Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, berkenaan pos ini https://maktabahalbakri.com/2481-rasulullah-saw-pimpin-tangan-seseorang-di-akhirat-kelak/, bagaimana keadaannya jika seorang Muslim mengamalkan/membaca doa ini dalam keadaan hatinya kadangkala mempersoalkan takdir dan sebagainya? Adakah masih termasuk dalam golongan orang yang akan dipimpin Rasulullah SAW asbab membaca doa itu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu nas hadith mengenainya berserta sedikit penjelasan/huraian secara ringkas. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada al-Munaizir, sahabat Rasulullah SAW, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ إِذَا أَصْبَحَ: رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، فَأَنَا الزَّعِيمُ لِآخُذَ بِيَدِهِ حَتَّى أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan apabila pagi, ‘Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai nabi,’ maka, aku adalah ketuanya atau penjaminnya dan nescaya aku pegang tangannya sehingga aku memasukkannya ke dalam syurga.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (838).[1]

Makna ‘redha kepada Allah sebagai Rabb (Tuhan)’, adalah redha kepada segala perintah dan larangan-Nya, kepada ketentuan dan pilihan-Nya, serta kepada apa yang diberikan dan ditahan-Nya. Inilah syarat untuk mencapai tingkatan redha kepada-Nya sebagai Rabb secara utuh dan sepenuhnya. (Lihat Fiqh Asma’ al-Husna, hlm. 81).

Begitu juga al-Munawi menjelaskan, makna ‘redha Islam sebagai agama,’ adalah merasa cukup dengan mengamalkan Syariat Islam dan tidak akan berpaling kepada selain Islam. Demikian juga, ‘redha akan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul,’ ertinya hanya mencukupkan diri dengan mengikuti petunjuk dan Sunnah Rasulullah SAW dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, serta tidak menginginkan selain petunjuk dan Sunnah Baginda SAW. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/557).

Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa beriman dengan qadha’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, di mana Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW agar memberitahu kepadanya berkenaan dengan Iman. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: “Kamu beriman kepada Allah SWT, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk.”

Riwayat Muslim (8); Abu Daud (4695) dan lafaz hadith daripadanya; al-Tirmizi (2610); al-Nasa’i (4990); Ibn Majah (63); Ahmad (367)

Begitu juga Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran, setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan merupakan ketentuan Allah SWT, ini seperti firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).

(Surah al-Qamar: 49)

Syeikh al-Sa’di menyatakan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha Pencipta dan tiada yang selain daripada-Nya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku di bawah pengetahuan dan pantauan-Nya. (Lihat: Tafsir al-Sa‘di, 1/827).

Oleh sebab itu, kita dilarang daripada menyalahkan takdir atau mempersoalkan takdir dan seumpamanya, atas apa alasan pun. Sebaliknya kita hendaklah bersangka baik terhadap Allah SWT. Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya:Ketahuilah bahawa seseorang daripada kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT.

Riwayat Muslim (2877)

Kewajipan seseorang Mukmin itu bersangka baik kepada Allah SWT, serta memperbanyakkan lagi bersangka baik kepada-Nya ketika ditimpa musibah dan ujian. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith berkenaan bersangka baik kepada Allah SWT dengan menyatakan bahawa para ulama berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT dengan percaya Allah SWT Maha Penyayang dan Maha Pengampun. (Lihat al-Minhaj Syarh  Sahih Muslim, 17/210)

Pada masa yang sama, kita dituntut agar selalu atau berterusan berdoa kepada Allah SWT di samping mengamalkan zikir-zikir yang warid. Hal ini kerana di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Bahkan doa itu sendiri dianggap sebagai senjata orang beriman. Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa/zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian, di samping fadhilatnya yang besar sebagaimana doa/amalan di atas.

Sebelum kami mengakhiri jawapan kami ini, kami mengingatkan kepada semua secara umumnya, dan begitu juga kepada saudara yang bertanya secara khususnya agar membetulkan niat (tajdid niat) dan mengikhlaskan diri dalam melakukan amalan/zikir berkenaan. Ditambah lagi dengan keyakinan kepada Allah SWT dan husnu zan (bersangka baik) kepada-Nya. Insya-Allah jika demikianlah keadaannya berserta keyakinan yang jitu kepada-Nya, mudah-mudahan Allah SWT akan menggolongkan kita dan semua pengamalnya agar termasuk dalam golongan orang yang akan dipimpin Rasulullah SAW ke dalam syurga.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

[1] Sanadnya dinilai sebagai sahih seperti mana dinyatakan dalam al-Silsilah al-Sahihah (2686)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply