#3069: Produk Kosmetik yang Mengandungi Lanolin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum penggunaan kosmetik yang mengandungi ekstrak haiwan yang berasal daripada “lanolin”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Definisi Lanolin

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi dan pengenalan ringkas mengenai lanolin. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, lanolin ialah lemak yang diperoleh daripada bulu biri-biri yang boleh dijadikan bahan ubat kulit dan kosmetik.[1] Secara ringkasnya, lanolin ialah gris biri-biri yang dirembeskan oleh kelenjar sebum[2] biri-biri, dan merupakan campuran kompleks lipid jisim molekul tinggi, termasuk asid lemak dan alkohol, sterol, asid hidroksi, diol, dan ester alifatik dan steril. Lanolin digunakan secara meluas dalam formulasi kosmetik dan farmaseutikal.[3]

Cara mendapatkan atau mengekstrak lanolin

Lilin bulu atau lanolin diperoleh daripada bulu biri-biri dengan kaedah menyental. Lanolin mentah membentuk kira-kira 5–25% daripada berat bulu biri-biri yang baru dicukur. Bulu daripada seekor biri-biri akan menghasilkan kira-kira 250–300 mL gris bulu (biri-biri) yang boleh diperolehi.

Kekotoran berat seperti pasir dan kotoran mula-mula dikeluarkan oleh graviti. Lanolin diekstrak dengan membasuh bulu dalam air panas dengan detergen penyental bulu khas untuk menghilangkan kotoran, gris bulu (lanolin mentah), garam peluh dan apa-apa lagi yang melekat pada bulu. Lilin itu kemudiannya diperoleh menggunakan sama ada pengasingan emparan atau pengekstrakan pelarut. Lilin bulu yang diperoleh adalah pes gelap, sangat likat dan berminyak dengan bau biri-biri yang kuat. Dalam bentuk mentah ini, ia boleh digunakan dalam beberapa aplikasi teknikal. Walau bagaimanapun, ia perlu diproses lagi atau ditulenkan supaya ia berguna, terutamanya dalam kosmetik. (Lihat Pharmacognosy Fundamentals, Applications and Strategies, hlm. 445).

Lanolin digunakan pada kulit untuk merawat atau mencegah kerengsaan kulit kecil seperti lepuh, melecur, kulit kering dan ruam lampin. Selain itu, ubat ini boleh digunakan untuk tujuan lain; namun ia hendaklah dirujuk dan ditanya kepada pegawai kesihatan atau ahli farmasi.[4]

Hukum produk kosmetik yang mengandungi Lanolin

Dalam menjawab soalan di atas, oleh kerana lanolin ini diekstrak daripada bulu biri-biri, maka kami nyatakan terlebih dahulu hukumnya secara ringkas.

Biri-biri termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan dagingnya. Justeru, menurut mazhab Syafi‘i bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci berdasarkan nas al-Quran dan ijmak ummah. Imam al-Haramain dan selainnya menyebutkan bahawa pada asalnya ia diqiaskan sebagai najis seperti mana baki anggota haiwan lain yang terpisah ketika masih hidup. Akan tetapi umat bersepakat ke atas kesuciannya kerana keperluan mereka kepadanya bagi menghasilkan pakaian dan hamparan, serta bulu-bulu daripada haiwan yang disembelih tidak mencukupi bagi perkara tersebut. Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sekiranya terpisah bulu-bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya ketika masih lagi hidup, sama ada secara sendirinya atau dicabut, maka terdapat perbezaan pendapat mengenai hukumnya dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat yang sahih berkenaannya sebagaimana diputuskan oleh Imam al-Haramain, al-Baghawi dan jumhur bahawa ia adalah suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/241).

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan kerana hukumnya (bulu haiwan yang boleh dimakan) adalah suci secara ijmak para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi bulu biri-biri adalah suci dan bersih, sekalipun ia terpisah dari badan biri-biri itu ketika ia masih lagi hidup.

Oleh yang demikian, lilin bulu atau lanolin ini turut dihukumkan sebagai suci sebagaimana hukum asal induknya iaitu bulu biri-biri. Perkara ini bertepatan dengan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, lanolin adalah cabang atau sebahagian daripada bulu biri-biri. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas lanolin atau lilin bulu ini — yakni suci dan bukannya najis.

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa produk kosmetik yang mengandungi lilin bulu atau lanolin ini adalah diharuskan penggunaannya dengan syarat ia dijamin selamat dan tidak mengandungi bahan-bahan lain yang bernajis serta tidak memudaratkan penggunanya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Akan tetapi jika ia mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan penggunanya seperti racun dan seumpamanya, maka penggunaannya adalah tidak dibenarkan. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Begitu juga jika suatu produk kosmetik itu mengandungi bahan-bahan bernajis tetapi tidak memudaratkan penggunanya, maka ia haram untuk digunakan sebagai kegunaan dalaman — untuk makan dan minum. Akan tetapi jika untuk kegunaan luaran — seperti krim untuk sapuan luaran — maka kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakannya, dengan syarat selepas itu ia dibasuh dengan air bersih. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1722: Penggunaan Darah dalam Produk Krim Kosmetik.[5]

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan agar menyemak terlebih dahulu produk kosmetik yang ingin digunakan sama ada produk itu berdaftar atau tidak. Ini kerana produk yang berdaftar lebih terjamin dari segi keselamatan dan tidak membahayakan kesihatan. Apatah lagi dikhuatiri produk yang tidak berdaftar mengandungi bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan jika diambil tanpa pengawasan.

Bagi membuat semakan bagi produk tersebut, bolehlah melayari laman web BPFK di www.bpfk.gov.my dan menyemak sama ada produk itu berdaftar melalui enjin carian ‘Product Search’. Pangkalan data ini mengandungi data bagi produk-produk yang berdaftar dengan PBKD sejak tahun 1985 dan notifikasi produk kosmetik. Pengguna boleh menggunakan product search dengan menyemak nombor pendaftaran produk, nama produk, pemegang pendaftaran produk atau nama pengilang. Jika produk tersebut berdaftar dengan PBKD, maklumat produk akan disenaraikan. Sekiranya produk tersebut tidak berdaftar, hasil carian akan menunjukkan ‘No Record’ dan anda adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil produk tersebut. Ini disebabkan keselamatan dan kualiti produk tersebut belum dinilai dan ia mungkin menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lanolin. Diakses pada 7 September 2023.

[2] Sebum ialah rembesan berlemak yang dihasilkan oleh kelenjar pada kulit mamalia, yang mengawal dan melicinkan rambut, bulu, serta kulit. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sebum. Diakses pada 7 September 2023).

[3] Lihat https://www.sciencedirect.com/topics/agricultural-and-biological-sciences/lanolin#. Diakses pada 7 September 2023.

[4] Lihat https://my.clevelandclinic.org/health/drugs/20901-lanolin-topical-ointment#. Diakses pada 7 September 2023.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/1722-penggunaan-darah-dalam-produk-krim-kosmetik/. Diakses pada 7 September 2023.

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *