Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam peperangan Badar dikatakan bahawa 70 orang kafir Quraisy meninggal dunia. Justeru, Nabi SAW bercakap dengan mereka yang telah mati termasuk Abu Jahal, boleh kisahkan hal tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Seramai 14 orang tentera Islam syahid terdiri daripada 6 dari kalangan Muhajirin dan 8 orang Ansar. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dalam kesyirikan, iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Yang ditawan pula seramai 70 orang. Kemenangan berpihak kepada orang Islam.
Setelah selesai peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang besar dan dipanggil sebagai qalib. Kemudian sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:
يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ! يَا أُمَيَّةَ بْنَ خَلَفٍ! يَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! يَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! أَلَيْسَ قَدْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي قَدْ وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا
Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”
Saidina Umar R.A yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata,
يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَسْمَعُوا وَأَنَّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab. Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.”
Nabi SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ وَلَكِنَّهُمْ لَا يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا
”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.”
Riwayat Muslim (5121)
(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 108)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445