Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, kalau seorang perempuan itu bermusafir dalam keadaan berhadas besar, kemudian mandi wajib ketika masih dalam tempoh musafir, adakah dia boleh solat jamak dan qasar selepas itu selama dia bermusafir? Atau dia perlu solat seperti biasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

Tatacara Mandi Wajib

Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

 Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

Rukun mandi wajib ada tiga:

  • Niat mandi wajib

Niat umum:

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  • Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  • Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan syarat sah solat adalah suci daripada hadas. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk melakukan solat jamak qasar meskipun musafir dalam keadaan junub kerana yang pentingnya sebelum solat, saudari wajib untuk mandi wajib terlebih dahulu. Adapun, berkaitan solat jamak, jika menepati syarat-syarat untuk melakukan jamak dan qasar seperti jarak melebihi 2 marhalah (81 km), kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat). Dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jaraknya 89 km dan secara tepatnya 88.704 km. Maka, tidaklah menjadi masalah untuknya jamak dan qasar. Hal ini kerana Allah memberi rukhsah (keringanan) kepada hambanya bagi memudahkan urusan hambanya.

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply