#2957: Ikan Kelisa Peliharaan yang Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, sebenarnya ikan kelisa yang mahal itu, yang biasanya menjadi ikan peliharaan bolehkah dimakan? Sebab saya pernah terbaca ada seseorang menceritakan bahawa ikan kelisa miliknya yang telah dipelihara lama mati dan terapung di atas permukaan air dalam akuariumnya. Kemudian, dia ambil ikan itu, menyiangnya, lalu memakannya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan ikan kelisa terlebih dahulu. Ringkasnya, ikan kelisa atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil arowana, juga dikenali sebagai “Dragon Fish” atau “Bony-tongued Dragon” oleh sesetengah masyarakat Cina serta para pengeksport/pengimport khususnya, adalah spesies ikan hiasan eksotik air tawar yang amat diidamkan oleh kebanyakan pemelihara ikan hiasan akuarium. Ini adalah kerana spesies ini mampu mempamerkan keasliannya sebagai ikan hiasan klasik yang bermutu tinggi.

Semua ikan kelisa mempunyai kepala yang agak bertulang, dan badan memanjang yang dilitupi sisik besar dan berat dengan corak mozek terusan. Sirip dorsal dan dubur mempunyai sinar lembut dan agak panjang, manakala sirip pektoral dan ventral adalah kecil. Nama bony-tongue (lidah-tulang) berasal dari tulang bergigi di dasar mulut ikan kelisa, ‘lidah’, yang menggigit kepada gigi di lelangit mulut. Digelar dragon (naga) pula kerana sisik dan sesungutnya yang besar, menyerupai naga Cina. Ikan kelisa boleh mendapat oksigen dari udara dengan menyedutnya ke dalam pundi renangnya, yang berkedut dengan kapilari seperti tisu peparu.

Ikan kelisa merupakan haiwan karnivor. Mereka pandai melompat, dan banyak yang mencari makan berhampiran permukaan air. Ikan kelisa terbahagi kepada sepuluh spesies; tiga dari Amerika Selatan, satu dari Afrika, empat dari Asia dan dua lagi dari Australia.

Ikan Kelisa adalah di bawah CITES (Convention on International Trade in Endangered Species). Dilarang menjual atau membeli ikan Kelisa tanpa permit. Kebanyakan Ikan Kelisa di dalam akuarium rumah adalah daripada “fish farm” yang membiak ikan ini untuk dijual dan dieksport ke negeri lain, seperti Jepun dan Amerika.[1]

Selain itu, terdapat tiga fakta berkenaan ikan Arowana Asia. Pertama, ia adalah simbol keberuntungan dan kemakmuran dalam banyak budaya tempatan. Kedua, ia sering dianggap sebagai ikan prasejarah kerana sedikit perubahan luaran telah berlaku sejak ia pertama kali muncul berjuta-juta tahun yang lalu. Ketiga,  ikan Arowana Asia sangat territorial dan agresif terhadap penceroboh. Oleh sebab itu, banyak ikan ini memilih untuk hidup sendiri atau dalam kumpulan kecil.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31).

Hal ini kerana ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ikan kelisa atau arowana ini adalah halal dan boleh dimakan sebagaimana ikan-ikan yang lain, bahkan tiada khilaf mengenainya. Tidak kira ia ikan liar atau ikan yang dipelihara dan begitu juga bagaimana cara pun ia mati, ia tetap halal dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hidupan air dan tidak memerlukan kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Semua hidupan air adalah halal dimakan bangkainya sebagaimana nas yang sahih yang kami telah sebutkan di atas.

Adapun jika dikhuatiri dengan sebab pemakanannya di dalam akuarium ada memberi kesan atau perubahan kepada dagingnya, maka ia termasuk di bawah perbincangan haiwan jallalah.[3] Ringkasnya, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ikan_Kelisa. Diakses pada 29 Ogos 2023.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/asian-arowana/. Diakses pada 29 Ogos 2023.

[3] Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260; Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558).

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 29 Ogos 2023.

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *