Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca satu hadith, bahawa solat malam hingga pertengahan malam sahaja. Benarkah begitu ustaz. Sedangkan yang saya tahu, waktu akhir solat Isyak adalah apabila masuknya solat Subuh. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan.

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Waktu solat Isyak adalah sehingga pertengahan malam.”

Riwayat Muslim (612)

Hadith di atas merupakan hadith sahih sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, apabila Baginda ditanya berkenaan waktu-waktu solat.

Selain itu, terdapat juga hadith lain yang menyebut tentang perbuatan Nabi SAW melewatkan solat Isyak sehingga ke pertengahan malam, iaitu hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَخَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ العِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ صَلَّى، ثُمَّ قَالَ: قَدْ صَلَّى النَّاسُ وَنَامُوا، أَمَا إِنَّكُمْ فِي صَلاَةٍ مَا انْتَظَرْتُمُوهَا

Maksudnya: “Nabi SAW pernah melewatkan solat Isyak ke pertengahan malam. Kemudian Baginda SAW solat. Setelah itu, Baginda SAW bersabda setelah menunaikan solat: “Manusia semuanya telah selesai menunaikan solat, lalu mereka tidur. Adapun kamu akan terus berada di dalam solat walaupun dalam tempoh menunggumu untuk menunaikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (572)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut bahawa maksud waktu solat Isyak sehingga pertengahan malam adalah waktu ikhtiyar (terpilih). Adapun waktu yang jawaz (dibenarkan untuk solat) berlangsung sehinggalah sebelum terbitnya fajar (fajar sadiq). (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/111)

Maksud waktu ikhtiyar adalah iaitu Allah telah memilih waktu tersebut untuk ditunaikan solat sekiranya dia tidak melakukannya pada waktu yang afdhal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 181) Dengan itu, waktu ikhtiyar bagi solat Isyak bermula selepas berakhirnya waktu afdhal sehinggalah satu pertiga awal malam.

Pendapat Imam al-Nawawi ini disokong dengan hadith yang umum bahawa waktu sesuatu solat itu berakhir dengan datangnya atau masuknya waktu solat yang seterusnya, sepertimana dijelaskan dalam hadith daripada Abu Qatadah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ فِيَّ النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ عَلَى مَنْ لَمْ يُصَلِّ الصَّلَاةَ حَتَّى يَجِيءَ وَقْتُ الصَّلَاةَ الْأُخْرَى

Maksudnya: “Tidaklah dianggap meremehkan solatnya bagi seseorang yang tidur itu. Adapun orang yang meremehkan solat itu adalah orang yang tidak solat dengan satu solat sehingga datangnya waktu solat yang seterusnya.”

Riwayat Muslim (681)

Dalam memahami hadith ini, Syeikh Zakariya al-Ansari menyatakan bahawa hadith ini secara zahirnya menunjukkan berterusannya waktu setiap solat itu, sehinggalah masuknya waktu solat yang seterusnya daripada solat lima waktu, melainkan solat Subuh kerana apabila tiba waktunya, akan keluarnya fajar sadiq. (Lihat Fath al-Wahab, 1/36)

Secara ringkasnya, berkenaan waktu berakhirnya solat Isya’ ini, para ulama berbeza pendapat kepada tiga pandangan, iaitu:

  • Solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam.
  • Solat Isyak berakhir pada separuh malam.
  • Solat Isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/215)

Pendapat yang muktamad di dalam mazhab al-Syafi’ie menyatakan bahawa tamatnya waktu Isyak adalah apabila terbitnya fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat Isyak adalah sehingga sepertiga malam, dan dalam pendapat yang lain, sehingga pertengahan malam. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ

Maksudnya: “Sekiranya aku tidak risau akan memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka untuk melewatkan Isyak sehingga satu pertiga malam, atau separuh malam.”

Riwayat al-Tirmizi (167)

Kemudian waktu jawaz (dibolehkan solat) berlangsung sehingga sebelum waktu Subuh. Ada juga sebahagian ulama’ yang berkata bahawa makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/167)

Penutup

Walaupun masalah ini khilaf, kami berpendapat solat Isyak boleh dilakukan selama mana sebelum Subuh. Hal ini berdasarkan himpunan dan kefahaman kami berkenaan dengan nas-nas. Kami juga berpendapat ia dilakukan pada awal waktu adalah lebih baik jika terdapatnya jemaah yang ramai seperti di masjid atau di surau. Dan inilah yang menjadi ghalib serta kebiasaan Rasulullah SAW dalam menunaikan solat Isyak berjemaah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply