Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan, kalau seseorang meludah sebab rasa sesuatu di dalam mulut, kemudian terkena sejadah lalu kena pakaian, boleh teruskan solat atau tidak? Kemudian kena ganti pakaian dan basuh tak sejadah itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrif ludah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ludah ialah air yang keluar daripada dalam mulut, air liur.[1] Ringkasnya, meludah adalah tindakan menyingkir air liur atau bahan lain dari dalam mulut. Ia biasanya dianggap tidak senonoh dan merupakan pantang sosial di kebanyakan bahagian di dunia, sungguhpun meludah masih boleh dilihat di sesetengah tempat.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577). Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa bagi manusia, apa yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur ada dua jenis. Salah satunya ada suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus. (Lihat al-Mughni, 2/493). Begitulah juga, al-Bajuri menyatakan, sesuatu yang keluar dari saluran lain (selain qubul dan dubur) dihukumkan sebagai suci kecuali muntah yang keluar dari mulut selepas sampai ke dalam perut. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/100).

Oleh itu, jelaslah bahawa hukum asal air liur manusia adalah suci dan bukannya najis sekalipun ia dianggap sebagai jijik oleh sebahagian manusia.

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sejadah atau pakaian yang terkena air liur atau ludah adalah tidak mengapa dan solat yang didirikan dengan memakai pakaian itu tetap dianggap sah.  Hal ini kerana air liur manusia adalah kekal suci sebagaimana hukum asalnya melainkan diyakini pada air liur itu telah bercampur dengan najis berdasarkan kepada tanda-tanda kenajisannya.

Kami pernah melihat guru kami ketika solat mengambil sapu tangan atau tisu dan meludah ke dalamnya kemudian dimasukkan ke dalam poket. Hal ini terjadi ketika di dalam Masjid al-Nabawi.

Lebih-lebih lagi, air liur turut dihukumkan sebagai suci kerana ia merupakan cabang kepada hukum asal iaitu manusia yang dihukumkan sebagai suci. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117)

Begitu juga, jika timbul keraguan berkenaan air liur itu dan tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kepada kenajisannya, maka ia kekal sebagaimana hukumnya yang asal, iaitu suci. Ini bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya:Hukum asal sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/13)

Begitu juga dengan kaedah:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya:Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).” (Lihat al-Qawaid li al-Hisni, 1/204).

Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang itu syak berkenaan kesucian air liur yang terkena pada pakaiannya, maka syak yang datang itu sedikit pun tidak menjejaskan kesucian air liur yang asalnya sudah diyakini akan kesuciannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ludah. Diakses pada 14 Ogos 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ludah. Diakses pada 14 Ogos 2023.

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply