#3220: Mengucup al-Quran Yang Terjatuh Di Lantai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga berada dalam keadaan sihat wal a’fiyat. Saya ada persoalan apakah hukum mencium mushaf yang terjatuh di lantai? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)

(Surah al-Waqiah:77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Firman Allah SWT lagi:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”.

(Surah al-Haj:32)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ : Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perbuatan mengucup al-Quran selepas terjatuh merupakan satu perbuatan yang baik dan menandakan seseorang itu mempunyai  adab yang tinggi  dengan al-Quran serta memuliakannnya. Selain itu terdapat fuqaha dari kalangan mazhab Syafi’e dan Hanbali yang menyatakan perbuatan mengucup al-Quran adalah harus bahkan ada yang menyatakan ianya sunnah.

Dalam isu  ini telah dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa: adalah dibolehkan mencium al-Qur’an kerana memuliakannya dan ini adalah pendapat mazhab al-Hanabilah. Diriwayatkan daripada Imam Ahmad Rahimahullah bahawa perbuatan tersebut adalah sunat berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Umar RA:

كَانَ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ كُلَّ غَدَاةٍ وَيُقَبِّلُهُ، وَيَقُول: عَهْدُ رَبِّي وَمَنْشُورُ رَبِّي عَزَّ وَجَل

Maksudnya: “Beliau mengambil al-Qur’an setiap pagi (antara fajar hingga terbit matahari) lalu menciumnya sambil berkata: “Perjanjian Tuhanku dan penyebaran Tuhanku”.

Di samping itu, Uthman RA juga mencium al-Qur’an dan menyapunya di wajahnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,13/133)

Sebahagian ulama’ yang cenderung kepada keharusannya bersandarkan kepada sebuah athar yang disandarkan kepada perbuatan Ikrimah bin Abi Jahal. Athar tersebut adalah:

كَانَ عِكْرِمَةُ بْنُ أَبِي جَهْلٍ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ فَيَضَعُهُ عَلَى وَجْهِهِ وَيَبْكِي وَيَقُولُ: كَلَامُ رَبِّي كِتَابُ رَبِّي

Maksudnya: “Adapun Ikrimah bin Abi Jahal RA mengambil mushaf (al-Quran), lalu meletakkannya di wajahnya dan menangis sambil berkata: Ini adalah ucapan Tuhanku, ini kitab Tuhanku.”

Riwayat al-Thabarni di dalam Mu’jam al-Kabir (1018), al-Hakim di dalam al-Mustadrak (5062) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (2037)

Dar al-Ifta al-Urduniyyah juga menyatakan : Mengucup mushaf merupakan penghormatan dan pengagungan terhadapnya, sama seperti manusia mencium Hajar al-Aswad sebagai tanda pengagungan terhadapnya. Oleh itu, tiada masalah bagi seorang Muslim untuk mencium al-Quran yang mulia ini. Dan tidak dapat dinafikan bahawa  akan diberikan ganjaran atas tindakan tersebut.[1]

Justeru kami berpandangan mengucup al-Quran selepas mengambilnya dari terjatuh adalah baik dan digalakkan. Ini kerana terdapat athar sahabat yang melakukan perbuatan tersebut disamping ia merupakan perbuatan yang melambangkan akhlak dan adab yang mulia. Selain itu, tindakan ini juga dapat memberi kesan positif kepada orang lain yang menyaksikannya. Ia boleh menjadi contoh yang baik dan menginspirasi orang lain untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya memuliakan al-Quran dalam kehidupan mereka. Oleh itu, mengucup al-Quran selepas terjatuh bukan hanya satu perbuatan yang baik, akan tetapi juga merupakan satu cara  untuk menzahirkan kecintaan terhadap kitab suci al-Quran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam

[1] https://www.aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2645

Diakses pada 20 September

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *