Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah ikan yang dijumpai terapung di atas air seperti sungai atau laut boleh dimakan? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[1]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’ie (59)

Dalam menjawab soalan di atas, berkenaan ikan yang dijumpai terapung di atas air, para ulama berbeza mengenai hukum keharusan memakannya kepada dua pendapat; pendapat pertama, ia adalah halal dimakan. Manakala pendapat kedua, ia adalah haram dimakan.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/33-34) bahawa ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyatakan pula hujah-hujah yang dikemukakan oleh ulama mazhab Syafi‘i bagi menyokong pendapat mereka. Di antaranya, firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Selain itu, mereka juga berhujah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[2]

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’ie (59)

Begitu juga dengan hadith Jabir R.A, katanya:

غَزَوْنَا جَيْشَ الخَبَطِ، وَأُمِّرَ أَبُو عُبَيْدَةَ. فَجُعْنَا جُوعًا شَدِيدًا. فَأَلْقَى البَحْرُ حُوتًا مَيِّتًا لَمْ يُرَ مِثْلُهُ، يُقَالُ لَهُ العَنْبَرُ. فَأَكَلْنَا مِنْهُ نِصْفَ شَهْرٍ. فَأَخَذَ أَبُو عُبَيْدَةَ عَظْمًا مِنْ عِظَامِهِ، فَمَرَّ الرَّاكِبُ تَحْتَهُ

Maksudnya: “Kami telah keluar berperang, pasukan tentera (tersebut telah dipanggil) al-Khabat,  dan Abu ‘Ubaidah telah dilantik sebagai ketua. (Dalam perang tersebut) kami telah berasa sangat lapar.  Setelah itu, laut telah mencampakkan seekor ikan paus yang telah mati yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Ikan paus itu dipanggil sebagai al-Anbar. Kami telah memakannya untuk tempoh selama setengah bulan. Abu ‘Ubaidah telah mengambil satu tulang daripada tulang-tulangnya, yang mana seorang penunggang kuda boleh melintas di bawahnya.

Riwayat al-Bukhari (5493) dan Muslim (1935)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

غَزَونا فجُعنا، حَتَّى إنَّ الجَيشَ يَقتَسِمُ التَّمرَةَ والتَّمرَتَينِ، فبَينا نَحنُ على شَطِّ البحرِ إذ رَمَى البحرُ بحوتٍ مَيْتٍ، فاقتَطَعَ النّاسُ مِنه ما شاءوا مِن لَحمٍ أو شَحمٍ، وهو مِثلُ الظَّرِبِ، فبَلَغَنِى أن النّاسَ لَمَّا قَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرُوهُ، فقالَ لَهُم: أمَعَكُم مِنه شَئٌ؟

Maksudnya: “Kami pernah berperang dan kami pernah berasa lapar, sehingga pasukan membahagikan satu atau dua kurma. Lalu kami berada di tepi laut, tiba-tiba laut mencampakkan seekor ikan paus yang telah mati. Orang ramai mula memotong daripadanya daging atau lemak sesuai keinginan mereka, dan ikan itu seperti bukit yang mendatar. Kemudian, sampai berita kepadaku bahawa orang ramai apabila tiba kepada Rasulullah SAW, mereka mengkhabarkan perkara itu kepadanya. Lalu Baginda SAW bertanya kepada mereka: ‘Adakah ada bersama kamu sesuatu daripadanya (iaitu ikan tersebut)?’

Imam al-Nawawi menyatakan, hadith di atas diriwayatkan oleh al-Baihaqi[3] dengan sanad yang sahih.

Di samping itu, terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma , katanya:

أَشْهَدُ عَلَى أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ: السَّمَكَةُ الطّافيَةُ حَلَالٌ لِمَنْ أَرَادَ أَكْلَهَا

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa Abu Bakar R.A berkata: ‘Ikan yang terapung adalah halal dimakan bagi sesiapa yang ingin memakannya.’

Imam al-Nawawi menyatakan, hadith di atas diriwayatkan oleh al-Baihaqi[4] dengan sanad yang sahih. Begitu juga diriwayatkan daripada Abu Ayyub dan Abu Sirmah al-Ansari bahawa kedua-duanya pernah memakan ikan yang terapung.[5] Begitu juga diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan, tidak mengapa dengan memakan ikan yang terapung.[6] Demikian juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Thabit R.Anhuma bahawa mereka berdua berpendapat tidak ada masalah (tidak mengapa) memakan apa yang dicampakkan oleh laut.[7] Demikianlah juga riwayat daripada Abdullah bin Umar dan Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As dengan hadith seumpamanya. Menurut Imam al-Nawawi, kesemua ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad-sanad yang bersambung (muttasil).

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika hidupan laut itu mati dengan bersebab seperti dipukul atau air surut dari tempatnya, maka ia adalah halal untuk dimakan. Namun, jika ia mati tanpa sebab (iaitu mati dengan sendirinya), maka hukumnya adalah haram untuk dimakan. Adapun jika ia mati akibat kepanasan air atau sejuknya air, terdapat dua riwayat daripadanya (mengenai kehalalan untuk memakannya). Permasalahan ini masyhur dalam kitab-kitab mazhab dan terdapat perbezaan pendapat di antara mereka tentang hukum ikan yang terapung. Di antara ulama yang melarang (daripada memakan) ikan yang terapung ialah  Ibn ‘Abbas, Jabir bin Abdullah, Jabir bin Zaid, dan Tawus. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini berhujah berdasarkan kepada hadith Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا أَلْقَى الْبَحْرُ أَوْ جَزَرَ عَنْهُ فَكُلُوهُ وَمَا مَاتَ فِيهِ وَطَفَا فَلاَ تَأْكُلُوهُ

Maksudnya: “Apa yang dicampakkan oleh laut dan yang ditinggalkan oleh air pasang, maka kamu boleh memakannya, akan tetapi apa yang mati di laut dan terapung, maka janganlah kamu memakannya.”

Riwayat Abu Dawud (3815)[8]

Selain itu, di antara hujah ulama Hanafiyyah juga adalah riwayat daripada Ali R.A bahawa beliau pernah berkata:

 لَا تَبِيعُوا فِي أَسْوَاقِنَا الطَّافِيَ

Maksudnya: “Janganlah kamu menjual di pasar-pasar kami ikan yang terapung.” (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/36; al-Mabsut oleh Sarakhsi, 11/248).

Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyatakan, adapun ayat al-Quran itu sendiri,[9] maka tidak ada hujah (dalil) dalam ayat tersebut. Hal ini kerana yang dimaksudkan pada lafaz “وَطَعَامُهُ” ialah apa yang dilemparkan oleh laut ke pantai, lalu ia mati. Demikianlah yang disebutkan oleh ahli takwil (ahli tafsir), dan perkara tersebut adalah halal menurut pandangan kami (ulama Hanafiyyah), kerana ia bukankah al-Tafi (الطَّافِي) — yakni ikan yang terapung. Perkataan al-Tafi (الطَّافِي) adalah istilah untuk haiwan yang mati di dalam air tanpa sebab dan faktor yang menyebabkan kematian. Sedangkan ini (yang disebutkan dalam ayat) mati disebabkan oleh faktor yang menyebabkannya mati iaitu terlempar oleh laut ke pantai. Oleh itu, ia bukanlah ikan yang terapung. Seterusnya, yang dimaksudkan oleh dua hadith (yang dijadikan sebagai hujah oleh mereka yang berpendapat ia halal dimakan)[10] adalah selain ikan yang terapung sebagaimana yang kami telah sebutkan. Kemudian ada ikan yang hidup di air, seperti kita sebutkan.

Kemudian al-Samak al-Tafi (ikan yang terapung) yang tidak halal dimakan di sisi kami ialah yang mati di dalam air dengan sendirinya tanpa sebarang sebab yang mengakibatkannya mati, tidak kira ia terapung di permukaan air atau tidak terapung selepas ia mati dengan sendirinya di dalam air tanpa sebarang sebab. Namun, sebahagian masyayikh kami (guru kami) menyebutkan, yang dimaksudkan (yang tidak boleh dimakan) adalah ikan yang mati di dalam air dengan sebab yang mengakibatkannya mati dan terapung di permukaan air. Jika ia tidak terapung, maka ia halal dimakan. Akan tetapi pendapat yang sahih adalah takrifan yang awal dan ia dinamakan sebagai al-Tafi (terapung) disebabkan oleh beradanya ia di atas permukaan air secara kebiasaannya.

Kemudian, Hisyam meriwayatkan daripada Muhammad tentang ikan, apabila sebahagiannya di dalam air dan sebahagiannya lagi berada di darat (bukan dalam air). Jika kepala ikan berada di atas darat (bukan dalam air), maka ia boleh dimakan — yakni halal untuk memakannya. Namun, jika kepala ikan atau sebahagian besar ikan tersebut berada di dalam air, maka ia tidak boleh dimakan — yakni tidak halal dimakan. Hal ini kerana kepala ikan adalah tempat bernafasnya. Jika ia berada di luar air, maka secara zahirnya ia mati kerana faktor yang mengakibatkannya mati. Jika ia berada di dalam air atau sebahagian besar ikan tersebut berada di dalam air, maka secara zahirnya ia mati di dalam air tanpa sebarang sebab. Mereka juga berpendapat berkenaan ikan yang menelan ikan lain, bahawa ikan itu boleh dimakan, kerana ia mati disebabkan oleh faktor yang mengakibatkan kematiannya. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/36).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada mengkritik hadith Jabir yang dijadikan sebagai sandaran atau hujah mereka yang melarang daripada makan ikan yang terapung. Menurut beliau, hadith tersebut dinilai sebagai dha‘if (lemah) secara sepakat para huffaz (ulama hadith). Justeru, tidak boleh berhujah dengannya (iaitu jadikannya sebagai dalil) sekalipun tidak ada sesuatu yang bertentangan dengannya. Jadi, bagaimana pula jika ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kita kemukakan daripada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat-pendapat para sahabat R.Anhum? (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/34).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ikan yang dijumpai terapung di atas air, sama ada sungai atau laut dan seumpamanya adalah halal dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana ia bertepatan dengan hukum asal bangkai ikan atau hidupan air itu sendiri yang dihukumkan sebagai suci dan halal untuk dimakan berdasarkan kepada nas yang telah dinyatakan di atas. Dalam erti kata lain, ia tidak memerlukan kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Justeru, ia adalah halal dimakan tidak kira bagaimanapun cara ia mati atau dimatikan.

Namun, jika ia memudaratkan pemakannya, maka hukumnya tidak syak lagi, ia adalah diharamkan. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1]  Al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[2] Menurut Imam al-Nawawi, ia adalah hadith sahih.

[3] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19003)

[4] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19005)

[5] Lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 19/231.

[6] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19010)

[7]  Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19011)

[8] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Daud (3815) menilai sanadnya sebagai dha’if.

[9] Iaitu ayat al-Quran yang dijadikan sebagai hujah oleh mereka yang menghalalkan ikan yang terapung.

[10] Iaitu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Dan hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ

Maksudnya: “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.

Riwayat Ahmad (5690); Ibn Majah (3314)

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply