#3180: Adakah Seorang Anak Masuk Neraka Sekiranya Ibunya Membenci dan Memarahinya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya adalah anak lelaki kepada mak ayah saya dan saya sentiasa berusaha dan mencuba menjaga hati ibu saya sejak dari kecil lagi sehingga sekarang yang berumur 34 tahun. Namun, ibu saya tetap membenci saya dan sentiasa marah saya. Syurga saya dibawah tapak kaki ibu saya dan walaupun saya berusaha untuk menjaga hati ibu. Ibu saya tetap benci saya dan sentiasa tidak puas hati dgn saya. Soalan saya adalah, adakah saya akan masuk neraka walaupun saya atas dasar benci dan kemarahan ibu saya walaupun saya tidak ada menyakitkan hati ibu saya? Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seorang anak itu hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya kerana inilah arahan Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi,  8/3932)

Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3424) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat. Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402)

Sayyid Qutb berkata: “Sampai di sini gugurlah kewajipan ta’at kepada dua ibu bapa, dan di sinilah meningkatnya hubungan akidah mengatasi segala hubungan yang lain. Walaubagaimana hebat usaha, perjuangan, desakan dan penerangan yang dikemukakan oleh ibu bapa dengan tujuan memujuk si anak supaya mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diketahui ketuhanannya, maka dia diperintah supaya jangan taat kepada kehendak dua ibu bapa itu. Itulah perintah dari Allah selaku tuan punya hati yang pertama yang pasti ditaati. Tetapi perbezaan akidah di antara anak dan ibu bapa, juga perintah supaya mentaati ibu bapa dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah, tidaklah menggugurkan hak ibu bapa dari mendapat layanan yang baik dan persahabatan yang mesra dari anak-anaknya.” (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2788-2789)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa walaupun ibu saudara marah dan benci kepada saudara, namun ia tidaklah menyebabkan saudara masuk neraka. Benar, redha Allah adalah pada keredhaan ibu bapa, namun ia adalah perkara yang ketaatan dan juga dalam perkara yang harus sahaja. Hal ini kerana sekiranya ibu bapa yang tidak meredhai anak yang melakukan kebaikan dan ketaatan, ia tidaklah menjadikan seorang itu anak derhaka.

Oleh itu, kami nasihatkan supaya banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati ibu saudara kerana Allah SWT sahaja yang memegang hati seseorang itu dan Dia sahaja yang boleh melembutkan hati seseorang itu. Di samping itu, teruskan melakukan kebaikan dan ketaatan kepada ibu bapa walaupun dalam keadaan mereka tidak menyukai kita. Semoga Allah SWT melembutkan hati mereka untuk terus menyayangi anak mereka.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *