Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah wanita haid duduk dalam surau bertaraf solat jumaat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/168)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wnaita yang sedang dalam keadaan haidh.

Sunan Abi Dawud (232) dan Sunan Ibn Majah (645)

Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Authar, 1/288)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1486: Pelajar Haid Berada di Surau Bagi Sesi Pembelajaran[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak boleh bagi perempuan haid untuk masuk ke surau jumaat kerana ia menepati ciri-ciri masjid. Namun, jika sekadar melalui kawasan masjid/surau jumaat atau duduk diluar ruangan solat, maka tidak menjadi masalah.

Kami syorkan agar pihak masjid atau surau Jumaat menyediakan dewan yang khas bagi wanita yang haid untuk terus dapat menimba ilmu dan mempelajarinya tanpa merasa sebarang keraguan serta syak. Sesungguhnya, mempelajari ilmu bukan semata-mata diwajibkan kepada lelaki tetapi ia umum termasuklah wanita. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

‏ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam.”

Riwayat Ibnu Majah (224), al-Bazzar (6746) dan Abu Ya’la (2837). Al-‘Iraqi menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Ihya’ (1/16)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1]https://maktabahalbakri.com/1486-pelajar-haid-berada-di-surau-bagi-sesi-pembelajaran/

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply