#3330: Bekerja Di Syarikat Yang Berurus Niaga Dengan Pemborong Arak

Soalan:

Assalam Dr,  saya ada kemusykilan mohon pencerahan. Apa hukumnya kalau bekerja di syarikat IT yang membekalkan peralatan pembayaran seperti kad kredit  atau debit atau apps pembayaran tetapi ada sebahagian client syarikat itu adalah kedai penjual arak. Majoriti client adalah kedai runcit , pasaraya tapi terdapat sebahagian dari client syarikat adalah kedai pemborong arak. Kedai arak = liquor store

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Sesungguhnya kejayaan itu hanya akan dicapai sekiranya meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT terutama perbuatan-perbuatan buruk  iaitu arak yang melibatkan segala sesuatu yang merosakkan akal fikiran  disebabkan kesan  mabuk  serta segala bentuk perjudian atau taruhan yang merugikan dan menguntungkan kedua belah pihak. Selain itu  juga penyembahan berhala, patung-patung berhala dan segala sesuatu yang disembah selain Allah. Termasuk juga suatu amalan kuno di mana orang mencari nasib atau keputusan dengan melempar anak panah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.243 )

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Tirmizi (1295)

Nas-nas di atas menunjukkan bahawa  setiap muslim diwajibkan untuk menjauhi arak kerana di dalamnya terdapat kerosakan yang lebih besar daripada manfaatnya. Selain itu juga, menjadi kewajiban untuk menjauhi segala hal yang terkait dengannya, seperti proses pembuatan, pengiriman, dan segala aspek yang berhubungan dengan arak.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, dalam situasi masa kini yang agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan maka kami berpandangan dibolehkan bekerja di syarikat tersebut. Ini kerana masalah ini sukar untuk dielakkan. Kita mengharapkan supaya diampunkan Allah SWT atas perkara-perkara yang terkhilaf sebagaimana yang telah dinyatakan dalam  firmannya:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya.

(Surah al-Ma’idah:95)

Bagaimanapun, adalah penting untuk saudara memilih skop pekerjaaan yang hanya melibatkan perkara-perkara yang dibenarkan oleh syara dan mengelak daripada terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan dengan syarikat arak. Jika terdapat pilihan lain untuk mencari rezeki di tempat lain yang tidak melibatkan perkara-perkara haram atau yang mempunyai keraguan, adalah lebih baik untuk memilih pekerjaan tersebut. Dalam Islam, mengamalkan pekerjaan yang bebas dari unsur-unsur haram atau syubhah adalah penting. Hal ini bagi memastikan rezeki yang diperolehi itu  dari sumber yang halal serta untuk menjaga kesucian jiwa dan agama.

Allah SWT memerintahkan kita untuk saling membantu dalam hal-hal yang baik  bukan dalam hal-hal yang mendapatkan kemurkaanNya. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490; Ma’alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/13-14)

Justeru kami katakan, sebaik-baik pekerjaan adalah yang halal bahkan tidak wujud sebarang syubhah atau kesamaran sama ada halal atau tidak. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)

Oleh yang demikian, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *