Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sebelum Rasulullah SAW lahir, ada Raja Yaman bermimpi dan ia mimpi yang menakutkan. Akhirnya, dia meminta 2 orang ahli ta’bir mimpi di negerinya untuk menta’birkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Benar. Kisah ini menceritakan antara tanda-tanda kenabian (Dala’il al-Nubuwwah) Nabi Muhammad SAW yang lama sebelum Baginda SAW dilahirkan. Banyak tanda kenabian yang tidak hanya muncul ketika seorang nabi telah terpilih. Salah satunya adalah mimpi seorang Raja Yaman, Rabi’ah bin Nasr.

Dalam al-Sirah al-Nabawiyyah li Ibn Hisyam diriwayatkan: Ibnu Ishaq Rahimahullah berkata:

وَكَانَ رَبِيعَةُ بْنُ نَصْرٍ مَلِكُ الْيَمَنِ بَيْنَ أَضْعَافِ مُلُوكِ التَّبَابِعَةِ فَرَأَى رُؤْيَا هَالَتْهُ وَفَظِعَ بِهَا فَلَمْ يَدَعْ كَاهِنًا، وَلَا سَاحِرًا، وَلَا عَائِفًا وَلَا مُنَجِّمًا مِنْ أَهْلِ مَمْلَكَتِهِ إلَّا جَمَعَهُ إلَيْهِ، فَقَالَ لَهُمْ: إنِّي قَدْ رَأَيْتُ رُؤْيَا هَالَتْنِي، وَفَظِعْتُ بِهَا، فَأَخْبِرُونِي بِهَا وَبِتَأْوِيلِهَا، قَالُوا لَهُ: اُقْصُصْهَا عَلَيْنَا نُخْبِرْكَ بِتَأْوِيلِهَا، قَالَ: إنِّي إنْ أَخْبَرْتُكُمْ بِهَا لَمْ أَطْمَئِنَّ إلَى خَبَرِكُمْ عَنْ تَأْوِيلِهَا، فَإِنَّهُ لَا يَعْرِفُ تَأْوِيلَهَا إلَّا مَنْ عَرَفَهَا قَبْلَ أَنْ أَخْبُرَهُ بِهَا. فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنْهُمْ: فَإِنْ كَانَ الْمَلِكُ يُرِيدُ هَذَا فَلْيَبْعَثْ إلَى سَطِيحٍ وَشِقٍّ، فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ أَعْلَمَ مِنْهُمَا، فَهُمَا يُخْبِرَانِهِ بِمَا سَأَلَ عَنْهُ

Rabi’ah bin Nasr, seorang Raja Yaman di antara ramai raja-raja al-Tababi’ah bermimpi melihat hal yang menakutkan, kemudian dia memanggil semua dukun, tukang sihir, tukang ramal, ahli nujum dari kerajaannya, setelah berkumpul dia berkata kepada mereka:

‘Sesungguhnya aku bermimpi melihat hal yang menakutkanku, aku pun merasa ngeri dibuatnya. Oleh kerana itu, jelaskan takwil mimpi itu kepadaku.’

Mereka menjawab: ‘Ceritakanlah kepada kami mimpi Baginda, maka kami akan menjelaskan takwil di balik mimpi Baginda.’

Rabi’ah bin Nasr berkata: ‘Sesungguhnya jika aku ceritakan terlebih dahulu mimpiku kepada kamu semua, aku tidak akan merasa puas dengan penjelasan kamu semua, kerana sesungguhnya erti mimpiku tidak akan difahami kecuali oleh orang yang mengetahuinya terlebih dahulu sebelum aku menceritakannya.’

Kemudian berkata salah seorang di antara mereka: ‘Jika itu yang dikehendaki Baginda, seharusnya Baginda mengutus seseorang untuk memanggil Sathih dan Syiq, kerana tidak ada seorang pun yang lebih berpengetahuan mengenai hal ini dibandingkan mereka berdua, keduanya akan menjelaskan apa yang baginda tanyakan’.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/31-32)

Setelah mengalami mimpi itu, ia mengutus seseorang untuk mengundang Sathih dan Syiq. Sathih datang lebih dulu dan terus menghadap Raja Rabi’ah bin Nasr. Sang raja berkata kepada Sathih:

 إنِّي رَأَيْتُ رُؤْيَا هَالَتْنِي وَفَظِعْتُ بِهَا، فَأَخْبِرْنِي بِهَا، فَإِنَّكَ إنْ أَصَبْتَهَا أَصَبْتَ تَأْوِيلَهَا

“Sesungguhnya aku mengalami mimpi yang mengerikan, jelaskanlah erti mimpi itu kepadaku. Jika kau berhasil mengetahui mimpi menakutkan itu, kau pasti mampu memberikan takwilnya.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/ 31-32)

Dengan tenang Sathih meramalkan mimpi menakutkan yang dialami Raja Rabi’ah bin Nasr. Ia mengatakan:

 أَفْعَلُ، رَأَيْتُ حُمَمَةَ خَرَجَتْ مِنْ ظُلْمَةِ فَوَقَعَتْ بِأَرْضِ تَهَمَةِ فَأَكَلَتْ مِنْهَا كُلَّ ذَاتِ جُمْجُمَةِ

“Akan kulakukan, aku melihat sebuah gumpalan hitam (arang) yang keluar dari tempat gelap yang kemudian jatuh ke tanah yang datar dan melahap semua makhluk hidup.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/32)

Dalam riwayat lain, kalimat “كُلَّ ذَاتِ جُمْجُمَةِ ” dibaca “كُلُّ ذَاتِ جُمْجُمَةِ ”, menjadi fa’il dengan membaca rafa’ “kullu”, maka ertinya berubah “semua makhluk hidup memakannya.” Menurut sebagian ulama, membaca nashab dipandang lebih tepat dalam sudut pandang riwayat dan maknanya. Mereka berhujah, “li-anna al-humamah nâr, fahiya ta’kul lâ tu’kal (kerana humamah adalah api, maka [sifat]nya adalah melahap, bukan dilahap).” (Lihat al-Raudl al-Unuf, 1/62)

Raja Rabi’ah bin Nasr membenarkan tekaan Sathih, lalu ia bertanya: Apa takwil mimpi itu menurutmu?” Sathih menjawab:

أَحْلِفُ بِمَا بَيْنَ الْحَرَّتَيْنِ مِنْ حَنَشٍ، لَتَهْبِطَنَّ أَرْضَكُمْ الْحَبَشُ، فَلَتَمْلِكَنَّ مَا بَيْنَ أَبْيَنَ إلَى جُرَشَ

“Aku bersumpah demi siang dan malam, bahawa orang-orang Habsyi pasti menginjak negeri kamu semua, mereka pasti menguasai daerah antara Abyan sampai Juras.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/33)

Rabi’ah bin Nasr terkejut dan berkata: “Sungguh hal ini sangat menyakitkan kita semua, bila ia akan terjadi? Pada masaku atau setelahku?” Sathih menjawab: “Bukan di masa Baginda, tapi setelahnya, enam puluh atau tujuh puluh tahun yang akan datang.” Rabi’ah kembali bertanya: “Apakah daerah tersebut berada dalam kekuasaan mereka selama-lamanya?” Sathih menjawab: “Tidak. Daerah tersebut berada dalam kekuasaan mereka sekitar tujuh puluh tahun lebih, setelah itu mereka dibunuh dan lari dengan terbirit-birit.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/33)

“Siapa yang membunuh dan mengusir mereka?” tanya Rabi’ah bin Nasr. Sathih menjawab:

 يَلِيهِ إرَمُ ذِي يَزَنَ، يَخْرُجُ عَلَيْهِمْ مِنْ عَدَنَ، فَلَا يَتْرُكُ أَحَدًا مِنْهُمْ بِالْيَمَنِ

“Orang itu adalah Iram Dzi Yazan, dia mendatangi mereka dari Adn dan tidak meninggalkan seorang pun dari mereka di Yaman.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/33) Rabi’ah bin Nasr melanjutkan pertanyaannya: “Apakah daerah-daerah tersebut berada dalam kekuasaannya atau tidak?” Sathih menjawab: “Tidak.” Rabi’ah bin Nasr kembali terkejut sambil bertanya: “Siapa orang yang mengakhirinya?. Sathih berkata:

نَبِيٌّ زَكِيٌّ، يَأْتِيهِ الْوَحْيُ مِنْ قِبَلِ الْعَلِيِّ، قَالَ: وَمِمَّنْ هَذَا النَّبِيُّ؟ قَالَ: رَجُلٌ مِنْ وَلَدِ غَالِبِ بْنِ فِهْرِ بْنِ مَالِكِ بْنِ النَّضْرِ، يَكُونُ الْمُلْكُ فِي قَوْمِهِ إلَى آخِرِ الدَّهْرِ. قَالَ: وَهَلْ لِلدَّهْرِ مِنْ آخِرٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، يَوْمٌ يُجْمَعُ فِيهِ الْأَوَّلُونَ وَالْآخِرُونَ يَسْعَدُ فِيهِ الْمُحْسِنُونَ وَيَشْقَى فِيهِ الْمُسِيئُونَ قَالَ: أَحَقٌّ مَا تُخْبِرُنِي؟ قَالَ: نَعَمْ، وَالشَّفَقِ وَالْغَسَقِ، وَالْفَلَقِ إذَا اتَّسَقَ إنَّ مَا أَنْبَأْتُكَ بِهِ لَحَقٌّ.

“Seorang nabi yang suci, yang memperoleh wahyu dari Zat Yang Maha Tinggi. Rabi’ah bin Nasr bertanya: ‘Dari mana nabi itu berasal?’ Sathih menjawab: ‘Ia merupakan salah seorang keturunan Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr, kekuasaan berada dalam genggaman kaumnya sampai dunia berakhir.’ Rabi’ah berkata: ‘Apakah dunia memiliki akhir?’

Sathih menjawab: ‘Ya, satu hari di mana manusia generasi pertama sampai generasi terakhir dikumpulkan di dalamnya. Pada hari itu, orang-orang yang selalu berbuat baik akan bahagia dan orang-orang yang jahat akan celaka.’

Rabi’ah bertanya lagi: ‘Apakah benar apa yang kau jelaskan kepadaku?’ Sathih menjawab: ‘Ya, demi sinar merah ketika matahari tenggelam, demi malam yang gelap gelita, demi subuh jika fajar telah menyingsing. Sesungguhnya apa yang kuceritakan kepadamu merupakan kebenaran sejati.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah,1/33)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply