Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan nak tanya. Kalau bakal isteri saya pernah berlaku curang terhadap saya dan memperlihatkan auratnya kepada orang lain kemudian dia dah menyesal dan benar benar bertaubat kepada Allah. Saya juga sudah memaafkan kesalahan dia yang lalu cuma kadang kadang saya teringat akan perkara tersebut kerana ianya berlaku ketika dia sudah berkenalan dengan saya. Bagaimanakah untuk saya lupakan masa lalu dia dan redha kerana saya benar benar berniat ingin membuat dia menjadi isteri ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat.( Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. ( Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur:31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa perbuatan mendedahkan aurat dan berlaku curang merupakan tindakan yang dilarang oleh syariah Islam. Ini bermaksud bahawa sesiapa yang terlibat dalam tindakan tersebut seharusnya segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam Islam, memohon ampun dan bertaubat adalah langkah penting untuk mendapatkan pengampunan Allah SWT. Pelakunya harus merasa penyesalan yang mendalam atas perbuatan mereka dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Allah SWT amat menyukai orang-orang yang melakukan dosa yang kemudiannya dengan tulus memohon ampun dan bertaubat atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

Jadi, dalam situasi ini, seseorang yang terlibat dalam perbuatan mendedahkan aurat dan berlaku curang seharusnya segera memohon ampun kepada Allah SWT dengan hati yang ikhlas dan berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Allah SWT adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan Dia sentiasa bersedia untuk mengampuni hamba-Nya yang bertaubat dengan tulus.

Firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur:31)

Ibn Kathir berkata: Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.( Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)

Dalam isu ini kami katakan  bahawa perbuatan saudara yang memaafkan kesalahan bakal isteri adalah tindakan yang sangat mulia. Bersangka baiklah, Allah telah memberikan pengampunan kepada dosa-dosanya yang lalu, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya : “Allah maafkan apa yang telah lalu,”

(Surah al-Maidah : 95)

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id bin Abu Fadhalah al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersaabda:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

Maksudnya: “Orang yang telah bertaubat dari dosanya seperti orang yang tidak mempunyai dosa.”

Riwayat Ibn Majah (4250) dan al-Tabarani (10281)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الإسلامُ يَجُبُّ ما قبلَه والتوبةُ تَجُبُّ ما قبلَها

Maksudnya: Islam itu menghapuskan apa yang sebelumnya dan taubat itu menghapuskan dosa-dosa yang lampau.

Riwayat Bukhari(6921) dan Muslim (120)

Justeru, kami ingin menasihatkan di sini, agar saudara melapangkan dada dan membuka episod baru dalam kehidupan ini. Lupakanlah apa yang telah berlaku di masa lalu dan teruskanlah dengan niat suci saudara untuk mengahwini pilihan saudara tersebut. Semoga perkahwinan yang akan datang akan diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Kami katakan bahawa tindakan dan niat adalah amat murni dan baik. Justeru, ketabahan dan kesabaran hendaklah sentiasa menghiasi diri anda kerana ombak dan badai amat besar dan mencabar. Kerana itu, semangat yang kental hendaklah wujud pada diri anda dan jangan menerima sebarang bentuk provokasi, fitnah, adu domba serta ungkitan yang telah lalu.

Akhir kalam semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply