Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah di sana ada amalan yang dianggap paling zalim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrifan zalim itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zalim bermaksud tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam. Ia sering kali digunakan untuk menyifatkan seseorang yang tidak mempunyai belas kasihan, tidak berlaku adil atau kejam.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

(Surah al-An’am: 82)

Perdebatan adalah sesuatu yang baik jika tujuannya untuk meneguhkan agama yang benar. Ia menjadi tercela jika bertujuan untuk membela agama yang batil. Tidaklah menghairankan jika orang musyrik hidup dalam kegelisahan dan kegundahan serta ketakutan pada takdir dan masa depan sebab kemusyrikan adalah sumber ketakutan dan kegelisahan. Ada pun orang Mukmin yang bertauhid, mereka dijamin mendapat ketenangan  dengan syarat adanya dua sifat ini iaitu pertama beriman dalam kesempurnaan ilmu dan kedua tidak mencampuradukkan keimanan dengan kezaliman. Inilah yang dinamakan dengan kesempurnaan secara praktik. Kezaliman yang dimaksudkan ini adalah syirik, kerana syirik merupakan kezaliman yang terbesar. Ayat ini memberi maksud bahawa orang yang beriman kepada Allah SWT dan tidak menetapkan sekutu bagi-Nya dalam beribadah. Allah SWT berhak memberi darjat yang tinggi kepada siapa yang Dia kehendaki. Meninggikan darjat mereka di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/802-803)

Dalam surah Luqman ada menyebut, Luqman menasihatkan anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

(Surah Luqman: 13)

Imam Ibn Kathir menyebutkan dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (6/336), (إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ) bermaksud syirik itu sendiri adalah dosa yang paling besar. Beliau kemudiannya membawakan satu riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya: Ketika diturunkan firman-Nya:

{الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82]، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ‏، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ‏: أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}

Maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik).’ (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Rasulullah SAW. Kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah Saw. bersabda: ‘Bukan demikian yang dimaksudkan dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13).”

Riwayat al-Bukhari (3428) dan Muslim (124)

Semoga Allah SWT jarakkan kita dan jauhkan kita dari sifat zalim sama ada zalim biasa mahu pun zalim yang membawa kepada syirik atau kufur.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply