Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya berkisar solat jama’ qasar. Saya menetap di Melaka. Disebabkan keperluan program master(postgrad) saya, saya diwajibkan berpindah tempat kerja di UM(PPUM), KL. Jadi saya menyewa di kolej kediaman dalam kampus UM. Jadual kerja saya amat-amatlah fleksibel dan dinamik(termasuk kelas pengajian). Pada masa lapang, saya akan balik ke Melaka(rumah saya sendiri). Perjalanan saya lebih 81km. Masa saya menetap di dalam kolej tidak menentu(antara 3-4 hari dan malam). Hujung minggu(jumaat petang sehingga ahad petang) kebiasaanya saya akan berada di Melaka. Soalan saya. Adakah saya boleh solat jama’ qasar semasa dalam perjalanan? Maafkan saya, sebab saya tidak jumpa permasalahan serupa yang boleh diqiaskan dengan situasi saya dalam buku Fiqh Musafir karangan Dato’. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Berkenaan isu jamak qasar, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#1691: Tinggal di Asrama Tempat Kerja: Bolehkah Jamak Qasar?[2]

#1907: Musafir Setiap Minggu Dan Menginap Di Hotel; Boleh Jamak Dan Qasar?[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk saudara jamak qasar ketika dalam perjalanan kerana ia telah mencapai jarak 81 km.

Kami selalu tekankan yang isu utama adalah mendiri dan melaksanakan solat. Inilah yang sepatutnya. Begitu juga, menjaga solat secara berjemaah dan pada awal waktu. Ini membawa kebaiakn yang banyak serta al-falah kepada yang melakukannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

[1] https://maktabahalbakri.com/2392-kekeliruan-dalam-mempraktikkan-solat-jamak/

[2] https://maktabahalbakri.com/1691-tinggal-di-asrama-tempat-kerja-bolehkah-jamak-qasar/

[3] https://maktabahalbakri.com/1907-musafir-setiap-minggu-dan-menginap-di-hotel-boleh-jamak-dan-qasar/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply