#3178: Menyapu Tahi Cicak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Rumah saya mempunyai banyak najis cicak. Setiap hari ada saja najis yang bertaburan walaupun sudah dicuci. Kadang-kadang tersapu atau tervacuum najis tersebut sebelum dibuang dan dibasuh terlebih dahulu. Maka, apakah status penyapu dan vacuum tersebut? Adakah saya perlu membasuhnya kerana terkena najis cicak. Saya tertekan memikirkan hal ini kerana saya sejenis orang yang cepat ‘anxious’ lagi-lagi berkaitan kesucian untuk beribadah. Dan adakah najis cicak yang kering tidak perlu dicuci dengan air? Hanya cukup dengan membuangnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Cicak

Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies.[5] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, cicak ialah sejenis reptilia kecil, badan dan ekornya panjang serta memiliki empat kaki.[6] Takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ini lebih dekat dengan cicak sebagaimana yang dikenali oleh kita semua di Malaysia.

Hukum tahi cicak

Berdasarkan kepada pembahagian di atas, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ

Maksudnya:Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’[10]

Sekalipun pada asalnya, mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan. Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan.[11]

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#251 Tahi Cicak adalah Najis[1]

#8 Tangki Air Dipenuhi Tahi Cicak[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sekiranya tahi cicak tersebut kering, maka memadai hanya menyapunya sahaja. Namun, sekiranya tahi tersebut basah dan kita menyapunya, maka jirus/ bersihkanlah bahagian penyapu yang terkena najis cicak tersebut.

Terkadang-kadang, banyak rumah yang mempunyai cicak yang banyak sehingga sukar untuk dikawal. Ketika itu, terdapat tahi cicak. Jika ini berlaku, kami syorkan agar tuan rumah bertindak untuk menghapuskan cicak-cicak tersebut dengan pelbagai ubatan dan alatan moden yang boleh digunakan. Dalam situasi seperti ini, ia juga boleh dianggap sebagai umum balwa, yang amat susah untuk dielakkan. Maka ketika itu, hukumnya diambil sebagai hukum umum balwa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/251-tahi-cicak-adalah-najis/

[2] https://maktabahalbakri.com/tangki-air-dipenuhi-tahi-cicak/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *