Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya baru membeli rumah seorang singh dan dia ada membela anjing. Kami telah buat proses sertu satu rumah tetapi apabila sudah selesai didapati masih ada lagi bulu anjing pada lantai perabot dan sebagainya. Soalannya, perlukah saya sertu sekali lagi atau saya hanya perlu vacuum sahaja bulu anjing tersebut? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa perbahasan.

Pertamanya, perbahasan mengenai kenajisannya. Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai hal ini dalam kitabnya al-Majmu‘ bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”

Riwayat al-Bukhari (174)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian daripada hadas tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Perbahasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #809: Kenajisan Anjing.[1]

Keduanya, perbahasan mengenai perpindahan najis ketika bersentuhan. secara umumnya sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika benda najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan benda-benda lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang mengandungi bulu anjing yang dalam keadaan kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami (yakni ulama mazhab Syafi‘i) antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185). Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap.

Begitu juga turut dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis[2] bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya (yakni yang bernajis dan yang suci) dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dapat dinafikan bahawa kenajisan bulu anjing termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama sama ada ia dikira sebagai najis mughallazah sebagaimana anggota bahagian-bahagiannya yang lain seperti pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i dan mazhab Hanbali, ataupun bukan najis seperti pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki.

Justeru, selepas mengambil kira situasi yang bertanya, kami berpendapat bahawa tidak perlu menyertu sekali lagi serta cukuplah dengan hanya menyapu bulu-bulu tersebut dan menyedutnya melalui vakum atau seumpamanya. Apatah lagi, perpindahan najis kepada sesuatu yang suci ketika persentuhan, tidak berlaku jika kedua-duanya (yang disentuh dan yang menyentuh) dalam keadaan kering. Namun, jika salah satunya dalam keadaan basah/lembap, maka kami juga berpendapat tidak mengapa dengan bertaqlid kepada ulama dan mazhab yang tidak menganggapnya sebagai najis. Lebih-lebih lagi apabila timbulnya kesukaran dan kesusahan untuk mengenalpasti tempat yang terkena bulu-bulu lembap itu, dan begitu juga kesusahan untuk acap kali menyertu tempat yang terkenanya.

Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Tambahan pula, ia juga bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahf: 10)

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/809-kenajisan-anjing/. Diakses pada 30 Ogos 2023.

[2] Sesuatu yang terkena najis.

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply