Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah tiang-tiang di Raudhah merupakan tempat mustajab berdoa? Memadaikah jika berdoa di mana sahaja asalkan dalam kawasan Raudhah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berdasarkan apa yang kami maklum, tidak terdapat dalil yang khusus dan jelas menyebutkan bahawa Raudhah itu merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Akan tetapi, para ulama’ berijtihad bahawa ia merupakan salah satu tempat yang sangat baik untuk beribadat dan beramal soleh, seperti mendirikan solat, berzikir, membaca al-Quran dan berdoa.
Ini berdasarkan umum hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid dan Abu hurairah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ، وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي
Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman Syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku.”
Riwayat al-Bukhari (1195) dan Muslim (1390)
Dalam pada itu, terdapat perbezaan pendapat tentang maksud “satu taman daripada taman-taman Syurga” yang disebutkan dalam hadith di atas.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa terdapat beberapa takwilan:
- Ia diibaratkan seperti salah satu taman Syurga yang mana diturunkan rahmat padanya, dan mencapai kebahagiaan dengan berterusannya halaqah-halaqah zikir, terutama semasa zaman Rasulullah SAW.
- Ia hanyalah suatu perumpamaan, adapun yang dimaksudkan adalah menunaikan ibadah di situ akan membawa seseorang itu ke Syurga.
- Atau, yang dimaksudkan adalah zahir hadith tersebut, iaitu kawasan tersebut sememangnya salah satu daripada taman Syurga. Ianya kelak akan dipindahkan ke dalam Syurga.
Beginilah susunan takwilan ulama’ yang disebutkan oleh Ibn Hajar daripada pandangan yang paling kuat sehingga yang paling lemah. (Lihat Fath al-Bari, 4/100)
Imam al-Nawawi pula membawakan 2 pandangan ulama’:
- Kawasan yang disebutkan itu kelak akan dipindahkan ke dalam Syurga.
- Menunaikan amal ibadat di dalam kawasan tersebut akan membawa seseorang itu ke Syurga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/161)
Al-Qadhi ‘Iyadh juga turut menyebutkan 2 pandangan:
- Beribadat di situ melazimkan seseorang itu ke Syurga, dan berdoa serta bersolat di situ menjadikan seseorang itu berhak mendapat pahala.
- Kawasan yang disebutkan itu, secara zatnya akan dipindahkan oleh Allah SWT ke Syurga. (Lihat al-Syifa, 2/92)
Secara keseluruhannya, hanya Allah SWT Rasul-Nya sahaja yang tahu akan hakikat sebenar yang dimaksudkan dengan taman Syurga ini. Adapun, kita semua pasti bahawa Raudhah ini merupakan tempat yang mempunyai kelebihannya tersendiri, sehinggakan para sahabat suka untuk berkumpul dan beribadat di dalam kawasan ini. Di Raudhah ini juga telah berlakunya pelbagai peristiwa sehingga terdapat beberapa tiang tertentu yang menjadi mercu tanda sejarah kisah-kisah yang berlaku.
Antara riwayat yang sahih dan thabit tentang amal ibadat di dalam Raudhah ini adalah Rasulullah SAW gemar mendirikan solat sunat di satu tiang yang dinamakan sebagai al-Mukhallaqah (المُخَلَّقَةُ), iaitu tiang yang disapukan padanya wangian. Diriwayatkan daripada Yazid, katanya: Dahulu Salamah bin al-Akwa‘ sering solat di tiang itu (Tiang al-Mukhallaqah), di mana diletakkan salinan mushaf al-Quran. Lalu aku katakan padanya:
أَرَاكَ تَتَحَرَّى الصَّلاَةَ عِنْدَ هَذِهِ الأُسْطُوَانَةِ
Maksudnya: “Aku melihat kamu ini sering untuk solat di tiang ini.”
Lalu Salamah menjawab:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَتَحَرَّى الصَّلاَةَ عِنْدَهَا
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW sering solat di tiang ini.”
Riwayat al-Bukhari (502) dan Muslim (509)
Terdapat juga riwayat yang berstatus lemah atau dha‘if, yang mana dikhususkan keistimewaan tertentu bagi mereka yang beribadat di Tiang ‘Aisyah. Ini diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ فِي الْمَسْجِدِ لَبُقْعَةً قَبْلَ هَذِهِ الْأُسْطُوَانَةِ، لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا صَلَّوْا فِيهَا إِلَّا أَنْ يُطَيَّرَ لَهُمْ فِيهَا قُرْعَةٌ، وَعِنْدَهَا جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ، وَأَبْنَاءِ الْمُهَاجِرِينَ، فَقَالُوا: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، وَأَيْنَ هِيَ؟ فاسْتَعْجَمَتْ عَلَيْهِمْ، فَمَكَثُوا عِنْدَهَا سَاعَةً، ثُمَّ خَرَجُوا، وَثَبَتَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْر. فَقَالُوا إِنَّهَا سَتُخْبِرُهُ بِذَلِكَ الْمَكَانِ فَأَرْمَقُوهُ فِي الْمَسْجِدِ حَتَّى يَنْظُرُوا حَيْثُ يُصَلِّي، فَخَرَج بَعْدَ سَاعَةٍ فَصَلَّى عِنْدَ الْأُسْطُوَانَةِ الَّتِي صَلَّى إِلَيْهَا ابْنُهُ عَامِرُ بْنُ عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبيرِ، وَقِيلَ لَهَا أُسْطُوَانَةُ القُرْعَةِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam masjid terdapat suatu kawasan yang menghadap tiang ini, yang tidak diketahui oleh orang ramai. Sekiranya mereka tahu, nescaya mereka tidak akan (berusaha untuk) menunaikan solat di tempat itu melainkan mereka perlu mencabut undi. Pada ketika itu, di sisi ‘Aisyah terdapat anak-anak kepada para sahabat. Lalu mereka bertanya: Wahai Ummu al-Mu’minin, di manakah tempat tersebut? Lalu beliau pun mendiamkan diri. Maka mereka itu pun duduk sebentar di sisi beliau. Kemudian mereka keluar, namun Abdullah bin al-Zubair terus kekal disitu. Lalu mereka berkata: Sesungguhnya ‘A’ishah pasti akan menceritakan kepadanya (Abdullah) akan dimana tempat tersebut. Maka perhatikanlah kamu akan dia di dalam masjid, sehingga kamu dapat melihat tempat dia mendirikan solat. Lalu ‘Abdullah pun keluar setelah beberapa ketika, dan beliau mendirikan solat di sisi tiang yang anak lelakinya ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair telah solat padanya. Dikatakan tentangnya: Tiang al-Qur‘ah.”
Riwayat al-Tabarani (862) di dalam al-Mu‘jam al-Awsat. Ia dinilai dha‘if oleh Syeikh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa dalil dan hujjah tentang kelebihan kawasan Raudhah ini adalah jelas dan sahih. Maka berdoa dan beramal lah sebanyak mungkin sekiranya berpeluang untuk menziarahi salah satu masjid yang agung dalam Islam ini, al-Masjid al-Nabawi.
Adapun yang thabit tentang kelebihan mana-mana kawasan tiang di dalam Raudhah, hanya riwayat kisah beribadah di Tiang al-Mukhallaqah sahaja yang sahih dari Nabi SAW. Maka sekiranya saudara mampu, berusahalah untuk bersembahyang dan berdoa di tiang tersebut. Ini juga tidak menafikan bahawa keseluruhan Raudhah itu juga sangat baik untuk didirikan solat dan berdoa.
Semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan kesempatan kepada kita untuk menjadi tetamu-Nya di bumi al-Haramain, serta kelapangan waktu untuk beribadah juga bermunajat di sana. Amin.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445