Soalan: 

Assalamualaikum,Datuk Dr.Zulkifli.Saya ingin bertanya sekiranya seorang pencuri telah mencuri harta orang lain, yang menyebabkan kesusahan kepada mangsa lalu pencuri itu bertaubat kepada Allah, adakah dosa pencuri itu dimaafkan walaupun tanpa bertemu dan meminta maaf dengan mangsa? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang  beriman memakan harta sesama mereka secara zalim.Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang lain maka dia telah menanggung dosa dan dengan perbuatan itu akan dikenakan azab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Hal yang demikian sebagaimana yang telah disebutkan dalam firman Allah SWT:

 إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

(Surah al-Syura: 42)

Namun sebaik-baik pendosa adalah orang yang bertaubat dan menyesali atas setiap yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah SWT adalah penerima taubat dan amat menyukai orang yang bertaubat serta menyucikan diri dari segala dosa.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”

(Surah al-Tahrim :8)

Al-Tabari ketika mefasirkan ayat ini beliau menyatakan : “Kembalilah dari dosa-dosamu kepada mentaati Allah dan mencari keredhaan-Nya dengan taubat nasuha dengan kembali ke arah ketaatan dan tidak sekali-kali kembali ke arah maksiat.”(Lihat Jami’ al-Bayan,23/105)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

” قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: ‌يَا ‌ابْنَ ‌آدَمَ ‌إِنَّكَ ‌مَا ‌دَعَوْتَنِي ‌وَرَجَوْتَنِي ‌غَفَرْتُ ‌لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً “

Maksudnya: Firman Allah SWT: “Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun nescaya Aku akan mendatangmu dengan memberikan keampunan yang sama keluasannya seperti bumi.” 

Riwayat al-Tirmizi (3540)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata, hadis ini adalah satu khabar gembira yang agung, kelembutan, kemuliaan yang agung, serta kelebihan, ihsan, keampunan, rahmat dan penghargaan yang tidak terkira [daripada Allah SWT]. (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 137)

Dalam isu sebagaimana yang dijelaskan di atas kami katakan “Jika dosa itu berkaitan dengan hak-hak sesama manusia, maka hendaklah  membebaskan dirinya daripada dosa tersebut di dunia dengan mengembalikan hak tersebut kepadanya, atau memohon pengampunan daripadanya. 

Diriwayatkan darpada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”

Riwayat Bukhari (2449)

al-Qurtubi menyatakan: Jika sesuatu dosa itu berkaitan dengan sesama manusia,maka tidak sah taubat darinya melainkan hak orang yang dizalimi itu dikembalikan sekiranya dia mampu untuk mengembalikannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berazam untuk mengembalikannya bila sudah mampu. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,18/199)

ـJusteru kami katakan, dosa sesama manusia tidak terlepas melainkan dengan memohon maaf kepadanya dan mengembalikan semula hak-hak yang telah diambil daripadanya secara batil kepadanya sekiranya dia masih hidup. Namun sekiranya dia telah meninggal dunia hendaklah dikembalikan kepada ahli warisnya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa: 

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya“Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply