#3311: Surat Rasulullah SAW kepada Qaisar Maharaja Rom

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan sikap yang diambil oleh Maharaja Rom ketika menerima surat daripada Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara reaksi Qaisar terhadap surat tersebut ialah dia menghadiahkan kepada Dihyah bin Khalifah al-Kalbi (pembawa surat Rasulullah) dengan harta dan pakaian.

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas R.Anhuma berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menulis surat kepada Qaisar untuk menyeru kepada Islam, dan Baginda mengutus suratnya kepada  Qaisar melalui Dihyah al-Kalbi, kemudian Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya supaya menyerahkan surat itu kepada pembesar Basrah untuk diberi kepada Qaisar, Dan sesungguhnya ketika Qaisar diberi kemenangan daripada Allah SWT dalam menghadapi tentera Parsi, maka dia berjalan dari Hims hingga ke Iliya’ sebagai tanda syukur atas nikmat kemenangan yang diberikan Allah kepadanya, ketika surat Rasulullah SAW sampai kepada Qaisar, maka dia berkata ketika membacanya: ‘Carikan di sini untukku salah seorang daripada kalangan kaumnya, agar aku boleh bertanya kepada mereka berkenaan Rasulullah SAW.’” (Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no. 2940)

Ibn Abbas berkata: Abu Sufyan bin Harb mengkhabarkan kepadanya bahawa Hercules telah mengutuskan orang untuk menjemput beliau bersama pengikutnya daripada golongan Quraisy. Mereka sedang melakukan aktiviti perdagangan di Syam. Peristiwa ini berlaku pada masa Rasulullah SAW mengadakan perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan orang-orang kafir Quraisy. Mereka pun pergi mengadap Hercules yang sedang berada di Iliya’. Hercules menjemput mereka ke majlisnya. Pada ketika itu, beliau dikelilingi pembesar-pembesar Rom.

Lalu Qaisar bertanyakan kepadanya berkenaan ciri dan sifat-sifat Nabi akhir zaman. Beliau kemudian menceritakan berkenaan apa yang ditayakan oleh Qaisar berkenaan dengan sifat-sifat Nabi yang ingin diketahuinya.

Setelah diterangkan, Qaisar berkata: “Inilah sifat-sifat para Nabi, sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa dia akan keluar, akan tetapi aku tidak mengetahui bahawa dia berasal dari kalangan kamu, sekiranya apa yang engkau katakan itu benar, maka telah hampir masa bahawa dia akan menguasai tanah yang berada di bawah tapak kakiku ini. Sekiranya ada harapan untukku untuk pergi menemuinya, maka aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menemuinya, kalau aku berada di sampingnya maka aku akan mencuci kedua-dua kakinya (untuk berkhidmat kepadanya).”

Kemudian beliau meminta surat Rasulullah SAW yang dihantar oleh Baginda SAW melalui Dihyah al-Kalbi R.A kepada pembesar Basrah. Lalu dia menyerah-kannya kepada Hercules, maka dibacanya dan isinya berbunyi:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ، إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ: فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، وَأَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، وَإِنْ تَوَلَّيْتَ، فَعَلَيْكَ إِثْمُ الأَرِيسِيِّينَ وَ: {يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ، أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا، وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ، فَإِنْ تَوَلَّوْا، فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maksudnya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dari Muhammad hamba Allah dan utusan-Nya, kepada Hercules, pembesar Rom, salam sejahtera bagi mereka yang mengikut petunjuk. Amma ba’d, Sesungguhnya aku mengajakmu dengan seruan Islam, hendaklah engkau masuk Islam maka engkau akan selamat, hendaklah engkau masuk Islam maka Allah akan memberikan kepada engkau pahala dua kali ganda, dan sekiranya engkau berpaling maka tanggunglah segala dosa Arissiyyin: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.’ Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.”[Surah Ali ‘Imran: 64].’”

Abu Sufyan berkata: “Ketika dia selesai segala ucapannya maka mulalah kedengaran dengan kuat suara para pembesar Rom yang berada di sekeliling Qaisar dengan banyaknya bunyi bising dan pekikan dari mereka. Aku tidak mengetahui apa yang mereka katakan, dan kami diperintahkan supaya dikeluarkan.

Dalam riwayat lain diceritakan bahawa, Hercules berangkat ke Hims, tetapi sebelum tiba di Hims, surat balasan dari sahabatnya telah tiba kepadanya terlebih dahulu, surat yang menyatakan bersetuju dengan pendapat Hercules tentang kemunculan Nabi SAW dan bahawa Baginda SAW benar-benar seorang Nabi. Maka, Hercules memerintahkan para pembesar Rom untuk hadir ke istananya di Hims. Kemudian beliau mengarahkan agar pintu-pintu istana ditutup, lalu beliau naik ke tempat yang tinggi dan berucap: “Wahai sekalian bangsa Rom, adakah kamu hendak berjaya dan mendapat petunjuk? Adakah kamu mahu kerajaanmu terus kekal? Kalau begitu, berilah taat setiamu kepada Nabi ini?”

Sebaik sahaja mereka mendengar ucapan Hercules, mereka lari bagaikan keldai liar dan terus berkejaran ke pintu tetapi pintu-pintu didapati telah terkunci. Melihat keadaan mereka yang melarikan diri dan merasakan tiada harapan untuk mereka akan beriman, beliau berkata: “Kembalikan mereka kepadaku.” Selanjutnya beliau berkata: “Sebenarnya aku berkata demikian untuk menguji keteguhan kamu di atas agamamu dan ia telah pun aku lihat.” Mereka pun bersujud di hadapannya dan berpuas hati dengannya. Demikianlah akhir kisah Hercules. (Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no. 7 dan 2941) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 160-161)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (894)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *