Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Untuk bacaan surah sajadah pada subuh hari Jumaat. Boleh ke tidak baca satu ayat atau perlu baca satu surah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Banyak masjid khususnya di negara kita mengamalkan bacaan surah al-Sajadah dan surah al-Insan di dalam solat Subuh pada setiap hari Jumaat. Ini kerana, hukum baca surah al-Sajadah – sunat bahkan ia juga menjadi sunnah Nabi SAW. Akan tetapi, riwayat menyebut dibaca pada hari Jumaat surah al-Sajadah pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat kedua, selepas selesai bacaan al-Fatihah.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan الم تَنْزِيلُ al-Sajadah dan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.”
Riwayat al-Bukhari (891), Muslim (879)
Terdapat sebuah lagi riwayat yang hampir dengan riwayat di atas, juga daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ: بِالم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan “الم تَنْزِيلُ” (al-Sajadah) pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (al-Insan) .”
Riwayat Muslim (880)
Berdasarkan dua buah hadith yang sahih di atas, maka jelaslah bahawasanya Nabi SAW membaca dua surah ini ketika Baginda SAW menunaikan solat Subuh atau Fajar pada hari Jumaat.
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani:
وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ قِرَاءَةِ هَاتَيْنِ السُّورَتَيْنِ فِي هَذِهِ الصَّلَاةِ مِنْ هَذَا الْيَوْمِ لِمَا تُشْعِرُ الصِّيغَةُ بِهِ مِنْ مُوَاظَبَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ذَلِكَ أَوْ إِكْثَارِهِ مِنْهُ
Maksudnya: “Padanya (pada hadith ini) menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” (Lihat Fath al-Bari, 378/2)
Selain itu juga, menurut mazhab al-Syafi’i disunatkan membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan pada solat subuh Jumaat berdalilkan amalan Nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas. (Lihat al-Muktamad, 261/1)
Ini untuk mengingatkan kita tentang hari Kiamat, kejadian manusia serta pembalasannya di samping nikmat syurga dan azab neraka. Sementelahan pula pada hari Jumaat lah diciptakan manusia, masuk ke dalam syurga, dikeluarkannya dan tidak berlaku kiamat kecuali pada hari Jumaat. Ini antara sebab kita disuruh membaca kedua-dua surah tersebut secara penuh.
Adapaun membaca satu surah sahaja atau sebahagian daripadanya di tempat untuk sujud sajadah maka, hukumnya tidaklah salah tetapi khilaf aula.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445