Soalan:

Apa hukum bekerja di kedai buku yang menjual buku agama selain Islam? Contoh: buku tentang Kristian, Krismas.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Surah al-An’am (162)

Kami menyatakan bahawa kerja adalah sebahagian daripada kehidupan yang seharusnya dijalani kerana kerelaan Allah SWT dan dengan tujuan mencari keredhaan-Nya. Sebagai hasilnya, seseorang akan memilih pekerjaan yang halal dan mendapat berkah dari Allah SWT. Dengan demikian, sebuah kehidupan terbentuk di mana setiap aspeknya didedikasikan sepenuhnya kepada kerelaan Allah SWT.

Firman Allah SWT lagi:

وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:  carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Surah al-Juma’ah:10)

Diriwayatkan daripada Zubair Bin Awwam bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِ بِحَزْمَةِ حَطَبٍ عَلَى ظَهْرِهِ فَبَيْعَهَا فَيَكُفَّ الله بها وَجْهَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطُوهُ أَوْ مَنْعُوهُ

Maksudnya: “Bahawa seseorang kamu mangambil tali, kemudian dia mengangkat seikat kayu di belakangnya, lalu dijualnya dengan itu Allah SWT akan mengangkat air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang, sama ada diberikan orang apa yang dimintanya ataupun ditolaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1470), Ibn Majah (1836), al-Nasaie (2589) dan Ahmad (1429)

Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Orang mukmin yang sebenar tidak beramal semata-mata untuk kejayaan dan kemenangan tetapi ia beramal dan bekerja kerana mengikut perintah Allah SWT dan melaksanakan hak ubudiyyah kepada-Nya di samping mencari keredhaan-Nya.”  Jika telah tahqiq demikian itu, serta membawa kejayaan dalam usahanya, maka ia dianggap sebagai kebaikan, bonus dan keberkatan serta kurniaan nikmat daripada Allah SWT. Sebaliknya, jika tidak mencapai kejayaan selepas dia usaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh maka cukuplah bahawa ia telah menunaikan kewajipannya dan menyampaikan risalahnya.

Menjawab persoalan di atas, kami ingin nyatakan bahawa tidak ada kesalahan dalam mencari rezeki atau bekerja di sebuah kedai buku yang menjual buku keagamaan selain Islam. Bagi perkara ini, perlu dibuat perbezaan antara menjual buku tersebut kepada muslim dan bukan muslim.

Dalam konteks menjual buku keagamaan kepada seorang muslim, adalah lebih baik jika bertanya terlebih dahulu tentang tujuan pembelian. Jika pembelian tersebut bertujuan untuk melakukan kajian terhadap keagamaan tertentu atau untuk memahami perbandingan agama, maka kami katakan ia adalah dibenarkan. Namun, sekiranya jualan tersebut kepada seorang muslim yang tidak mempunyai matlamat atau tujuan yang jelas, adalah lebih baik untuk berhati-hati dan mungkin tidak menjualnya. Hal ini kerana kita perlu menghindari kemungkinan yang boleh membawa pembaca kepada pemahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam. Yang demikian bersesuaian dengan satu kaedah usuliyyah  سَدُّ الذَّرِيعَة iaitu suatu yang membawa kepada perkara haram yang mengandungi mafsadah hendaklah ditutup.

Firman  Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490; Ma’alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/13-14)

Sebagai kesimpulannya kami katakan dibolehkan untuk bekerja di kedai buku yang mana kedai tersebut juga ada menjual buku selain dari buku agama Islam akan tetapi dalam menjualnya adalah lebih baik mengetahui tujuan pembelian buku tersebut terlebih dahulu. Kami sarankan supaya buku-buku keagamaan lain sebaiknya dijual oleh pekerja yang bukan beragama Islam kerana itu lah yang lebih terselamat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply