Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh saya tahu, apakah perang yang terakhir yang diikuti oleh Rasulullah SAW di akhir hayat Baginda?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya: “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Dalam menjawab persoalan di atas, perang yang terakhir yang diikuti oleh Rasulullah SAW adalah Perang Tabuk, yang berlaku pada bulan Rejab, tahun 9 H. Perang ini merupakan peristiwa yang meneguhkan tiang-tiang negara Islam, sekaligus membuka jalan untuk menakluki Syam.

Peperangan Tabuk: Kekuatan Tentera Islam dan Natijah Peperangan

Tentera Islam dalam peperangan ini adalah seramai 30,000 tentera. Sebelum bertolak ke Tabuk, umat Islam berlumba-lumba mengeluarkan biaya melalui harta benda mereka. Uthman bin Affan menyediakan sebanyak 200 ekor unta yang lengkap dengan pelana dan kain lapiknya, di samping wang sebanyak 200 uqiyah (1 uqiyah bersamaan 40 dirham). Ia berlaku di kawasan yang terletak di antara Wadi al-Qura dan al-Syam, utara Hijaz, dan kota ini menghadap ke arah Laut Merah, dan atas sebab ini ia dianggap sebagai titik pertemuan antara Semenanjung Arab dan Rom. Ia berasal dari daerah Quda‘ah, yang berada di bawah pemerintahan orang Rom pada masa itu.

Perang ini tercetus sebagai suatu tindak balas terhadap orang Rom dan kaum musyrikin Arab yang ingin menghapuskan kekuatan Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW, yang mana selepas pembukaan kota Makkah ia dianggap sebagai ancaman besar buat penganut ajaran paganisme (penyembahan berhala) dan syirik di seluruh dunia. Sekalipun begitu, tujuan utama pasukan ini dihantar adalah untuk menyeru orang-orang musyrikin kepada agama Allah dan sebagai membenarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).”

(Surah al-Taubah: 123)

Apabila Nabi SAW sampai ke wilayah Tabuk, Baginda mendapati bahawa tentera Rom telah melarikan diri kerana takut kepada tentera Islam. Kemudian Baginda berbincang dengan para sahabatnya mengenai menyeberangi sempadan Syam. Lalu Umar bin al-Khattab R.A mencadangkan agar tentera Islam kembali ke Madinah kerana berperang di negeri Rom adalah sangat sukar, apatah lagi bilangan tentera mereka juga sangat ramai iaitu hampir dua ratus setengah ribu. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh menjadikan kota-kota mereka sebagai kubu pertahanan, sekali gus membuatkan memerangi mereka di sana adalah lebih sukar berbanding peperangan di padang pasir. (Lihat al-Syura Faridhah Islamiyyah oleh Ali al-Salabi, hlm. 33).

Justeru, dalam peperangan Tabuk ini telah mendatangkan beberapa natijah iaitu:

  • Tentera Muslimin telah memperoleh kemenangan tanpa tercetusnya perlawanan kerana musuh-musuh mereka telah melarikan diri ke arah utara dan mengosongkan medan perang, termasuklah juga daripadanya Dumah al-Jundal dan Imarah Ailah (yang berada di bahagian atas teluk al-‘Aqabah). Mereka telah membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk tunduk di bawah kerajaan Islam.
  • Akibat daripada peperangan itu juga, martabat atau kewibawaan orang Rom telah jatuh atau tercalar di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini kerana dahulunya mereka terkenal sebagai pasukan yang kuat dan tidak dapat dikalahkan.
  • Peneguhan kekuatan negara Islam dan penyatuan Semenanjung Tanah Arab di bawah pemerintahan Rasulullah, di samping kabilah-kabilah bersegera untuk mengisytiharkan keislaman mereka terutamanya selepas Islam sampai di sempadan negeri Rom. Seterusnya terhasillah perjanjian-perjanjian damai seperti perjanjian damai bersama Najran di Selatan di mana mereka perlu membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Oleh sebab itu, tahun ke-9 Hijrah dinamakan sebagai tahun delegasi, kerana ramai kabilah datang untuk mengumumkan keislaman mereka.
  • Peperangan Tabuk juga adalah permulaan kepada penaklukan Syam, yang bermula dengan perintah Nabi untuk menghantar tentera Usamah ke negeri Syam, dan wasiat atau perintah Nabi tersebut telah dilaksanakan semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 52-54)

Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad dalam bukunya al-Sirah al-Nabawiyyah menyebut: “Peperangan (Tabuk) ini telah mengukuhkan kekuasaan Islam di utara Semenanjung Arab, sekaligus membuka jalan untuk menakluki Syam yang sebenarnya juga sudah dipersiapkan oleh Rasulullah SAW dengan menyiapkan tentera Usamah sebelum Baginda wafat. Perancangan Baginda tersebut itu kemudian dilaksanakan oleh Abu Bakar R.A, lalu diteruskan dengan pasukan-pasukan penakluk lain yang tersebar di negeri-negeri Syam dan Iraq.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 236)

Penutup

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita cintakan Rasulullah SAW dan cuba mengikut jejak langkahnya hingga ke hari Akhirat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply