Soalan:

Salam Dr, saya ingin tahu jika suami taklik isteri dengan syarat tidak berlaku curang, dan isteri telah curang dalam keadaan suami tidak mengetahui kecurangan ini, suami dan isteri ini masih serumah dan kemudiannya mendapat anak hasil hubungan dalam keadaan isteri telah curang. Soalannya ialah; Adakah anak yang lahir itu statusnya anak tidak sah taraf? Terima kasih atas kesudian Dr menjawab, Wassalam

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا ‎﴿٣٤﴾‏ وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Imam Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya.

Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula, nusyuz bermaksud  keingkaran isteri mentaati perintah suami, selagi mana perintah tersebut diharuskan Allah SWT.

Suami merupakan seorang ketua dalam sesebuah institusi rumahtangga. Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).”

Riwayat Muslim (1829)

Imam al-Nawawi mengatakan, pemimpin adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaiki setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada di bawah jagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/213)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada hakikatnya  akad perkawhiwnan tersebut telah terbubar kerana isteri telah melakukan perkara yang telah ditaklikkan oleh suami ke atasnya. Oleh yang demikian, kami katakan berdosalah bagi isteri sekiranya tidak memberitahu hal yang sebenar kepada suami kerana ia melibatkan penceraian.  Menyembunyikan perkara yang berkaitan dengan kelangsungan perkahwinan bukanlah tindakan yang wajar dilakukan.

Dalam isu ini kami katakan anak tersebut adalah anak yang sah bukanlah anak zina dan hendaklah dinasabkan kepada ayahnya kerana ia masih lagi dalam ikatan selagimana tidak diputuskan oleh mahkamah jatuhnya talak tersebut. Hal ini sepertimana yang telah diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: “(Nasab) anak adalah kepada pemilik tempat tidur (iaitu suami melalui perkahwinan yang sah) sedangkan (hukuman) bagi penzina adalah batu (rejam).”

Riwayat al-Bukhari (6818) dan Muslim (1458)

Hadis ini merupakan dalil bahawa anak dihukum nasabnya kepada pemilik tempat tidur. Perkara berkaitan keturunan adalah penting untuk dijaga dan disahkan bagi memelihara keturunan serta menjaga martabat. Oleh itu, jika seseorang lahir kepada seorang suami dan kemungkinan besar dia adalah anak daripada suami itu, maka dia akan dianggap sebagai anak suami tersebut dalam hukum, kecuali jika dia disangkal dengan cara bersumpah. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW memutuskan bahawa anak adalah milik suami, kerana dia adalah pemilik tempat tidur. Ibnu Daqiq al-‘Eid berkata, : ‘Hadis ini adalah asas dalam mengaitkan anak kepada pemilik tempat tidur, walaupun ia mungkin berlaku dari percampuran  yang haram. (Lihat Minhah al-’Allam, 8/121)

Justeru kami katakan pengesahan nasab kepada pemilik tempat tidur adalah merupakan perkara yang telah disepakati dikalangan ulama sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ibn Qayyim dan ia merupakan salah satu daripada perkara yang mengesahkan nasab seseorang. Oleh yang demikian kami katakan anak tersebut adalah anak yang sah menurut syara’.

Di kesempatan ini juga suka kami nasihat supaya tidak berlaku curang kepada pasangan kerana dengan perbuatan tersebut akan menimbulkan masalah dalam rumahtangga sehingga boleh membawa kepada penceraian.  Binalah rumahtangga yang harmoni, saling melengkapi antara suami dan  isteri agar terjalinnya hubungan mawaddah wa rahmah.

Selain itu juga kami nasihati  kepada para  isteri agar tidak melakukan sesuatu yang suami tidak suka. Ia bukanlah sifat seorang isteri yang solehah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply