Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana saya mahu merasakan pentingnya solat? Susah rasanya nak dekat dan cinta pada solat.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, solat merupakan rukun Islam. Ianya menjadi kewajipan untuk seorang muslim memeliharanya pada setiap waktu. Ini berdasarkan banyak hadith yang warid daripada Rasulullah SAW.

Antaranya riwayat daripada Abdullah Ibn ‘Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara iaitu penyaksian tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Diriwayatkan juga daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadah (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, dan engkau mendirikan solat dan memberi zakat, serta berpuasa pada bulan Ramadhan, dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya.”

Riwayat Muslim (8)

Solat juga merupakan tiang agama sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.”

Riwayat al-Tirmizi (2616)

Bahkan, ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.”

Riwayat al-Tirmizi (413)

Keduanya, persoalan yang diajukan ini merupakan bukti bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang, kerana kecintaan seseorang terhadap sesuatu ibadah itu merupakan salah satu tanda keimanan masih utuh di dalam jiwa. Kami cuba bawakan beberapa faktor yang boleh meningkatkan lagi keimanan seseorang tersebut, sekaligus ia mendorong kita menambahkan kecintaan kepada ibadah seperti solat dan sebagainya.

  1. Mengenal Allah SWT, Pencipta Sekalian Alam

Perkara paling utama yang boleh menambahkan keimanan seseorang adalah berusaha mengenali Allah SWT dengan mempelajari ilmu yang sahih daripada para alim ulama’. Hal ini kerana para alim ulama’ ini merupakan orang yang paling tinggi ketaqwaan mereka kepada Allah SWT.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”

(Surah Fatir: 28)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, sesungguhnya yang takut dengan Allah SWT dengan sebenar-benarnya adalah para ulama‘ dan golongan cerdik pandai. Hal ini kerana setiap kali bertambah pengetahuan mereka terhadap Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui, yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan, dan juga disifatkan dengan nama-nama yang baik, maka setiap kali itu pengetahuan mereka tentang Allah SWT akan lebih baik lalu bertambah ketakutan mereka terhadap Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/482)

  1. Merenung Tanda-tanda Kekuasaan Allah SWT

Merenung, meneliti, dan berfikir tentang kehebatan Allah SWT melalui bukti-bukti kekuasaan-Nya yang boleh dilihat dengan pancaindera, seperti penciptaan sekalian makhluk di muka bumi ini.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

(Surah Ali ‘Imran: 190)

Dan sebagaimana dalam firman-Nya:

قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَمَا تُغْنِي الْآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَن قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya’.”

(Surah Yunus: 101)

Berfikir tentang kekuasaan Allah SWT ini juga sebahagian dari ibadah yang mulia. Al-‘Allamah Abdul Hamid Kisyk menukilkan daripada al-Hasan, daripada ‘Amir bin ‘Abd Qais, katanya:

سَمِعْتُ غَيْرَ وَاحِدٍ وَلَا اثْنَيْنِ وَلَا ثَلَاثَةٍ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ ﷺ يَقُولُونَ: إِنَّ ضِيَاءَ الْإِيمَانِ أَوْ نُورَ الْإِيمَانِ التَّفَكُّرُ

Maksudnya: “Aku telah mendengar lebih daripada seorang sahabat Muhammad SAW berkata: ‘Sesungguhnya sinaran keimanan atau cahaya keimanan adalah berfikir (dengan renungan)’.” (Lihat Fi Rihab al-Tafsir, 4/758)

  1. Hidup dengan Kitab Allah

Yang dimaksudkan di sini adalah sentiasa membaca kalamullah dengan menitik beratkan soal kefahaman, tadabbur serta menikmati setiap kandungannya. Inilah sifat orang-orang beriman seperti yang disebutkan oleh Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman.”

(Surah al-Anfal: 2)

Ibn al-Qayyim menyebutkan bahawa, membaca satu ayat dengan renungan dan pemahaman adalah lebih baik daripada membaca satu al-Quran tanpa renungan dan pemahaman, dan ia lebih bermanfaat kepada jiwa dan lebih cenderung untuk mencapai keimanan dan merasai kemanisan al-Quran. (Lihat al-Dhau’ al-Munir, 2/158)

  1. Mengingati Allah SWT dalam Setiap Keadaan

Sebaiknya kita berusaha semampu mungkin untuk melazimi zikrullah pada apa jua keadaan, dan di mana jua kita berada. Basahkanlah lidah kita dengan mengingati-Nya, beristighfar dan bertasbih kepada-Nya.

Ini jelas seperti yang disebutkan dalam riwayat Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ مَثَلُ الْحَىِّ وَالْمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

Riwayat al-Bukhari (6407)

  1. Melawan Hawa Nafsu

Secara fitrahnya, semua daripada kita di dunia ini diciptakan dengan hawa nafsu, akan tetapi kita perlu sentiasa memelihara diri daripada mengikut hawa nafsu ini kerana ia boleh mendorong kita jauh dari jalan Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”

(Surah Sad: 26)

Cara untuk melawan nafsu ini adalah dengan mendahulukan apa-apa perkara yang lebih disukai oleh Allah SWT dan Rasulnya Nabi Muhammad SAW. Ini sebagaimana yang warid dalam sebuah hadith riwayat Anas bin Malik R.A, bahawa rasulullah SAW bersabda:

 ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka ia mendapatkan kemanisan iman; iaitu siapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya, serta dia mencintai seseorang yang dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, serta dia yang benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dia dikeluarkan oleh Allah darinya (kekufuran) sepertiman bencinya dia untuk dihumban ke dalam api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (16) dan Muslim (43)

  1. Bersungguh Untuk Menghadiri yang Mengingatkan Kita kepada Allah

Saudara yang bertanya boleh cuba untuk melazimi pergaulan dan bersahabat dengan orang-orang yang baik, sentiasa mengingatkan kita kepada Allah SWT. Beginilah kebiasaan yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW, seperti dalam riwayat Mu‘az bin Jabal R.A, dia berkata kepada seorang lelaki:

اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنْ سَاعَةً

Maksudnya: “Duduklah bersama kami, marilah kita beriman sejenak.”

Riwayat al-Bukhari (8), Ibn Abi Syaibah (35843) dan Ibn Battah (1135)

  1. Jauhkan Diri dari Melakukan Maksiat

Ummat Islam secara umumnya wajib menjauhi daripada melakukan maksiat kerana sebab berkurangnya keimanan seseorang. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا فَأَىُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ وَأَىُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ حَتَّى تَصِيرَ عَلَى قَلْبَيْنِ عَلَى أَبْيَضَ مِثْلِ الصَّفَا فَلاَ تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ مَا دَامَتِ السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ وَالآخَرُ أَسْوَدُ مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ مُجَخِّيًا لاَ يَعْرِفُ مَعْرُوفًا وَلاَ يُنْكِرُ مُنْكَرًا إِلاَّ مَا أُشْرِبَ مِنْ هَوَاهُ

Maksudnya: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran.”

Riwayat Muslim (144)

Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan kepada saudara yang bertanya, bagaimana untuk menambahkan keimanan kepada Allah SWT, yang mana ia akan memupuk kecintaan dalam diri seseorang untuk sentiasa memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT. Kami juga menasihatkan agar saudara yang bertanya memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar dicampakkan perasaan cinta untuk mendirikan solat serta ibadah-ibadah yang lain. Semoga dengannya, Allah SWT akan memberikan tawfiq serta petunjuk ke arah melakukan amal kebaikan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply