#3103: Bekerja di Institusi Kewangan Tidak Patuh Syariah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekarang saya bekerja di sebuah institusi kewangan patuh Syariah. Saya ingin tanya pendapat Dato’ Seri jika sekiranya saya tukar pekerjaan di institusi lain yang tidak patuh Syariah? Untuk makluman Dato’ Seri, pekerjaan saya hanya lebih tertumpu kepada auditing & governance. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bekerja itu disuruh dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Namun, kami katakan, dalam memilih pekerjaan, maka elakkanlah sebarang bentuk institusi yang ada riba. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يَبْقَى أَحَدٌ إِلاَّ أَكَلَ الرِّبَا فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْهُ أَصَابَهُ مِنْ بُخَارِهِ. قَالَ ابْنُ عِيسَى: أَصَابَهُ مِنْ غُبَارِهِ

Maksudnya: “Benar-benar akan datang satu zaman di tengah umat manusia, di mana tidak ada seorang pun kecuali dia akan makan riba. Jika dia tidak memakannya, maka dia akan terkena asapnya.” Ibn ‘Isa berkata: “Dia akan terkena debunya.”[1]

Riwayat Abu Daud (3331) dan Ibn Majah (2278). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Mulla ‘Ali al-Qari berkata: “Makna hadis adalah, seandainya ada orang yang selamat daripada makan riba yang hakiki, tetapi dia tidak akan selamat daripada kesan riba, walaupun hanya sedikit.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/129)

Maka, inilah yang kita bimbangkan. Justeru, walau bagaimana sekalipun, kami syorkan agar kekallah dalam institusi kewangan patuh Syariah. Ini kerana kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Justeru, dengan kekal dalam institusi patuh Syariah, maka tidak ada sebarang bentuk keraguan lagi. Selain itu, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, hlm. 61)

Maka, tidak guna kita memperoleh sedikit laba keuntungan, tetapi kita terdedah kepada sistem ribawi dalam mana-mana agensi yang terkait dengan hal ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Ulama’ berbeza pandangan sama ada al-Hasan al-Basri pernah mendengar daripada Abu Hurairah R.A atau tidak. Al-Hakim menyebut: “Para guru kami berbeza pendapat mengenai status al-Hasan, adakah dia pernah mendengar daripada Abu Hurairah? Jika sahih beliau pernah mendengar daripada Abu Hurairah, maka hadis ini sahih.” (Lihat Nasb al-Rayah, 2/476) Penulis kitab ‘Aun al-Ma’bud menyebut, hadith ini munqati’ (terputus sanadnya), kerana al-Hasan tidak mendengar daripada Abu Hurairah R.A. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/129)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *