#3333: Pemakaman Nabi Yusuf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami kisah wafatnya Nabi Yusuf dan bagaimana pemakamannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah Yusuf AS menyedari bahawa nikmat yang diberikan Allah SWT kepadanya telah sempurna, yakni menjadi nabi, dengan dirinya yang telah berkumpul lagi dengan keluarganya, serta menjadi penguasa Mesir, beliau juga sadar bahawa kehidupannya di dunia adalah fana.

Justeru, Yusuf AS memohon kepada Allah SWT agar diwafatkan dalam keadaan memeluk Islam dan berharap kelak dipertemukan dengan hamba-hamba-Nya yang soleh. Doa Nabi Yusuf ini Allah SWT rakamkan di dalam al-Quran seperti berikut:

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.

(Surah Yusuf: 101)

Sebelum Yusuf AS wafat, Allah terlebih dahulu mewafatkan Nabi Yaqub. Dijelaskan bahwa Nabi Yaqub menetap di Mesir bersama Yusuf AS selama 17 tahun. Sebelum wafat, Nabi Yaqub berwasiat kepada Yusuf agar mengebumikannya di wilayah Syam di sisi makam bapa saudaranya dan ayahnya, iaitu Ibrahim dan Ishaq. Demikian Nabi Yaqub pun wafat pada usia sekitar 140 tahun.

Beberapa tahun setelah kepergian ayahnya, Yusuf AS juga dipanggil Allah SWT ke hadapannya. Beliau wafat dan juga dikebumikan di tempat pemakaman orang tuanya. Yusuf AS diketahui wafat pada usia 120 tahun.

Mengenai tempat dimakamkannya nabi Yusuf AS, Rasulullah SAW pernah menyebutkan dalam sebuah hadith yang sahih.

Bahawa pernah suatu hari, Nabi Musa As hendak ingin keluar dari Mesir, mengeluarkan jenazah Nabi Yusuf dari makam di dalam air kemudian membawanya ke Baitul Maqdis.

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Hakim dalam Mustadraknya dari Abu Musa, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ لَمَّا سَارَ بِبَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ مِصْرَ ضَلُّوا الطَّرِيقَ فقَالَ: مَا هَذَا؟ فقَالَ عُلَمَاؤُهُمْ: إِنَّ يُوسُفَ عَلَيْهِ السَّلَامُ لَمَّا حَضَرَهُ الْمَوْتُ أَخَذَ عَلَيْنَا مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ أَنْ لَا نَخْرُجَ مِنْ مِصْرَ حَتَّى نَنْقُلَ عِظَامَهُ مَعَنَا قَالَ: فَمَنْ يَعْلَمُ مَوْضِعَ قَبْرِهِ؟ قَالَ: عَجُوزٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَبَعَثَ إِلَيْهَا فَأَتَتْهُ فقَالَ: دُلِّينِي عَلَى قَبْرِ يُوسُفَ قَالَتْ: حَتَّى تُعْطِيَنِي حُكْمِي قَالَ: وَمَا حُكْمُكِ؟ قَالَتْ: أَكُونُ مَعَكَ فِي الْجَنَّةِ فَكَرِهَ أَنْ يُعْطِيَهَا ذَلِكَ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ: أَنْ أَعْطِهَا حُكْمَهَا فَانْطَلَقَتْ بِهِمْ إِلَى بُحَيْرَةٍ مَوْضِعِ مُسْتَنْقَعِ مَاءٍ فَقَالَتْ: أَنْضِبُوا هَذَا الْمَاءَ فَأَنْضَبُوهُ فَقَالَتْ: احْتَفِرُوا فَاحْتَفَرُوا فَاسْتَخْرَجُوا عِظَامَ يُوسُفَ فَلَمَّا أَقَلُّوهَا إِلَى الْأَرْضِ وَإِذَا الطَّرِيقُ مِثْلُ ضَوْءِ النهار

Maksudnya: ….Bani Israil berkata: “Dahulu ketika Nabi Yusuf hendak menghadapi ajalnya, sebenarnya ia telah mengambil janji Allah atas kami iaitu perjanjian agar kami tidak pergi keluar dari Mesir sampai kami memindahkan jenazahnya bersama kami.”

Mendengar hal itu Nabi Musa bertanya: “Siapa diantara kalian yang mengetahui makam Nabi Yusuf?”

Lalu mereka menjawab: “Yang tahu makam beliau hanyalah seorang wanita tua dari Bani Israil.”

Kemudian Nabi Musa meminta wanita tua itu untuk dihadirkan dan ketika sudah bertemu dengan wanita tua itu: “Tunjukanlah kepadaku dimanakah makam Nabi Yusuf?”

Lalu wanita tua itu segera mengajak Nabi Musa, ke sebuah danau dan berkata: “Keringkanlah air di danau ini.”

Maka Bani Israil pun mengeringkan air itu dan ketika airnya telah surut ia berkata: “Galilah disini dan keluarkanlah jenazah Nabi Yusuf AS”.

Setelah menemukan jenazah Nabi Yusuf, diangkatlah dari tanah dan seketika itu jalan-jalan terus kelihatan terang seperti siang hari. Lalu mereka membawa mayat itu ke Palestin.

Ada seorang ulama dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ketika Nabi Yusuf wafat, jenazahnya dimasukkan pada sebuah peti yang diperbuat dari batu marmar dan dimakamkan di tengah sungai Nil.

Hujahnya ialah adalah kerana ketika beliau meninggal, rakyat Mesir saling berebut untuk membawa manusia mulia ini ke wilayah mereka masing masing agar mendapatkan berkat daripadanya.

Dan akhirnya diputuskan untuk dimakamkan di tengah sungai Nil, kerana aliran sungai tersebut melintasi ke pelbagai tempat dan berkatnya akan dirasakan secara serata.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *