Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sempena dengan Maal Hijrah ini, bagaimana bagi seorang pelajar untuk berhijrah ke arah yang lebih baik?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam hijrah ada ketenangan dalam ketegangan, ada bantuan ketika kesusahan. Inilah roh Ma’al Hijrah – “bersama” hijrah yang kita sambut setiap tahun. Ia janji bagi sebuah ketenangan dan kemenangan. Firman Allah SWT:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 40)

Pada bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu adalah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”

Dari segi istilah, ianya dapat difahami melalui:

  • Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Mekah menuju ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda. Perpindahan ini kerana semata-mata agama dan bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
  • Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika niatnya kerana Allah, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syara’.
  • Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, sepertimana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Mekah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh al-Najasyi.”

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah.

Sabda Rasulullah SAW:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang.”

Riwayat al-Bukhari (10) dan Muslim (40)

Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah SAW memperincikan lagi maksud ini kepada meninggalkan dosa dan maksiat. Sabda Rasulullah SAW:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

Maksudnya: “Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.”

Riwayat al-Tirmizi (1261), Ibn Majah (3934) dan Ahmad (23004). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij al-Musnad.

Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.

Ketika menghuraikan hadis ini, Mulla Ali al-Qari menjelaskan:

لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا

Maksudnya: “Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/108)

Kami syorkan di sini khasnya kepada pelajar untuk berhijrah:

  • Mulakan bangun awal pada setiap pagi, sebaik-baiknya sebelum Subuh dan pastikan solat qiyamullai pada waktu malam tersebut dan juga diakhiri dengan witir.
  • Rancang penjadualan sehari atau pada malam sebelum tiba waktunya. Ini kerana, perancangan yang baik dan awal pasti membawa kepada kehidupan yang tersusun dalam merangka tindakan hariannya.
  • Pastikan homework, kerja khusus dan sebarang taklifan daripada pihak guru atau pensyarah disiapkan sebelum jadual serahan yang dikehendaki.
  • Pelajar hendaklah sentiasa berinteraksi dengan baik di samping mempunyai maklumat terlebih dahulu ketika masuk kelas. Ini sudah tentu menghasilkan kebaikan yang banyak dan akan disayangi oleh guru.
  • Jangan sekali-kali abaikan semangat ingin menambah ilmu dan itulah cita-cita yang mesti ditajdidkan setiap hari.
  • Masa belajar adalah terhad dan terbatas, justeru, gunakanlah waktu yang ada ini untuk menambahkan ilmu sebanyak mungkin sama ada secara formal dan
  • Bacalah dan bacalah sebagai satu amalan yang terbaik dalam diari dan kamus pelajar. Ini sudah tentu akan memberi kematangan serta pengetahuan yang luas kepada pelajar tersebut.
  • Hormatilah guru, pensyarah, ibu bapa dan kawan-kawan kerana ini kunci adab dan nilai keperibadian seseorang yang patut dimiliki oleh seseorang pelajar.
  • Banyakkan berdoa sebagai mana yang dianjurkan oleh Islam kerana ini akan mendapat keberkatan daripada Tuhan dan dimudahkan segala urusan.
  • Rujuklah buku-buku yang terkait dengan adab dan menuntut ilmu. Kami syorkan bacalah buku kami Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply