Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya dipelawa oleh seorang sahabat untuk join dia dalam bisnes Kripto. Soalan saya, apakah hukumnya perniagaan ini dari hukum syarak? Halal ke wang keuntungan itu untuk kita gunakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif ringkas berkenaan mata wang kripto atau cryptocurrency ini. Mata wang kripto ialah satu “aset” digital yang tidak zahir tetapi dianggap mempunyai nilai. Nilainya boleh dialih (transfer), diagih (distribute) dan ditukar (exchange) di mana pemindahannya adalah secara terus (peer-to-peer) tanpa melalui pihak ketiga (contohnya bank). Dengan menggunakan teknik yang dipanggil kriptografi, pemindahan data yang berlaku di atas talian akan dapat disulitkan (encryption) dengan menggunakan protokol berasaskan pada prinsip matematik lanjutan dan prinsip kejuruteraan komputer yang menjadikan ia hampir mustahil untuk dicerobohi, diduplikasi ataupun dipalsukan. Justeru, “aset” ini memenuhi ciri-ciri keselamatan moden iaitu kerahsiaan (confidentiality), kesahihan/integriti (authenticity/integrity), kesediaan (availability) dan tak-boleh sangkal (non-repudiation). (Lihat Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak oleh Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Dr. Marjan Muhammad, et. al, terbitan JAKIM, hlm. 6-7).

Seterusnya, Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim bersama barisan penyelidiknya telah menyimpulkan bahawa harus untuk bermuamalah dengan mata wang kripto, sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan, sekiranya parameter-parameter di bawah dipenuhi:

  • Pertukaran antara mata wang kripto dan juga antara mata wang kripto dan mata wang fiat dilakukan dengan memenuhi tuntutan jual beli mata wang (sarf). Kedudukan mata wang kripto sebagai “mata wang sekunder dan nisbi” adalah lebih dekat tabiatnya dengan mata wang fiat. Oleh itu, sewajarnya ia mengambil hukum ribawi atas alasan yang sama iaitu thamaniyat. Sehubungan dengan ini, segala syarat muamalat mata wang fiat sebagai item ribawi juga terpakai ke atas mata wang kripto.
  • Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang jenis dan ciri-ciri utama mata wang kripto. Pengguna sepatutnya hanya berurusan dengan mata wang kripto yang disokong oleh asas teknologi yang kukuh.
  • Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya. Ini termasuk maklumat tentang cara memilih e-wallet dan platfom pertukaran yang dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja. Pengguna juga harus mempunyai maklumat yang mencukupi tentang cara menyimpan kunci persendiriannya dengan selamat dan mempunyai tahap pemahaman yang baik mengenai keselamatan siber dan protokol privasi.
  • Pengguna seharusnya mengetahui mengenai peraturan yang dikenakan oleh platform pertukaran mata wang kripto. Perlu ditekankan di sini bahawa sesetengah platform pertukaran mempunyai sekatan tertentu, contohnya, pengguna tidak boleh mengeluarkan wang tunai dalam amaun yang banyak. Sekatan tersebut perlulah diketahui oleh pengguna.
  • Jika pengguna mengambil bahagian dalam Tawaran Awal Mata wang Kripto (ICO), mereka hendaklah mempunyai keupayaan di dalam memahami dan menilai “Kertas Putih Mata wang Kripto” (Cryptocurrency White Paper) yang dikeluarkan bagi mengelakkan mereka dimanipulasi dan ditipu dengan mudah.
  • Pengguna hendaklah memahami dengan jelas bahawa nilai mata wang kripto mungkin mengalami perubahan yang ketara dan besar dalam masa yang singkat. Nilainya juga berkemungkinan akan turun sehingga mencapai sifar.
  • Pengguna hendaklah sedar bahawa semua mata wang kripto (setakat ini) tidak dijamin dan disokong oleh bank pusat atau pihak pengawalselia yang lain. Dalam kes kerugian, atas sebab apa pun, pengguna harus maklum bahawa dia tidak dilindungi sebagai pengguna.

Penggunaan mata wang kripto diharuskan berasaskan kepada hujah berikut:

  1. Hukum asal ke atas sesuatu, khususnya di dalam muamalat adalah harus.
  2. Perkara asas di dalam muamalat adalah keredaan pihak-pihak yang berkontrak. Mereka boleh bersepakat untuk menerima apa saja (kecuali sesuatu yang diharamkan Syarak) termasuk mata wang kripto sebagai penyelesaian kepada barangan yang dijual dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan adanya keredaan ini, maka kebimbangan akan berlaku pertelingkahan (niza’) antara pihak-pihak yang berkontrak akan dapat dihindarkan.

Adalah haram menggunakan mata wang kripto sebagai bayaran kepada barangan dan perkhidmatan tidak patuh Syariah. Begitu juga haram bagi sesiapa menggunakannya sebagai alat untuk aktiviti penggubahan wang haram (money laundering) atau mana-mana aktiviti yang menyalahi syarak dan undang-undang.

Kerajaan yang diwakili oleh bank pusat atau mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan boleh mengawal atau melarang penggunaan mata wang kripto. Dari perspektif Syariah, kerajaan boleh mengharamkan atau meletakkan syarat ke atas sesuatu yang halal dan harus (diistilahkan sebagai taqyid al-mubah) jika ia boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat. Jika ini berlaku (pengharaman oleh kerajaan sebagai contoh), berurusan dengan mata wang kripto akan juga dianggap sebagai tidak mematuhi Syariah. Di dalam hal ini, misalnya, berasaskan kepada laporan bahawa sebahagian besar aktiviti Tawaran Awal Mata wang Kripto (ICO) adalah sebenarnya skim penipuan, keterlibatan masyarakat di dalam aktiviti ini adalah haram. Ini adalah untuk menjaga kemaslahatan umum dalam konteks sadd al-zari‘ah (menutup pintu yang boleh membawa kepada kemudaratan). Pengecualian boleh diberikan jika aktiviti ini dilakukan melalui kebenaran rasmi pihak pengawal selia yang telah memastikan bahawa ianya bukanlah aktiviti penipuan.

Aktiviti melombong (mining) adalah pada asalnya harus. Namun ini juga bergantung kepada kontrak yang sepatutnya juga patuh Syariah. Adalah disarankan agar pihak berautoriti mengambil langkah yang sewajarnya di dalam mengawal selia muamalat berkaitan mata wang kripto, khususnya ke atas platform pertukaran (exchanges). Ini adalah untuk memastikan pengguna mata wang kripto dapat dilindungi. Pengawalseliaan platform pertukaran juga akan mengurangkan kebarangkalian penggunaan mata wang kripto untuk aktiviti jenayah atas alasan identiti penggunanya tidak diketahui. Platform pertukaran yang dikawal selia akan melaksanakan proses mengenali pelanggan (know your customer) yang sewajarnya sebelum membenarkan mereka menggunakan platfom tersebut di dalam urusan yang berkaitan dengan mata wang kripto. (Lihat Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak, terbitan JAKIM, hlm. 59-61).

Dalam menjawab soalan di atas, dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah lain menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ

Maksudnya:Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.

Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya:Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kita harus ingat bahawa mata wang kripto ini termasuk dalam item ribawi kerana kedudukannya sebagai “mata wang sekunder dan nisbi” adalah lebih dekat tabiatnya dengan mata wang fiat. Oleh itu, sewajarnya ia mengambil hukum ribawi atas alasan yang sama iaitu thamaniyat. Sehubungan dengan ini, segala syarat muamalat mata wang fiat sebagai item ribawi juga terpakai ke atas mata wang kripto.

Selain itu, berkenaan bisnes Kripto yang diajukan dalam soalan di atas juga kami kurang jelas berkenaan perniagaan tersebut dan bagaimanakah cara pelaksanaannya. Namun, kami katakan di sini pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam.

Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti transaksi mata wang fiat yang tidak memenuhi syaratnya, syarikat arak, kedai judi, atau seumpamanya. Begitulah juga, sekiranya aktiviti dan tugasan sesuatu syarikat itu harus, maka hukumnya adalah harus seperti restoran makanan halal, perniagaan jual beli buah-buahan, perniagaan yang tidak melibatkan sistem riba dan lain-lain. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan:

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksud: “Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.”

Justeru, kami berpendapat bahawa bisnes Kripto adalah diharuskan sekiranya ia tidak melibatkan perkara-perkara haram menurut syarak seperti sistem ribawi, jual beli item ribawi yang tidak memenuhi syarat, penipuan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh syariah dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, hasil pendapatan dan keuntungan yang diperoleh daripadanya juga adalah halal. Sekiranya tidak — iaitu ia melibatkan perkara-perkara haram menurut syarak — maka ia adalah diharamkan dan hasil pendapat dan keuntungan yang diperoleh juga adalah haram.

Malah, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 yang telah membincangkan mengenai Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak telah memutuskan, keharusan menjalankan urus niaga untuk menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter yang telah digariskan.[1]

Namun, jika terdapatnya keraguan atau ketidakpastian mengenai suatu perkara atau pekerjaan terutama dari sudut kepatuhannya menurut pawaian syariah, maka meninggalkannya adalah lebih baik dan lebih menenangkan jiwa. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Lebih-lebih lagi, Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Parameter-parameter yang telah digariskan itu boleh dirujuk di dalam Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak oleh Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Dr. Marjan Muhammad, et. al, terbitan JAKIM, hlm. 62).

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply