Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami dengar selepas pembukaan Ka’bah, Bilal diperintah untuk melaungkan azan di atas Ka’bah. Boleh ceritakan kisah tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan biografi Bilal R.A secara ringkas.

Bilal bin Rabah termasuk dalam kalangan mereka yang awal menerima dan memeluk agama Islam. Beliau ialah Bilal bin Rabah maula Abu Bakar al-Siddiq. Abu Bakar membelinya dengan harga 5 Uqiyah. Ada yang berpendapat dengan 7 Uqiyah dan ada juga yang berpendapat dengan 9 Uqiyah, lalu memerdekakannya kerana Allah SWT. Ibunya bernama Hamamah. Beliau merupakan muazzin Rasulullah SAW. Beliau juga termasuk salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun yang mula-mula diseksa kerana mempertahankan tauhid, menyertai peperangan Badar, dan termasuk dalam kalangan yang dijanjikan syurga. Hadith-hadith beliau terdapat dalam kitab-kitab hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Abu Uthman al-Nahdi, al-Aswad, ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila dan ramai lagi. Begitu juga kelebihan dan kebaikannya juga banyak. Beliau hidup selama 60 tahun lebih. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/347; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/415).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, Abu Bakar al-Siddiq membelinya daripada orang musyrikin ketika mana mereka menyeksanya kerana tauhid, lalu memerdekakannya. Setelah itu, beliau melazimi Nabi SAW dan menjadi muazzin Baginda. Beliau juga menyertai atau bersama Baginda SAW dalam banyak peristiwa dan peperangan. Selain itu, Nabi SAW juga telah mempersaudarakannya dengan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Kemudian, Bilal bin Rabah selepas kewafatan Nabi SAW telah keluar sebagai mujahid sehinggalah beliau wafat di Syam.  (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/455).

Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu ‘Abd al-Karim. Ada yang berpendapat, Abu ‘Abdillah, dan ada juga yang berpendapat Abu ‘Amr. Beliau merupakan bekas hamba Bani Jumah. Begitu juga Umayyah bin Khalaf sering menyeksanya. Kemudian, ditakdirkan Allah SWT Bilal berjaya membunuhnya dalam peperangan Badar. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/415).

Diceritakan bahawa Umayyah bin Khalaf pernah membawanya keluar ketika panas terik, lalu membaringkannya di satu kawasan lapang Makkah. Kemudian memerintahkan agar satu batu besar diletakkan di atas dadanya. Kemudian berkata: “Perkara ini akan berterusan sehinggalah dia mati atau kufur dengan Muhammad.” Manakala Bilal pula dalam keadaan tersebut terus mengatakan: “Ahad, Ahad.” Setelah itu, Abu Bakar melewatinya dan membeli Bilal daripadanya dengan hamba miliknya yang berkulit hitam.  (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/456).

Menurut Imam al-Bukhari, beliau wafat di Syam pada zaman Umar R.A. Ibn Bukair menyebutkan bahawa beliau meninggal dunia kerana jangkitan Taun ‘Amwas, dan ‘Amr bin Ali berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/456).

Ada juga yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah di Dimasyq. Menurut al-Waqidi, beliau dikebumikan di Bab al-Saghir, ketika berusia 60 tahun lebih. Manakala Ali bin Abdullah al-Tamimi pula berpendapat, beliau dikebumikan di Bab Kisan. Ibn Zaid pula menyebutkan, jenazahnya dibawa dari Darayya dan dikebumikan di Bab Kisan. Bukan itu sahaja, ada juga yang berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 21 Hijrah. Menurut Marwan bin Muhammad al-Tatari, Bilal meninggal dunia di Darayya, lalu jenazahnya dibawa dan dikebumikan di Bab al-Saghir. ‘Abd al-Jabbar bin Muhammad dalam Tarikh Darayya menyebutkan bahawa beliau mendengar sekumpulan orang dari Khaulan berkata: “Sesungguhnya kubur Bilal di Darayya di perkuburan Khaulan.” Selain itu, Ali bin ‘Abd al-Rahman pula berpendapat, Bilal meninggal dunia di Halab dan dikebumikan di Bab al-Arba‘in. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/359-360).

Peristiwa Bilal R.A melaungkan azan dari atas Kaabah

Waktu solat sudah pun masuk; Rasulullah SAW mengarahkan Bilal naik ke Kaabah dan melaungkan azan. Ketika itu, Abu Sufiyan bin Harb, Itab bin Usayd dan al-Harith bin Hisham sedang duduk di halaman Kaabah. Itab berkata, “Sesungguhnya Allah Taala telah memuliakan Usayd kerana tidak mendengar azan ini. Kalau dia mendengarnya, tentu dia akan marah.”

Al-Harith pula berkata, “Demi Allah, kalau aku tahu Muhammad ini benar tentulah aku akan mengikutnya.” Kata Abu Sufiyan, “Demi Allah, aku tidak mahu berkata apa-apa kerana kalau aku bercakap, nescaya batu-batu kerikil ini pun akan menyampaikan kata-kataku.” Kemudian Rasulullah SAW keluar kepada mereka lalu berkata, “Aku telah pun tahu apa yang kamu bicarakan,” lalu Rasulullah SAW menceritakan apa yang mereka bualkan. Lalu al-Harith dan Itab berkata, “Kami naik saksi bahawa engkau adalah Rasulullah SAW; demi Allah tidak ada seorang pun di antara kami membocorkan apa yang kami bualkan.” (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 701-702)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply