Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tinggal di Melaka dan saya bermusafir ke Kuala Lumpur selama tiga hari. Semasa pulang dari Kuala Lumpur ke Melaka, saya terus ke tempat kerja di Ayer Keroh, Melaka. Soalan saya, adakah saya masih dikira musafir dan bolehkah kalau saya solat jamak dan qasar. Jarak tempat saya bekerja ke rumah lebih kurang 5 km. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang empat rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan dua rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”
Riwayat al-Bukhari (1107)
Dalam menjawab soalan di atas, sekiranya sudah sabit permusafiran tersebut, maka dibolehkan baginya untuk mendapat kemudahan (rukhsah) bagi menjamakkan atau mengqasarkan solatnya. Hal ini kerana dalil-dalil menunjukkan kepada keharusan melakukan jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir. Ini adalah seperti mana hadith Mu‘az bin Jabal R.A, katanya:
خَرَجْنا مع رَسولِ اللهِ ﷺ في غَزْوَةِ تَبُوكَ، فَكانَ يُصَلِّي الظُّهْرَ والعَصْرَ جَمِيعًا، والمَغْرِبَ والعِشاءَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW ekspedisi peperangan Tabuk. Lalu Baginda SAW menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak, dan begitu juga solat Maghrib dan Isyak secara jamak.”
Riwayat Muslim (706)
Justeru, selama mana seseorang itu dalam permusafiran (yakni perjalanan sebelum sampai ke tempat yang dituju yang bermukim) maka dia dibolehkan untuk melakukan solat musafir (jamak dan qasar).
Maka, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa pada asasnya selagi mana saudara masih belum sampai ke rumah (tempat/kawasan yang bermukim) maka saudara masih dianggap sebagai orang yang bermusafir (dalam perjalanan) dan masih dibolehkan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445