Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perokok berhak mendapat zakat atau sedekah kerana sebagaimana diketahui bahawa dia mengeluarkan banyak wang semata-mata demi untuk membeli rokok?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hukum Merokok

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu berkenaan hukum merokok.

Merokok merupakan perbuatan yang haram sebagaimana yang telah dinyatakan oleh majoriti ulama khususnya ulama kontemporari pada masa kini. Bahkan isyarat mengenai keharamannya juga ada dinyatakan oleh ulama terdahulu. Misalnya, Imam al-Syafi‘i telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur, kitab al-Umm (2/270) iaitu: “Jika mereka mengambil sesuatu yang memabukkan, perbuatan itu adalah haram. Begitu juga sesuatu yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku berpendapat hukumnya juga adalah haram. Hal ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan perbuatan membunuh manusia, kemudian mengharamkan perbuatan membunuh diri mereka sendiri secara khusus.”

Begitu juga Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, dalam Fath al-Mubin (hlm. 232) tentang dua alasan mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam, iaitu:

  • Ia menimbulkan kerosakan atau mendatangkan kemudaratan yang tersembunyi seperti zina dan sembelihan orang Majusi.
  • Ia menimbulkan merosakkan atau mendatangkan kemudaratan yang jelas (pada tubuh badan) seperti racun dan arak.

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan, perkara yang boleh mengganggu dan menutupi fikiran, ia suci walaupun mengambilnya dan menghisapnya adalah haram. Sebahagian guru-guru kami menyatakan, termasuk juga merokok, kerana ia membuka saluran badan dan menyediakan mereka untuk menerima kemudharatan berbahaya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/79).

Di antara ulama kontemporari yang menyebutkan mengenai pengharaman rokok ialah Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Bekas Mufti Mesir. Beliau ada mengupas hukum merokok itu:

“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama-ulama fiqah daripada pelbagai mazhab Islam pun telah membincangkannya untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip (kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus? Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram atau makruh.”

Antara sebab yang mengubah hukum ini ialah kesan bahayanya kepada perokok itu sendiri sama ada banyak ataupun sedikit, kepada hartanya atau kepada kedua-duanya sekali, atau dengan sebab merokok itu boleh membawa kepada kerosakan dan mensia-siakan hak seperti tidak memberi makanan kepada isteri, anak-anak dan orang yang wajib di bawah tanggungannya. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, 2/112-113).

Begitu juga al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, Syeikh al-Azhar Mesir menyebutkan mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta bahawa walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang membahayakan terhadap kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap orang lain yang tidak merokok.

Para doktor telah menganalisis kandungan komponen-komponen tembakau dan mereka menemukan bahan racun yang wujud di dalam kandungan tembakau, yang mana racun ini boleh membunuh (melenyapkan) kebahagiaan dan kegembiraan seseorang secara perlahan-lahan.

Jika demikian halnya, tidak diragukan lagi bahawa menghisap tembakau adalah suatu yang menyakitkan dan memudaratkan. Dalam pandangan Islam, sesuatu yang menyakitkan dan memudaratkan itu adalah ‘خبث’ (keji, jijik, buruk, jahat) yang mesti dijauhi. (Lihat al-Fatawa: Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu‘asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah al-‘Ammah, hlm. 384).

Tambahan lagi, pendapat haramnya rokok ini juga merupakan pendapat Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri[1], Dr. Yusuf al-Qaradhawi[2], Syeikh Nasr Farid Wasil[3], Syeikh Abdullah Ababatein[4], Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin[5], Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘i[6], Syeikh Muhammad al-Siba‘i[7], Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di[8], Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz[9], Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad[10], Syeikh Mustafa al-‘Adawi[11], Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti[12], Dr. Wahbah al-Zuhaili[13] dan ramai lagi.

Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan Fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, Arab Saudi. Melalui melalui himpunan fatwa yang dibukukan oleh Syeikh Ahmad ‘Abd al-Razak al-Darwij. Cetakan Keempat 2003M, 22/178. Bilangan fatwa ke-36 no, 515, menyatakan bahawa hukum merokok adalah haram.

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, yang telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Di antara sebab pengharaman tersebut adalah kerana merokok itu membahayakan kesihatan bukan sahaja kepada pelakunya tetapi juga kepada orang yang berada di sekelilingnya. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.)

Selain itu seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, rokok mengandungi banyak racun dan bahan toksik. Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok seperti matanol, nitrobenzena, butana, kadmium, sianida dan lain-lain.[14]

Di samping itu, merokok juga termasuk dalam perbuatan membazir wang atau harta benda pada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا. إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-27)

Imam Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla (7/503) menegaskan: “Pemborosan adalah haram.” Yang dimaksudkan dengan pemborosan, antara lain adalah membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, sama ada banyak ataupun sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan. Membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil. Membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.

Berkenaan isu merokok ini juga, kami telah mengupasnya dengan panjang lebar dalam Kajian Ilmiah kami yang bertajuk: Pengharaman Rokok: Kesan dan Penyelesaian.[15]

Berkaitan persoalan di atas, kami nukilkan fatwa daripada Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut: Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا، وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ.

Maksudnya: “Janganlah kamu menjadikan teman kecuali seorang mukmin, dan janganlah ada yang memakan bekalmu kecuali orang yang bertakwa.”

Riwayat Abu Daud (4832) dan al-Tirmizi (2395). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Orang yang ingin mengeluarkan zakat hendaklah mencari orang yang baik dan bertakwa atau yang sangat memerlukan. Adapun orang yang merokok adalah orang yang ketagihan.

Namun, sekiranya penghasilannya (orang yang merokok itu) tidak cukup untuk dirinya dan keluarganya, maka boleh memberikan zakat kepadanya, terlebih lagi jika dia adalah kerabat, dan maksiat tidak menjadi penghalang untuk mengambil zakat, meskipun yang lebih diutamakan adalah orang yang taat. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 42)

Penutup

Dua isu yang berlainan, pertama iaitu perokok yang suka merokok dan menjadi ketagihan. Sedangkan yang kedua pula, pemberian zakat. Ia merupakan dua perkara yang tidak sama tetapi sekurang-kurangnya ada kaitan. Jika sekiranya perokok termasuk di kalangan asnaf yang berhak menerima zakat kerana fakir atau miskin. Maka, dia berhak menerima zakat.

Kami syorkan juga agar pemberi zakat agar memberi nasihat kepadanya supaya duit yang diberikan itu tidak digunakan untuk membeli rokok tetapi untuk memberi manfaat kepada keluarganya seperti membeli makanan dan minuman.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Wallahu a’lam

[1] Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/9

[2] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/2248 Diakses pada 8 Ogos 2022.

[3] Lihat https://www.albayan.ae/five-senses/2000-03-06-1.1035132 . Lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=1RpJzkLfn2Q Diakses pada 8 Ogos 2022.

[4] Lihat al-Durar al-Sunniah fi Ajwibah al-Najdiah, 15/63.

[5] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2; Lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=Vy499wv216M.

[6] Lihat Ahsan al-Kalam fi ma Yata’allaqu bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, hlm. 66.

[7] Lihat Ahsan al-Kalam fi ma Yata’allaqu bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, hlm. 66.

[8]  Lihat Fatawa al-Sa‘diyyah, hlm. 591.

[9] Lihat Mausu‘ah al-Ahkam wa al-Fatawa al-Syar‘iyyah, hlm. 1199.

[10] Lihat Syarh Arba‘in al-Nawawiyah li al-Abbad, 20/37.

[11] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=EXlwxhdHmGM. Diakses pada 2 Ogos 2022.

[12] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=vA_TzGINsRU; https://www.youtube.com/watch?v=u_eoAbmgrL4.  Diakses pada 2 Ogos 2022.

[13]  Lihat Fatawa Mu‘asirah, hlm. 81.

[14] Lihat https://www.infosihat.gov.my/isu-semasa/43-bahaya-merokok.html.

[15] Lihat https://maktabahalbakri.com/product/pengharaman-rokok-kesan-dan-penyelesaian/

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply