Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana saya mahu solat tahajud atau solat sunat yang lain, kalau masih belum habis qadha solat, contoh nya tinggal solat 5 tahun(zaman lalai) tetapi masih nak dapatkan fadilat tahajud.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Jika pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Qada’ solat fardhu adalah wajib berdasarkan nas di atas, bahkan tuntutan solat adalah amat serius. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”

Riwayat Tirmizi (2621), Ahmad (22987), Ibnu Majah (1079) dan Nasa’ie (463)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2919: Menggantikan Solat Fardhu yang Lalu[1]

#27 Qadha’ Solat atau Solat Sunat[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menggantikan atau mengqadha solat fardu yang ditinggalkan adalah wajib. Namun, untuk melakukan solat sunat yang lain, ia dibolehkan sebagaimana fatwa yang dinukilkan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dengan syarat, kelonggaran tersebut tidaklah menyebabkan seseorang itu bermudah-mudahan dengan kewajiban qadha’ solat. Wallahu a’lam.

Begitu juga, kami katakan ada sembahyang mempunyai sebab-sebab yang tertentu (min zawati al-asbab). Justeru, hendaklah kita raikan seperti solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat Hari Raya, solat sunat rawatib dan lain-lain.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)

[1] https://maktabahalbakri.com/2919-menggantikan-solat-fardhu-yang-lalu/

[2] https://maktabahalbakri.com/qadha-solat-atau-solat-sunat/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply