Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dukacita amat bahaya kepada seseorang hamba?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ

Maksudnya: “Ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”.

(Surah al-Taubah: 40)

Pujukan supaya jangan berdukacita oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq dengan kalimah لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا menunjukkan kepada kita bahawa dalam situasi getir dan musuh benar-benar menghampiri kita tetapi masih lagi bergantung harap seboleh-bolehnya kepada Allah SWT tanpa merasa dukacita. Inilah maqam yang tertinggi, tawakkal dan berharap kepada Allah SWT.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa memang benar, dukacita yang melampau amat bahaya kepada seseorang islam kerana ia kehendak syaitan agar kita lemah dalam menghadapi ujian takdir daripada Allah SWT.

Ibn Qayyim berkata dan maksud bahawa Nabi SAW menjadikan dukacita daripada perkara yang diminta untuk menjauhkannya. Ini kerana, dukacita boleh melemahkan hati, boleh melunturkan keazaman dan boleh memudaratkan kehendak atau perancangan. Justeru, tiada sesuatu yang lebih disukai oleh syaitan dari perasaan dukacita yang ditanggung oelh orang yang beriman. (Lihat Tariq al-Hijrataini, 2/607)

Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.

(Surah al-Mujadalah: 10)

Allah SWT menyeru orang yang beriman agar mereka tidak mengikut sifat-sifat orang yang derhaka. Apabila mereka berbisik-bisik sesama sendiri, hendaklah mereka tidak berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah SAW. Sebaliknya hendaklah mereka berbisik untuk berbuat kebajikan dan untuk bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT memerintahkan mereka supaya tetap dan terus bertakwa kepada-Nya. Mereka semua akan dihimpunkan kepada-Nya pada hari kiamat untuk dihitung amal mereka dan menerima balasan. Kemudian, Allah SWT menjelaskan bahawa perbuatan berbisik dengan kejahatan itu adalah daripada hasutan syaitan yang bertujuan untuk menjadikan orang yang beriman berdukacita. Allah SWT menegaskan bahawa bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikit pun melainkan dengan izin Allah SWT. Lantas, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman supaya mereka bertawakal dan menyerahkan diri hanya kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/658)

Rasulullah SAW telah mengajar satu doa kepada Abu Umamah al-Bahili:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

 Al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).

Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai.

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Kami akhiri sekali lagi dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply