Soalan:

Assalamualaikum, Dato’ Seri. Adakah perlu dibayar hutang yang statusnya dalam keadaan ragu sama ada ia berhutang atau sudah lunaskan? Boleh jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka’ab bin Malik: “Wahai Ka’ab”, Ka’ab menjawab: “Ya, aku datang wahai Rasulullah”. Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: “Rebatlah sebahagian”. Ka’ab membalas: “Ya, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, Jika telah thabit saudara ada menanggung hutang, maka ia tidak dapat dibebaskan kecuali dengan melangsaikannya atau membebaskan darinya. Ini kerana tanggungjawab yang telah ditetapkan dengan kepastian hanya boleh dibebaskan dengan kepastian. Hal demikian sebagaimana kaedah menyebut:

الذِّمَّةُ إِذَا عُمِرَتْ بِيَقِينٍ، فَلَا تَبْرَأْ إِلَّا بِيَقِينٍ

Maksudnya: Tanggungjawab yang telah ditegakkan dengan keyakinan, tidak boleh dibebaskan kecuali dengan keyakinan (Lihat Idoh al-Masalik ila Qawaid Imam Malik, hlm80)

Dalam isu ini, kami mengesyorkan agar saudara berhubung dengan pemberi hutang tersebut dan bertanyakan sama ada hutang tersebut telah dibayar atau masih belum. Kemungkinan besar, pemberi hutang tersebut mempunyai catatan lengkap mengenai semua transaksi hutang yang telah dilakukan. Oleh yang demikian, itu, jika terdapat keraguan mengenai status hutang, disarankan untuk segera menyelesaikan hutang tersebut , kerana pada asalnya ia dihukumkan  masih dalam tanggungjawab saudara melunaskannya.

Dalam isu ini Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin mengatakan: Jika seseorang mempunyai hutang dan meragui terhadap bayaran hutang tersebut, maka  prinsip asasnya adalah bahawa hutang tersebut akan terus wujud sehingga dia yakin bahawa dia telah melunaskannya. Walaubagaimanapun, untuk mencapai keyakinan dalam perkara ini, adalah mudah dan penting untuk berhubung dengan pihak yang berhak dalam perkara tersebut, iaitu pemiutang. Anda  boleh bertanya kepada mereka sama ada anda telah melunasi hutang tersebut atau tidak. Apabila anda telah mendapat jawapan daripada mereka, anda boleh bertindak mengikut apa yang mereka jawab.[1]

Di sini kami mengambil kesempatan untuk nasihatkan beberapa perkara :

  • Perlulah dicatat serta direkodkan jumlah hutang tersebut beserta maklumat-maklumat yang lain sebagaimana dalil pensyariatan hutang. Jumhur ulama’ mengatakan bahawa arahan untuk menulis hutang tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Ianya didatangkan di dalam uslub al-Irsyadiaitu sebagai panduan sahaja dan bukanlah sesuatu yang mewajibkannya. Mencatat segala hutang ini juga bagi mengelakkan dari terlupa dan juga berlakunya keraguan di kemudian hari.
  • Terdapatnya saksi untuk transaksi hutang tersebut.Ini juga sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

وَٱسۡتَشۡهِدُواْ شَهِيدَيۡنِ مِن رِّجَالِكُمۡۖ فَإِن لَّمۡ يَكُونَا رَجُلَيۡنِ فَرَجُلٌ وَٱمۡرَأَتَانِ مِمَّن تَرۡضَوۡنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ أَن تَضِلَّ إِحۡدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحۡدَىٰهُمَا ٱلۡأُخۡرَىٰۚ

Maksudnya: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya.

(Surah al-Baqarah: 282)

Hal hutang ini turut ditegaskan berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).

Riwayat al-Tirmizi (1078)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam.

[1] Lihat  https://binothaimeen.net/content/9777

Diakses pada 18 September 2023

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply