Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ingin bertanya adakah makhluk jin itu berjantina ? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.
(Surah al-Zariyat: 56)
Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52)
Imam Al-Qadhi Badr Al-Din Al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan golongan jin termasuk dalam kalangan mukallaf dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. (Lihat Akam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, hlm. 63)
Golongan jin terbahagi kepada dua iaitu ada yang beriman dan ada juga yang kafir. Ini Sebagaimana yang telah dikhabarkan dalam firman Allah SWT:
وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا
Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.
(Surah al-Jin: 14)
Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Munir, 29/170 )
Jin itu meliputi syaitan dan makhluk yang baik. Syaitan diciptakan untuk memikat dan menyesatkan manusia, sementara yang baik daripada mereka adalah mereka yang berpegang teguh kepada agama mereka. Mereka memiliki masjid-masjid dan melaksanakan solat dalam batasan pengetahuan yang mereka miliki, walaupun kebanyakan dari mereka masih lemah dalam pengetahuan. (Lihat Tuhfah al-Mujib a’la Asila Hadir wa al-Gharib,hlm.373)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan di sini Jin itu seperti manusia iaitu ada yang jantan dan ada juga yang betina. Hal yang demikian diceritakan dalam firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
(Surah al-Jin: 6)
Syaikh Abu Bakar al-Jazairi meyatakan: Mereka memberitahu tentang perkara yang luar biasa, iaitu terdapat lelaki dari kalangan manusia, termasuk orang Arab dan lain-lain, apabila mereka turun ke suatu tempat yang menakutkan di lembah atau gunung, mereka mencari perlindungan dengan merayu kepada jin jantan. Contohnya, seorang lelaki berkata: “Aku berlindung kepada tuan lembah ini daripada kebodohan kaumnya.” Manusia menjadikan jin-jin itu sebagai perlindungan dari dosa dan perbuatan zalim. (Lihat Aisar al-Tafasir,5/448)
Begitu juga diceritakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW apabila ingin masuk ke tandas baginda berdoa:
للهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ
Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”.
Riwayat Bukhari (139)
Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan الخُبُثِ dalam hadith di atas ialah jantan dari kalangan jin manakala الخَبائِثِ pula membawa maksud betina dari kalangan mereka. (Lihat Matali’ al-Anwar ‘ala Sahah al-Athar,2/406)
Justeru kami katakan, jelaslah daripada nas-nas yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa hakikat kejadian jin itu adalah berjantina seperti manusia iaitu ada dari kalangan mereka jantan dan ada juga betina. Di kesempatan ini juga kami nasihati supaya sentiasalah mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur daripada al-quran mahupun hadith agar kita terhindar daripada kejahatan jin dan syaitan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada godaan dan tipu daya syaitan. Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ
Maksudnya: Kami berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari murka dan seksa-Nya, dan dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaaan syaitan, serta daripada kedatangan mereka kepada kami.
Wallahu a`lam
Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445