#3001: Nama Orang Yang Sudah Meninggal Di Kad Jemputan Kahwin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah hukum letak nama orang yang sudah meninggal di dalam kad jemputan kahwin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menganjurkan kita pelbagai bentuk jemputan, adanya bersifat wajib dan adanya bersifat sunat untuk kita hadir. Seperti walimatulurus membawa kepada wajib mengikut pendapat yang masyhur, adapun majlis kenduri seperti akikah dan lain-lain adalah sunat hukumnya mengikut pendapat yang masyhur.

Allah SWT menyebut tentang kebaikan menjamu orang dan memberi makan kepada orang. Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا  ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ‎﴿٩﴾‏ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”

(Surah al-Insan: 8-10)

Rasulullah SAW telah menyebut satu hadith: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ»

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”

Riwayat al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)

Berkenaan dengan persoalan di atas, mengikut kefahaman kami ia tidaklah menajdi kesalahan kerana sebahagiannya itu menyebabkan orang yang dijemput lebih mengenali siapa yang menjemputnya. Ini kerana mungkin si mati lebih terkenal daripada anak atau isterinya di kalangan khalayak masyarakat. Kalau dengan niat seperti itu sahaja, maka hukumnya tidak mengapa.

Semoga pencerahan yang ringkas ini, memberi kepada kita kefahaman yang baik. Marilah sama-sama kita mendoakan kepada kaum keluarga dan sahabat handai.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *