Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum niat zikir ketika takbir intiqal kuat ketika menjadi imam, adakah batal solat seluruh jemaah sekiranya tidak niat zikir setiap kali takbir intiqal dalam satu solat?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya kita diperintahkan untuk mendirikan solat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وصَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.”

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Ringkasnya, takbiratul intiqal ialah takbir yang diucapkan ketika perpindahan antara rukun melainkan apabila bangkit daripada rukuk tidak disunatkan untuk bertakbir akan tetapi mengucapkan “سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَه، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمِدُ” sebagai gantinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/153).

Di antara hikmah disyariatkan bertakbir ketika turun dan naik (dalam pergerakkan solat) adalah kerana seorang mukallaf diperintahkan untuk berniat pada awal solatnya yang diikuti dengan bertakbir. Maka menjadi haknya untuk dia berpada dengan niat tersebut (mengiringinya) sehingga akhir solatnya. Oleh itu, dia diperintahkan untuk memperbaharui akad di dalam solatnya dengan bertakbir yang merupakan syiar niat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/208).

Jumhur fuqaha dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i berpendapat bahawa takbiratul intiqal termasuk dalam perkara-perkara sunat solat. Ibn al-Munzir menyebutkan, inilah juga pendapat Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Jabir, Qais bin ‘Ubadah, al-Sya‘bi, al-Auza‘i, Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz, Abu Hanifah, Malik, dan Syafi‘i. Begitu juga Ibn Battal turut menukilkannya daripada Uthman, Ali, Ibn Mas‘ud, Ibn Umar, Abu Hurairah, Ibn al-Zubair, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur.

Dalil pendapat jumhur fuqaha tersebut adalah berdasarkan kepada hadith “al-Musi’ Solatahu” di mana Nabi SAW mengajarkan kepadanya solatnya. Maka Baginda mengajarkan kepadanya perkara-perkara wajib solat dan Baginda menyebutkan, di antaranya ialah takbiratul ihram dan tidak menyebutkan pula mengenai takbiratul intiqal. Sedangkan ini merupakan tempat dan waktu untuk memberikan penjelasan (berkaitan solat) dan tidak boleh untuk menangguhkannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/207; 27/92; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/193-194).

Manakala hadith-hadith yang sabit mengenai takbir pada setiap pergerakan turun dan naik dalam perbuatan solat difahami sebagai sunat. Di antaranya hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa:

كانَ رَسولُ اللهِ ﷺ إِذَا قَامَ إِلَى الصَّلاةِ يُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْكَعُ ثُمَّ يقولُ: سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَهُ حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرُّكُوعِ ثُمَّ يقولُ: وهو قائِمٌ رَبَّنا ولَكَ الحَمْدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَهْوِي ساجِدًا، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَسْجُدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يَفْعَلُ مِثْلَ ذلكَ في الصَّلاةِ كُلِّها حتّى يَقْضِيَها ويُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ مِنَ الـمَثْنى بَعْدَ الجُلُوسِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila mendirikan solat, Baginda akan bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika rukuk, kemudian mengucapkan, ‘سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَهُ’ ketika mengangkat tulang rusuknya dari rukuk, kemudian Baginda membaca — dalam keadaan berdiri — ‘رَبَّنا ولَكَ الحَمْدُ’ kemudian Baginda bertakbir ketika turun sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, kemudian bertakbir ketika sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, kemudian melakukan seperti itu dalam solat semuanya hingga menyelesaikannya, dan bertakbir ketika berdiri daripada rakaat kedua setelah duduk.”

Riwayat Muslim (392)

Hadith di atas mengandungi pengisbatan takbir dalam setiap perbuatan turun dan naik dalam solat melainkan ketika bangun daripada rukuk kerana ketika itu Baginda mengucapkan, “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”. Selain itu, menurut Imam al-Nawawi, takbiratul ihram hukumnya adalah wajib, manakala takbir selainnya pula adalah sunat. Jika ditinggalkan, solatnya masih lagi dianggap sah, tetapi dia telah terlepas daripada mendapat ganjaran dan kelebihannya. Pendapat yang menyatakan hukumnya adalah sunat merupakan pendapat keseluruhan ulama kecuali Imam Ahmad bin Hanbal dalam salah satu riwayatnya menyatakan bahawa semua takbir hukumnya adalah wajib. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/98).

Antara perbezaan utama antara solat Imam dan jemaah adalah Imam mengangkat suara dengan takbir, manakala makmum bersuara secara perlahan. Beberapa hadis Nabi telah menunjukkan kepada perkara ini, dengan sepakat para ulama, dan amalan kaum Muslimin di masjid-masjid mereka di seluruh dunia. Diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.A, katanya:

كَانَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكَبِّرُ فِي كُل خَفْضٍ وَرَفْعٍ وَقِيَامٍ وَقُعُودٍ، وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW bertakbir dalam setiap perbuatan turun, naik, berdiri dan duduk (dalam solat). Begitulah juga Abu Bakar dan Umar R.Anhuma (turut melakukannya).”

Riwayat al-Tirmizi (253) dan beliau menilainya hasan sahih

Manakala Imam Ahmad bin Hanbal dalam pendapatnya yang masyhur menyatakan bahawa takbir ketika turun dan naik (dalam perbuatan solat) adalah wajib. Ini juga merupakan pendapat Ishaq bin Rahawaih dan Daud. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/207-208; 27/92; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 1/298).

Sesungguhnya hanya imam yang disyariatkan untuk mengangkat suara dengan takbir agar makmum dapat mengikutinya. Namun, bagi makmum atau yang solat bersendirian, tidak ada keperluan untuk meninggikan suara dengan takbir.

Dalam Maraqi al-Falah yang merupakan kitab daripada ulama mazhab Hanafi: “Adalah sunnah bagi imam meninggikan suara dengan takbir dan memperdengarkannya semata-mata untuk memberi maklum tentang permulaan dan peralihan solat. Tidak ada keperluan bagi orang yang solat bersendiri seperti makmum untuk meninggikan suara takbirnya. (Lihat Maraqi al-Falah, hlm. 97)

Imam al-Nawawi juga menyatakan: “Bagi yang bukan imam, sunnah adalah bersuara dengan takbir secara perlahan sama ada yang solat sebagai makmum atau yang solat bersendirian. (Lihat al-Majmu’, 3/295)

Niat Zikir Ketika Takbir Bagi Imam

Dalam mazhab al-Syafi’i, sekiranya sesorang itu bertakbir dengan suara yang kuat dengan tujuan selain daripada zikir dan solat seperti dengan niat untuk bercakap, maka ia membatalkan solat sebagaimana pendapat kebanyakan fuqaha’. Antara dalil dan hujjah yang mereka gunakan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Muawiyah bin al-Hakam al-Sulami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya:Sesungguhnya solat itu tidak boleh disertai dengan percakapan manusia. Yang layak dalam solat adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran”

Riwayat Muslim (537), Abu Dawud (930), al-Nasaie (1218) dan Ahmad (23767)

Al-Khatib al-Shirbini berkata: ‘Perbahasan ini berlaku pada hal meninggikan suara ketika takbir ataupun memperdengarkan takbir tersebut, jika niatnya hanya untuk bertakbir atau menperdengar takbir dengan sekadar memberi maklum, solatnya tidak menjadi batal. Namun, jika tidak, solat menjadi batal.’ (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/414).”

Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Disunatkan meninggikan suara ketika takbir intiqalat sama seperti dengan takbiratul ihram bagi imam, demikian juga bagi muballigh jika terdapat hajat padanya, tetapi mesti dengan niat zikir atau memperdengarkannya. Dan jika tidak, maka batal solatnya sebagaimana yang telah dikatakan oleh gura kami dalam syarah al-Minhaj.” (Lihat Fath al-Mu’in, 1/154)

Al-Qalyubi berkata: “Guru kami berkata, dan tidak boleh meninggalkan niat zikir dalam setiap takbir. Manakala al-Khatib berpendapat adalah memadai dengan niat itu dalam semua solat pada takbir pertama (takbiratul ihram). (Lihat Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 1/215)

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Dan disunnahkan bagi imam untuk meninggikan suara dengan takbir secara jelas ketika takbiratul ihram dan takbir intiqal. Begitu juga muballigh. Namun, Mereka mesti berniat berzikir atau mempedengarkan takbir, jika tidak, solatnya batal.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/18)

Kesimpulan

Justeru, dalam hal ini, kami simpulkan bahawa seorang imam disyariatkan untuk memperdengarkan takbir bagi memudahkan makmum untuk mengikutinya. Manakala, berkenaan dengan niat zikir pada takbir itu, kami katakan bahawa ucapan takbir dalam perbuatan intiqalat antara rukun itu sendiri adalah satu zikir sebagaimana bacaan-bacaan lain dalam solat. Tetapi jika diucapkan dengan menghayati makna zikir itu, ia lebih sempurna dan tidak disyaratkan meniatkan zikir itu secara khusus.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply