Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin minta sedikit penjelasan mengenai mas kahwin yang tidak menggunakan wang tunai. Ada yang mengatakan, jika mas kahwin menggunakan cek, tidak sah jika disebut tunai kerana cek dianggap sebagai hutang.

Isunya, mas kahwin sekarang  di sesetengah negeri mencapai ribuan ringgit, dan dari segi keselamatan ianya agak merbahaya untuk dibawa sejumlah besar wang tunai.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mahar menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud mas kahwin yang diberi kepada pengantin perempuan. Di dalam bahasa Arab ia disebutkan sebagai al-Sadaq (الصَّدَاقُ), iaitu harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah. Ia dinamakan sadaq untuk menunjukkan bahawa lelaki tersebbut benar-benar ingin berkahwin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Umum perlu ketahui bahawa mas kahwin merupakan suatu ketetapan yang telah syara‘ wajibkan ke atas suami untuk diberikan kepada isteri-isteri mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: “Berikanlah mahar kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa diwajibkan ke atas seseorang lelaki untuk memberikan mahar kepada isterinya, dan dia memberikannya dengan rela hati. Sepertimana dia memberikan sumbangan kepada penerima dengan sesuatu yang baik, begitu juga dia wajib memberikan kepada isterinya mahar yang baik juga. Sekiranya isteri dengan senang hati memberikan sebahagian daripada mahar tersebut, maka halal bagi suami tersebut untuk menikmatinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/186)

Begitu juga firman Allah SWT:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajipan.”

                                                                                             (Surah al-Nisa’: 24)

Dan juga firman Allah SWT dalam ayat yang seterusnya:

فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maharnya menurut yang patut.”

(Surah al-Nisa’: 25)

Pada asalnya, mahar yang wajib diberikan itu mestilah daripada sesuatu yang berharga atau bernilai berdasarkan uruf setempat. Ini sebagaimana yang datang dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi R.A bahawa Rasulullah SAW memerintahkannya untuk memberikan mahar dengan sebentuk cincin besi. Beliau menceritakan:

أَتَتِ النَّبِىَّ ﷺ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: ‘Aku tidak berhajat kepada perempuan.’ Lalu seorang lelaki berkata: ‘Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu.’ Sabda Baginda: ‘Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak memilikinya.’ Lalu Baginda bersabda lagi: ‘Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.’ Lelaki itu menjawab dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: ‘Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?’ Dia menjawab: ‘Ada sekian dan sekian.’ Baginda pun bersabda: ‘Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan ayat-ayat al-Quran yang ada padamu’.”

Riwayat al-Bukhari (5029) dan Muslim (1425)

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa jumhur fuqaha’ daripada mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali menyatakan bahawa segala sesuatu yang bernilai atau bayaran maka ia dibenarkan untuk dijadikan sebagai mas kahwin, manakala Mazhab Hanafi menyatakan bahawa mas kahwin itu apa-apa jenis harta yang bernilai di sisi manusia. Jika ia dinamakan sebagai harta, maka sah maharnya. Jika tidak dinamakan sebagai harta, maka tidak sah maharnya. Jumhur ulama’ berpandangan bahawa mahar adalah faedah dan manfaat yang boleh diambil pampasan daripadanya. Mazhab Syafi‘i, Hanbali, dan Maliki pada pandangan masyhur berpandangan bahawa dibolehkan untuk manfaat dijadikan sebagai mas kahwin, berdasarkan prinsip mereka bahawa segala sesuatu yang boleh diambil sebagai pampasan: maka sah untuk dipanggil mahar. Sah untuk suami menjadikan manfaat sebagai mahar seperti memberikan rumahnya, tunggangannya atau hambanya selama setahun untuk manfaat isterinya, atau suami menjadikan khidmat dia sebagai mahar seperti dia berkhidmat untuk bercucuk tanam, atau membina rumah atau menjahit baju, atau memberinya khidmat untuk musafir haji sebagai contohnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/155-156)

Mahar dalam Bentuk Cek

Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, kami cuba jelaskan terlebih dahulu secara ringkas definisi cek. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, cek merujuk kepada arahan bertulis di atas keping­an kertas tertentu kepada bank supaya membayarkan wang kepada pembawanya, atau memasukkannya ke dalam akaun tertentu sebanyak yang tertulis pada arahan itu.

Terdapat dua jenis cek yang kebiasaannya digunakan, sama ada Cek Terbuka atau Cek Berpalang. Cek Terbuka merujuk kepada cek yang boleh ditukar di kaunter bank untuk mendapatkan wang tunai dengan serta-merta. Manakala Cek Berpalang didefinisikan sebagai cek yang mempunyai dua garis selari (biasanya di sudut kiri sebelah atas muka cek tersebut) dan mesti­lah dimasukkan ke dalam akaun untuk mendapatkan bayarannya.

Sekiranya si suami menggunakan Cek Terbuka yang telah termaktub padanya jumlah wang dan penerimanya untuk membuat pembayaran mahar, maka tidak menjadi masalah untuk menggunakan lafaz tunai dalam pembayaran mahar kerana si isteri boleh menerima sejumlah wang yang ditetapkan tersebut sejurus dia membuat tunai cek di bank. Dalam erti kata lain, ianya dibolehkan kerana tidak berlakunya sebarang penangguhan bayaran apabila si isteri membuat urusan tunai cek.

Akan tetapi, sekiranya si suami menggunakan Cek Berpalang, maka ianya terkadang memerlukan sedikit masa sebelum jumlah wang tersebut boleh dikreditkan ke dalam akaun bank penerima. Hal ini bermakna si isteri akan menerima maharnya secara bayaran tangguh, maka lafaz pemberian mahar juga perlulah dengan lafaz tangguh dan bukannya lafaz tunai.

Dalam keadaan tertentu pula, apabila Cek Berpalang tersebut tidak tercatat padanya jumlah bayaran atau nama penerimanya, tetapi telah ditandatangani oleh pembayarnya, ia dinamakan sebagai Cek Kosong. Sekiranya si suami menggunakan Cek Kosong ini, maka perlu dijelaskan ketika akad nikah dilakukan, dan lafaz penyerahan mahar juga tidak boleh disebutkan sebagai tunai bahkan perlu diganti dengan lafaz tangguh.

Hal ini kerana dikhuatiri akan berlakunya sedikit tangguhan bayaran dengan cek kosong apabila si isteri membuat tunai cek di bank. Terdapat juga kebarangkalian jika si suami lewat memasukkan nilai wang yang ditetapkan di atas cek, ia akan menjadi ‘cek tendang’ yang tidak dapat ditukar dengan wang tunai kerana pengeluarnya tidak mempunyai wang yang cukup dalam akaun bank. Secara tidak langsung ia menyebabkan cek tersebut mempunyai unsur gharar (kesamaran) yang telah jelas larangannya oleh syara‘.

Rasulullah SAW telah melarang sebarang urusan muamalat yang mempunyai unsur ini seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa harus memberikan mahar dengan menggunakan cek. Namun, perlu diingati bahawa lafaz mahar yang disebutkan ketika akad perlulah jelas dan seiring dengan jenis cek yang digunakan.

  • Sekiranya si suami menggunakan Cek Terbuka yang tercatat padanya nilai wang dan nama penerima, hukum akad tersebut sah jika dilafazkan mahar dengan lafaz tunai.
  • Sekiranya si suami menggunakan Cek Berpalang, lafaz mahar yang perlu disebutkan ketika akad perlulah dengan lafaz tangguh, agar jelas buat si isteri bahawa bayaran mahar yang dibuat adalah secara bertangguh.

Kami juga menyarankan para suami untuk mengelakkan daripada menggunakan Cek Kosong agar tidak berlakunya sebarang masalah yang tidak diingini, serta berhati-hati daripada terdapatnya unsur gharar kerana adanya kebarangkalian cek tersebut menjadi Cek Tendang.

Perlu diingati juga bahawa mempamerkan mahar semasa majlis akad nikah merupakan adat dan bukanlah syarat sah perkahwinan. Oleh itu, sekiranya akad tersebut dilangsungkan tanpa membawa mahar wang secara tunai dan hanya dalam bentuk cek sekalipun, maka hukum akad tersebut masih sah. Ini hanyalah salah satu alternatif pemudah cara bagi membolehkan seseorang membawa sejumlah wang dengan nilai yang tinggi ke majlis akad. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Al-Baqarah: 185)

Dalam pada itu, kami juga menyarankan agar pemberian mahar dapat dilakukan secara wang tunai tanpa menggunakan cek kerana ianya lebih selamat dari sudut hukum syara‘ dan meyakinkan, serta sebagai langkah berhati-hati daripada tersilap dalam membezakan antara pemberian mahar secara tunai atau tangguh. Sebaiknya, apa pun cara bayaran mahar yang pihak lelaki lakukan mestilah jelas bagi pihak perempuan agar tidak berlaku apa-apa unsur pengkhianatan atau penipuan. Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat, di samping mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply