Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith yang menunjukkan solat sebagai cahaya dan bukti dan boleh terangkan maksudnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, Rasulullah SAW pernah mensifatkan solat sebagai cahaya dan juga bukti. Kami nyatakan kedua-dua hadith tersebut:

Daripada Abi Malik al-Harith bin Asim al-Asy’ari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآنِ – أَوْ تَمْلَأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Maksudnya: “Bersuci sebahagian daripada iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi mizan (timbangan). Ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan di antara langit dan bumi. Sembahyang adalah nur (cahaya). Sedekah adalah keterangan (bukti). Sabar memberikan cahaya. Al-Quran boleh menjadi hujah bagimu atau ke atasmu. Setiap manusia berusaha, maka dia menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsunya dengan dia melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), maka ada yang membebaskannya (daripada kehinaan di dunia dan azab di akhirat) dan membinasakannya (dengan melakukan maksiat).”

Riwayat Muslim (223)

Benarlah sabda Nabi SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا ، كَانَتْ لَهُ نُورًا وَبُرْهَانًا وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظُ عَلَيْهَا لَمْ يَكُنْ لَهُ نُورٌ وَلَا بُرْهَانٌ وَلا نَجَاةً

Maksudnya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) nescaya baginya memperolehi cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, sebaliknya siapa yang tidak memeliharanya (solat) nescaya tiada baginya sebarang cahaya bukti dan keselamatan.”

Riwayat Ibn Hibban (1467)

Maksud solat sebagai cahaya kerana dengan solat dia menjadi cahaya kepada seseorang itu serta selamat dalam hidup sama ada di dunia dan sehingga membawa kepada akhirat. Rasulullah SAW telah menyebut betapa seseorang yang membelah kegelapan malam untuk solat ke masjid maka dia diberi cahaya yang sempurna di akhirat kelak.

Daripada Sahl bin Sa’d al-Sa’idi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِيَبْشَرِ الْمَشَّاءُونَ فِى الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِنُورٍ تَامٍّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya: “Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada Hari Kiamat.”

Riwayat Ibn Majah (380). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Adapun solat sebagai bukti kerana memang orang yang bersolat ada tanda-tandanya. Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).

(Surah Fath: 29)

Justeru, marilah sama-sama kita melazimi solat kerana faedah dan fadhilatnya cukup besar untuk diri kita bukan semata-mata di dunia tetapi juga di akhirat. Kedudukan solat amat penting dalam Islam sehingga ia dianggap sebagai tiang seri dan rukun Islam yang wajib ditunaikan. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah SWT yang sentiasa menunaikan solat. Begitu juga dengan zuriat kita.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply