Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan isteri ingin menamakan anak lelaki kami dengan nama ‘aafi amani dan nama anak perempuan ‘Ava Amani’, adakah nama ini nama yang baik YB Datuk?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Maksud Aafi Amani
Aafi (عافي) bermaksud penyembuh, manakala Amani (أماني) bererti cita-cita/hajat. (Lihat Kamus al-Ma’ani)[1]
Maksud Ava Amani
Ava (عوى) bermaksud menyalak/ melolong.
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan bagi nama Afi Amani, kami menyokong dengan pandangan saudara. Namun, bagi cadangan nama perempuan, Ava Amani, suka kami nyatakan sebaiknya ia ditukar memandangkan maksudnya kurang baik. Kami mengesyorkan bagi nama perempuan Afiyah Amani (عافية أماني).
Oleh yang demikian, suka untuk kami nasihati supaya berilah nama yang sesuai dengan sifat kita sebagai manusia dan elakkanlah dari menggunakan nama yang khusus bagi Allah SWT kerana Allah itu sifatnya sempurna dari segala kekurangan.
Diriwayatkan oleh Abu Darda bahawa rasulullah SAW bersabda :
إِنَّكُمْ تُدْعُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya : Sesungguhnya pada hari kiamat kalian akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan nama bapa-bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian.
Riwayat Abu Daud (4948)
Semoga anak tuan menjadi anak yang soleh yang tinggi kehormatan dan akhlaknya serta menjadi penyejuk mata hati sekeluarga. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
[1] https://www.almaany.com/ar/dict/ar-id/%D8%B9%D8%A7%D9%81%D9%8A/#meaning
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445