#3078: Surat Rasulullah SAW Kepada al-Najasyi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW menghantar surat kepada al-Najasyi dan apakah kandungan balasan surat antara mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Najasyi adalah gelaran kepada Raja Habsyaha atau Ethiopia pada zaman Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW pernah mengutus ‘Amru bin Umaiyah al- Dhamri membawa surat kepada al-Najasyi, raja Habsyah menyerunya kepada Islam. Sebaik-baik sahaja surat tersebut sampai dan diketahui isi kandungannya, beliau terus berkata, “Aku bersaksi dengan Allah bahawa dia adalah Nabi yang ditunggu-tunggu oleh para ahli kitab.”

Sebenarnya, al-Najasyi Nasrani ialah seorang bermazhab Nastur yang berpegang kepada tauhid dan menolak ketuhanan al-Masih

Berikut dipaparkan kandungan surat Nabi Muhammad kepada al-Najasyi dan surat al-Najasyi kepada Baginda SAW:

  1. Surat Rasulullah kepada al-Najasyi

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sejahteralah engkau. Sesunguhnya aku memuji Allah yang Maha Memerintah, Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Memberi Keamanan, Yang Maha Melindungi dan aku bersaksi bahawa Isa bin Maryam ialah roh Allah dan kalimah-Nya yang Allah lontarkannya ke dalam rahim Maryam yang perawan lagi suci dan terpelihara. Lalu dia mengandung Isa yang tercipta dengan ruh dan hembusan-Nya sebagaimana Allah mencipta Adam hembusan-Nya. dengan kekuasaan dan hembusan-Nya.

Sesungguhnya, aku menyerumu beriman kepada Allah semata-mata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan terus menta’ati-Nya, mengikuti aku dan beriman dengan yang datang kepadaku. Sesungguhnya aku adalah Rasulullah dan aku menyerumu dan tentera-tenteramu beriman kepada Allah. Dengan itu aku telah menyampaikan nasihatku kepadamu maka terimalah nasihatku itu dan sejahteralah sesiapa yang mengikui petunjuk.”

Setelah membacanya, al-Najasyi meletakkan surat tersebut di matanya dan turun dari singahsana lalu duduk di atas lantai. Al-Najasyi masuk Islam dan berdo’a demi kebenaran Tuhan yang Maha Agung dan memberikan surat Rasulullah kepadanya dengan berkata, “Habsyah sentiasa dalam keadaan baik selagi kandungan surat Rasulullah menjadi pegangan penduduknya.”

  1. Surat balasan al-Najasyi kepada Rasulullah SAW

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Kepada Muhammad Rasulullah daripada al-Najasyi al-Asham bin Abjar: sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah dan rahmat Allah dan berkat-Nya yang tiada Tuhan melainkan Allah yang telah memberi hidayah kepadaku memeluk Islam. Suratmu wahai Rasulullah tentang Nabi Isa telah sampai kepadaku. Demi Tuhan yang menguasai langit dan bumi, sesungguhnya Isa memang tidak lebih daripada apa yang engkau sebutkan. Kami memahami kandungan surat yang engkau kirim kepada kami. Sesungguhnya sepupumu dan para sahabatnya telah merapatkan hubungan kita. Dengan itu, aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah yang benar dan dibenarkan. Sesungguhnya kami berbai’ah kepadamu dan kepada sepupumu dan aku masuk Islam melaluinya kerana Allah Tuhan sekalian alam.” (Lihat al-Sirah al-Halabiyah, Insan al-‘Uyun, 3/344)

Al-Najasyi juga berkata kepada ‘Amru yang membawa surat tersebut, “Aku bersaksi dengan Allah bahawa dia ialah Nabi yang ditunggu-tunggu oleh ahli kitab. Sesungguhnya khabar gembira Musa melalui penungang keldai, sama dengan berita gembira Isa melalui penunggang unta.

Sesungguhnya penyaksian tidaklah lebih mudah daripada berita, tetapi orang Habsyah yang menyokongku sedikit. Oleh itu, tunggulah sehingga aku ramaikan bilangan pengikutku dan aku lembutkan hati mereka.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *