Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika najis bercampur dengan sabun adakah memadai hilangnya kesan najis sahaja atau kesan sabun juga perlu dihilangkan? Adakah kesan sabun yang sukar dihilangkan seperti bau dan rasa licin dimaafkan pada syarak? Contohnya, saya membasuh tangan yang terkena najis dengan sabun dan dibilas dengan air mutlak tetapi kesan sabun seperti bau dan licin masih ada.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah, dan najis mughallazah. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya. Najis mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun. Manakala najis mutawassitah ialah apa yang selain daripada kedua-dua jenis najis yang telah disebutkan seperti seperti air kencing, najis haiwan, darah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41).

Kami andaikan soalan di atas merujuk kepada cara membersihkan najis mutawassitah kerana kebiasaannya najis mukhaffafah dan najis mughallazah tidak memerlukan kepada penggunaan sabun. Secara umumnya, cara membersihkan najis mutawwasitah adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi.

Manakala sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ). Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya juga adalah dikira sebagai suci.

Begitu juga, belum lagi dikira suci, jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak tiga kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun bau dan warna sekali, atau yang tinggal hanya rasanya sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183).

Kesimpulannya

Dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa jika sabun itu digunakan ketika ain najis masih lagi ada, maka ain sabun itu juga hendaklah dihilangkan kerana ia dikira sebagai mutanajjis (terkena/bercampur dengan najis). Caranya adalah dengan membilasnya dengan air bersih sehingga hilang kesan najis dan sifat-sifatnya itu.

Begitu juga, jika sabun itu digunakan setelah ain najis itu dihilangkan seperti bagi tujuan menghilangkan bau dan warna yang terhimpun sekali, maka memadai dengan hilangnya kesan najis itu, setelah dibilas dengan air bersih selepasnya. Adapun bau sabun dan kesan sabun seperti licin yang ditinggalkan selepas dibilas dengan air bersih adalah tidak mengapa. Apatah lagi, sekiranya yang tinggal daripada sifat najis hanya bau semata-mata termasuk dalam perkara yang dimaafkan (iaitu dikira suci), maka bau sabun yang ditinggalkan setelah dibilas dengan air mutlak adalah lebih-lebih lagi utama — yakni tidak mengapa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply