Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Masjid di kawasan perumahan saya akan mengadakan majlis baca Yasin setiap malam Jumaat. Semasa majlis tersebut, pihak masjid akan menyediakan air mineral untuk jemaah secara percuma. Ada beberapa jemaah telah mengambil air mineral tersebut lebih daripada 1 botol seorang. Keadaan ini menyebabkan ada jemaah yang tidak dapat air mineral tersebut. Adakah tindakan jemaah yang mengambil air mineral tersebut lebih daripada 1 botol dibenarkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

  إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadith Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Menjamu makan di masjid adalah amalan yang mulia. Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.”

Surah al-Insan (8)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Mereka memberi makanan kepada orang yang berhajat seperti orang miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang dalam masa yang sama mereka juga menyukai harta dan makanan tersebut. Akan tetapi, mereka lebih mencintai Allah daripada diri mereka sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.90)

Menjawab persoalan di atas, amat perlu memahami uruf dan suasana. Jika makanan sedikit, orang ramai, maka wujudkan sifat rai meraikan. Zahirkan sifat ithar iaitu sentiasa meraikan rakan taulan melebihi diri sendiri. Hal ini berdasarkan nas ilahi:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Kami syorkan agar diwujudkan pihak wakil masjid untuk membahagi air setiap seorang satu, kecuali bagi orang yang memerlukan dua. Mungkin kerana saiz tubuhnya yang besar atau mengambilnya untuk isterinya yang sama-sama hadir. Sudah tentu ini akan melatih kita untuk mengetahui hak masing-masing. Nasihatlah dengan cara yang baik tetapi praktikalnya sebagaimana kami katakan tanpa adanya prasangka yang tidak baik.

Kami doakan semoga masjid dan jemaah di tempat anda sentiasa makmur dan diimarahkan dengan jemaah yang main bertambah dan subur syiar Islam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply