Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada beberapa soalan yang telah menghantui saya sejak kebelakangan ini. Saya pernah terbaca artikel bahawa Nabi SAW pernah melarang untuk merekodkan selain al-Quran (yakni hadith). Saya juga membaca bahawa Saidina Umar pernah melarang para sahabat untuk meriwayatkan hadith sehinggalah larangan ini diangkat pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Saya ingin memohon penjelasan daripada Dr., bagaimanakah hadith dibenarkan untuk dihimpunkan sedangkan terdapat larangan Nabi dan sahabat dalam perkara tersebut? Semoga Dr. boleh tolong saya menjawab persoalan ini. Sekian, terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلَا حَرَجَ
Maksudnya: “Janganlah kamu menulis sesuatu daripadaku; sesiapa menulis sesuatu daripadaku selain al-Quran, maka hendaklah ia menghapusnya dan menceritakan dariku, kerana itu tidak ada salahnya.”
Riwayat Muslim (5326)
Imam al-Nawawi berkata: “Al-Qadhi berkata: Terdapat banyak perselisihan dalam kalangan para sahabat terdahulu dan tabi’in mengenai penulisan ilmu. Kebanyakan mereka menganggap ini sebagai makruh, dan kebanyakan daripada mereka juga membenarkan, kemudian mereka bersepakat akan keharusannya, dan khilaf berkenaan isu penulisan ini hilang. Mereka berselisih pendapat tentang maksud hadith yang melarang menulis ilmu dan hadith. Dikatakan bahawa ini berkaitan dengan orang yang yakin akan ingatannya, dan ditakuti dia akan bergantung pada apa yang dia tulis jika dia menulisnya; hadith yang mengatakan boleh menulis sesuatu ditafsirkan sebagai merujuk kepada orang yang tidak kuat hafazannya, sebagaimana hadith, “Tulislah untuk Abu Syah”; dan hadith “Sahifah Ali R.A” serta hadith daripada “kitab ‘Amr ibn Hazm”, yang mengandungi hukum-hukum tentang faraidh, sunnah dan diyat. Hadith tentang sedekah, dan jumlah minimum di mana zakat menjadi wajib (nisab), yang dengannya Abu Bakar menghantar Anas R.A ke Bahrain; hadith Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Ibn ‘Amr ibn al-‘As pernah menulis perkara tetapi dia (Abu Hurairah) tidak menulis, dan hadith-hadith lain. Dan dikatakan bahawa hadith yang melarang menulis hadith telah dimansuhkan oleh hadith ini. Larangan itu berlaku apabila ada ketakutan bahawa sabda Nabi SAW akan bercampur dengan al-Quran. Apabila bahaya itu tidak ada lagi, kebenaran diberikan untuk menuliskannya. Dan dikatakan bahawa larangan yang disebutkan dalam hadith merujuk kepada menulis hadith pada halaman yang sama dengan al-Quran, yang menyebabkan pembaca akan keliru apabila melihat halaman tersebut. Dan Allah Maha Mengetahui. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 18/129-130)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
لَمَّا فَتَحَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ قَامَ فِي النَّاسِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: «إِنَّ اللَّهَ حَبَسَ عَنْ مَكَّةَ الفِيلَ، وَسَلَّطَ عَلَيْهَا رَسُولَهُ وَالمُؤْمِنِينَ، فَإِنَّهَا لاَ تَحِلُّ لِأَحَدٍ كَانَ قَبْلِي، وَإِنَّهَا أُحِلَّتْ لِي سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، وَإِنَّهَا لنْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي، فَلاَ يُنَفَّرُ صَيْدُهَا، وَلاَ يُخْتَلَى شَوْكُهَا، وَلاَ تَحِلُّ سَاقِطَتُهَا إِلَّا لِمُنْشِدٍ. وَمَنْ قُتِلَ لَهُ قَتِيلٌ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ، إِمَّا أَنْ يُفْدِىَ وَإِمَّا أَنْ يُقِيدَ». فَقَالَ العَبَّاسُ: إِلَّا الإِذْخِرَ، فَإِنَّا نَجْعَلُهُ لِقُبُورِنَا وَبُيُوتِنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِلَّا الإِذْخِرَ فَقَامَ أَبُو شَاهٍ – رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ اليَمَنِ – فَقَالَ: اكْتُبُوا لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اكْتُبُوا لِأَبِي شَاهٍ
Maksudnya: Ketika Allah membuka Makkah untuk Rasul-Nya, Baginda berdiri di antara manusia lalu memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian bersabda: “Sesungguhnya Allah menahan pasukan gajah dari Makkah dan menjadikan rasul-Nya dan orang-orang beriman berkuasa ke atasnya. Sesungguhnya Makkah tidak halal bagi seorang pun sebelumku, dan ia dihalalkan untukku seketika daripada waktu siang. Sesungguhnya ia tidak akan halal bagi seorang pun sesudahku. Tidak boleh diusik binatang buruannya, tidak ditebang pohonnya yang berduri, tidak halal diambil barang temuannya kecuali bagi orang yang ingin mengumumkan, dan barang siapa dibunuh anggota keluarganya, maka dia boleh memilih dua perkara: Mengambil tebusan atau minta ditegakkan syarat.” Al-Abbas berkata: “Kecuali izkhir, sesungguhnya kita menggunakannya untuk kubur dan rumah.” Rasulullah SAW bersabda: “Kecuali izkhir.” Abu Syah seorang penduduk Yaman bangkit lalu berkata: “Tuliskan untukku, wahai Rasulullah!” Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tolong tuliskan untuk Abu Syah.”
Riwayat al-Bukhari (2434) dan Muslim (1355)
Ibn Hajar al-’Asqalani berkata: Apa yang boleh difahami daripada kisah Abu Syah (“Tulislah untuk Abu Syah”) ialah bahawa Nabi SAW memberi keizinan untuk menulis hadith daripada baginda. namun , hadith ini bercanggah dengan hadith Abu Sa’id al-Khudri, yang mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, ‘Jangan kamu menulis sesuatu daripadaku melainkan Al-Quran.’ Kedua-dua hadith ini boleh dijama’kan dengan menyatakan bahawa larangan itu hanya berlaku pada masa al-Quran diturunkan, supaya ia tidak dikelirukan dengan sesuatu yang lain, dan keizinan untuk menulis hadith itu diberikan pada masa yang lain; atau larangan itu hanya digunakan untuk menulis perkara selain al-Quran dengan menulis al-Quran pada satu perkara, dan keizinan itu diberikan untuk menulisnya secara berasingan; daripada itu larangan itu didahulukan dan keizinan itu membatalkannya, apabila tidak ada lagi ketakutan akan berlakunya kekeliruan. Dikatakan bahawa larangan itu hanya dikenakan kepada mereka yang dikhuatiri akan bergantung kepada tulisan dan bukan menghafal sesuatu, dan keizinan diberikan kepada mereka yang tidak dikhuatiri perkara tersebut. Para ulama berkata: Sekumpulan sahabat dan tabi’in menganggap makruh menulis hadith dan mereka menganggapnya sebagai mustahab untuk mempelajarinya hafazan, sebagaimana mereka telah mempelajarinya dengan hafazan. Tetapi apabila manusia tidak mampu lagi bersungguh-sungguh dalam menghafaz dan para ulama takut ilmu itu hilang, mereka menulis dan menyusunnya dalam kitab-kitab.” (Lihat Fath al-Bari, 1/208)
Kebanyakan kaum Muslimin memahami bahawa dalam kurun waktu lebih daripada seratus tahun, para ulama’ saling meriwayatkan dan menerima hadith dengan lisan dan hafazan sahaja tanpa ditulis dan bahawa orang yang pertama kali menulis hadith adalah Imam Muhammad bin Syihab al-Zuhri atas perintah dari khalifah al-Rasyid Umar bin Abdul Aziz.
Selain itu, dalil yang menguatkan lagi berkenaan penulisan hadith ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-’As R.Anhuma, katanya:
كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أُرِيدُ حِفْظَهُ ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ عَنْ ذَلِكَ، وَقَالُوا: تَكْتُبُ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا؟ فَأَمْسَكْتُ، حَتَّى ذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: ” اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا خَرَجَ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ
Maksudnya: “Aku pernah menulis segala apa yang aku dengar daripada Rasulullah SAW, yang aku ingin menghafaznya, lalu orang-orang Quraisy melarangku sambil berkata, “Engkau menulis segala apa yang engkau dengarkan daripada Rasulullah SAW sedangkan baginda berkata-kata dalam keadaan marah dan redha?” Lalu aku menghentikan menulis sehingga aku sampaikan kepada Rasulullah SAW maka baginda bersabda: “Tulislah, kerana demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tiada yang keluar daripadanya melainkan kebenaran”
Riwayat Abu Dawud (3646), dan Ahmad (2802). Syeikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad (11/56) menyatakan bahawa sanadnya sahih
Diriwayatkan juga bagawa Abu Hurairah berkata:
مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي، إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو، فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلاَ أَكْتُبُ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat Nabi SAW yang lebih banyak meriwayatkan hadith Baginda SAW berbanding aku kecuali Abdullah bin ‘Amr. Ini kerana dia menulis, sedangkan aku tidak menulis.”
Riwayat al-Bukhari (113), al-Tirmizi (3841), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5853) dan Ahmad (9231)
Kesimpulan
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa larangan Nabi SAW daripada menulis sesuatu hadith daripada baginda sebagaimana yang telah diperincikan oleh para ulama’ adalah bahawa hadith itu telah dimansuhkan oleh hadith yang terkemudian yang membolehkannya sebagaimana dalil yang telah dikemukakan di atas. Tambahan pula, larangan Nabi SAW supaya tidak menulis hadith adalah kerana baginda bimbang berlakunya percampuran antara al-Quran dengan selain al-Quran. Justeru, apabila tamatnya penurunan al-Quran, maka sebab larangan tersebut telah pun hilang.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445