwayat al-Nasa’ie (1374) dan Ahmad (16162). Al-‘Ajluni menyatakan, isnadnya jayyid dalam Kasyf al-Khafa’ (1/190)

Kedua-dua nas ini menunjukkan bahawa jelas jasad para nabi tidak hancur. Bagi menguatkan hujah ini, kami kemukakan beberapa kisah antaranya:

  • Ibn Abi’ al-Dunya meriwayatkan dengan sanad yang hasan – sebagaimana yang dikatakan dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, daripada Abu al-Zinad, katanya:

رَأَيْتُ فِي يَدِ أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ خَاتَمًا، نَقْشُ فَصِّهِ أَسَدَانِ بَيْنَهُمَا رَجُلٌ يَلْحَسَانِ ذَلِكَ الرَّجُلَ، قَالَ أَبُو بُرْدَة: هَذَا خَاتَمُ ذَلِكَ الرَّجُلِ الْمَيِّتِ الَّذِي زَعَمَ أَهْلُ هَذِهِ الْبَلْدَةِ أَنَّهُ دَانْيَالُ، أَخَذَهُ أَبُو مُوسَى يَوْمَ دَفَنَهُ. قَالَ أَبُو بُرْدَةَ: فَسَأَلَ أَبُو مُوسَى عُلَمَاءَ تِلْكَ الْقَرْيَةِ عَنْ نَقْشِ ذَلِكَ الْخَاتَمِ، فَقَالُوا: إِنَّ الْمَلِكَ الَّذِي كَانَ دَانْيَالُ فِي سُلْطَانِهِ جَاءَهُ الْمُنَجِّمُونَ وَأَصْحَابُ الْعِلْمِ، فَقَالُوا لَهُ: إِنَّهُ يُولَدُ لَيْلَةَ كَذَا وَكَذَا غُلَامٌ يعورُ مُلْكَكَ وَيُفْسِدُهُ. فَقَالَ الْمَلِكُ: وَاللَّهِ لَا يَبْقَى تِلْكَ اللَّيْلَةَ غُلَامٌ إِلَّا قَتَلْتُهُ. إِلَّا أَنَّهُمْ أَخَذُوا دَانْيَالَ فَأَلْقَوْهُ فِي أَجَمَةِ الْأَسَدِ، فَبَاتَ الْأَسَدُ وَلَبْوَتُهُ يَلْحَسَانِهِ، وَلَمْ يَضُرَّاهُ، فَجَاءَتْ أُمُّهُ فَوَجَدَتْهُمَا يَلْحَسَانِهِ، فَنَجَّاهُ اللَّهُ بِذَلِكَ حَتَّى بَلَغَ مَا بَلَغَ. قَالَ أَبُو بُرْدَةَ: قَالَ أَبُو مُوسَى: قَالَ عُلَمَاءُ تِلْكَ الْقَرْيَةِ: فَنَقَشَ دَانْيَالُ صُورَتَهُ وَصُورَةَ الْأَسَدَيْنِ يَلْحَسَانِهِ فِي فَصِّ خَاتَمِهِ ; لِئَلَّا يَنْسَى نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ فِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Aku pernah melihat di tangan Abi Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari terdapat sebuah cincin, yang pada mata cincinya diukir gambar seorang lelaki di antara dua singa yang sedang menjilati orang tersebut.” Abu Burdah berkata: “Cincin tersebut adalah milik orang yang sudah menjadi mayat itu, yang penduduk negeri ini mendakwa dan menganggapnya sebagai Danial. Kemudian, Abu Musa mengambil cincin itu pada saat pemakamannya.” Abu Burdah mengatakan: “Kemudian, Abu Musa RA bertanya kepada ulama negeri tersebut mengenai pelukisan cincin tersebut?” Maka, mereka menjawab: “Sesungguhnya, raja yang Danial berada dalam penguasaannya pernah didatangi oleh ahli nujum, lalu mereka berkata kepada raja tersebut:”Sesungguhnya, pada malam sekian dan sekian dilahirkan seorang anak lelaki yang akan merosakkan dan menghancurkan kerajaanmu.” Raja itu berkata: “Demi Allah, tidak ada bayi lelaki pada malam tersebut kecuali aku akan membunuhnya.” Hanya saja mereka menangkap Danial, lalu mereka melemparkannya ke dalam kumpulan singa. Dan ternyata singa itu menjilatinya dan tidak membahayakannya. Kemudian, ibunya datang, lalu dia mendapati kedua singa itu menjilatinya. Sehingga dengan demikian, Allah menyelamatkannya melalui hal tersebut.” Abu Burdah menceritakan, Abu Musa berkata: Para ulama negeri tersebut berkata: “Maka, Danial mengukir gambarnya dan gambar kedua singa yang sedang menjilatinya pada mata cincin, agar dia tidak lupa akan nikmat Allah dalam masalah tersebut.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/379)

  • Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila mereka menakluki Tustar:

فَوَجَدَ رَجُلًا أَنْفُهُ ذِرَاعٌ فِي التَّابُوتِ , كَانُوا يَسْتَظْهِرُونَ وَيَسْتَمْطِرُونَ بِهِ , فَكَتَبَ أَبُو مُوسَى إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بِذَلِكَ , فَكَتَبَ عُمَرُ: إِنَّ هَذَا نَبِيٌّ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ وَالنَّارُ لَا تَأْكُلُ الْأَنْبِيَاءَ , وَالْأَرْضُ لَا تَأْكُلُ الْأَنْبِيَاءَ , فَكَتَبَ أَنِ انْظُرْ أَنْتَ وَأَصْحَابُكَ يَعْنِي أَصْحَابَ أَبِي مُوسَى فَادْفِنُوهُ فِي مَكَانٍ لَا يَعْلَمُهُ أَحَدٌ غَيْرُكُمَا قَالَ: فَذَهَبْتُ أَنَا وَأَبُو مُوسَى فَدَفَنَّاهُ “

Maksudnya: Mereka menemukan jasad seseorang yang hidungnya panjang. Penduduk di sana meminta bantuan dan meminta hujan dengan perantara jasad tersebut. Abu Musa segera menulis surat kepada Umar bin Khattab berkenaannya. Kemudian Umar membalas surat tersebut: ‘Sesungguhnya ini (jasad tersebut) adalah Nabi di antara para nabi. Api tidak akan membakar jasad para nabi dan bumi tidak akan merosakkannya. Hendaklah engkau dan salah seorang sahabatmu menguburkannya di tempat yang tidak ada seorang pun yang mengetahuinya, kecuali kamu berdua’. Kemudian aku dan Abu Musa pergi untuk menguburkannya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah (4/7) dengan sanad sahih

Marilah sama-sama kita mengasihi nabi kita dan mencintainya di samping kita berdoa semoga Allah SWT kurniakan kepada kita teguh dalam iman kita dan kesabaran yang tinggi. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 8)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply