Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Di pejabat saya ada satu ruangan tandas yang terbiar atau tidak digunakan lagi atas beberapa sebab tertentu. Soalan saya, bolehkah ruangan tandas itu diubahsuai untuk dijadikan sebagai ruangan solat atau musala, khususnya bagi kegunaan pekerja Muslim? Lagi-lagi kalau dibiarkan dikhuatiri terbazir begitu sahaja. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, di sana terdapat beberapa tempat yang disebut oleh Nabi SAW sebagai tempat yang dilarang untuk solat di dalamnya, dan di antara tempat itu ialah tandas atau bilik mandi (bilik air). Hal ini dijelaskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

Begitu juga disebutkan di dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi seluruhnya adalah masjid (tempat untuk sujud/solat) melainkan perkuburan dan bilik mandi (atau tandas).

Riwayat al-Tirmizi (317)

Menurut al-Mubarakfuri, hadith ini menunjukkan kepada larangan untuk mendirikan solat di perkuburan dan bilik mandi (atau bilik air), dan para ulama berselisih pendapat mengenai hukumnya. Imam Ahmad berpendapat bahawa solat yang didirikan di dalamnya adalah tidak sah. Manakala jumhur ulama pula berpendapat, solat yang didirikan adalah sah dengan syarat bersih daripada najis dan ia dihukumkan sebagai makruh. Namun, al-Mubarakfuri kemudiannya menyatakan bahawa zahir hadith menunjukkan ia adalah dilarang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/219-220).

Selain daripada itu, al-Syirazi ada menyatakan bahawa para ashab kami berselisih pendapat mengenai makna larangan solat di dalam bilik mandi. Sebahagian mereka berpendapat dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia tempat mensucikan najis. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu solat di tempat yang diyakini suci, maka sah solatnya, dan sekiranya dia solat di tempat yang diyakini kenajisannya, maka solatnya tidak sah. Namun, sekiranya dia syak (sama ada tempat itu suci daripada najis ataupun tidak), maka dalam hal ini terdapat dua pendapat sebagaimana halnya orang yang solat di perkuburan.  Manakala sebahagian mereka lagi pula berpendapat, dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan, bila mana aurat terdedah di dalamnya. Oleh itu, dihukumkan sebagai makruh untuk mendirikan solat di dalamnya sekalipun diyakini suci daripada najis dan solatnya dikira sah kerana larangan tersebut tidak berkaitan dengan solat itu sendiri. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/122).

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyebutkan, pendapat yang paling sahih (asah) bahawa sebab larangan (solat di bilik mandi/bilik air) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka dihukumkan sebagai makruh tanzih dan solatnya adalah dikira sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/159).

Dalam menjawab soalan di atas, apabila tandas terbiar itu telah berlaku pengubahsuaian atau renovation, di mana kawasan-kawasan yang bernajis dibersihkan, mangkuk-mangkuk tandas dikeluarkan dan seumpamanya, kemudian ruang itu diubah menjadi ruangan lain yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat solat, maka kami melihat tidak ada sebarang alasan mahupun halangan lagi untuk ia tidak boleh dijadikan sebagai ruangan solat atau musala.[1]

Hal ini kerana selama mana tempat tersebut bersih dan tidak lagi menjadi tandas, maka ia adalah dibolehkan kerana ‘illah (sebab) larangan untuk solat di dalamnya sudah lagi tiada. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Begitu juga kaedah fiqh lain menyebutkan:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.”

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, kaedah ini bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya sebab atau ‘illah. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 4/80).

Berdasarkan kaedah di atas, difahami bahawa seseorang itu dilarang untuk solat di dalam kawasan tersebut kerana ia adalah tandas. Justeru, apabila sebab yang membawa kepada larangan itu dihilangkan, maka ia kembali kepada hukum asalnya. Dalam erti kata lain, seseorang boleh mendirikan solat di mana-mana tempat yang bersih termasuklah di dalam tempat atau ruangan tersebut. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya.

Riwayat al-Bukhari (438)

Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya mengenai adakah dibolehkan untuk mengubahsuai bilik air menjadi musala? Ringkasnya, Syeikh bertanya kepada penanya itu: “Mengapa tidak dibenarkan untuk solat dalam tandas?” Penanya itu menjawab: “Kerana ia tempat najis.” Syeikh berkata: “Kerana ia najis. Jadi, apabila najis itu dibuang dan dibersihkan, adakah dibolehkah solat?” Orang itu menjawab: “Ya.” Syeikh berkata: “Sekarang, jika tanah itu bernajis dan kemudian dibersihkan dengan air, bukankah diharuskan untuk mendirikan solat di atasnya? Seorang Arab Badwi pernah datang ke masjid lalu dia kencing. Maka Nabi SAW memerintahkan agar dituangkan air ke atas tempat kencingnya itu, kemudian ia menjadi suci dan dibolehkan untuk solat padanya. Hal ini adalah sebagaimana jika kubur-kubur dibongkar lalu dijadikan tempat itu sebagai masjid, maka dibolehkan solat di tempat itu. Tidakkah engkau mengetahui bahawa Masjid Nabawi dahulu padanya terdapat kubur-kubur Musyrikin, kemudian kubur-kubur itu dibongkar (dan dipindahkan), lalu dijadikan tempat itu sebagai Masjid Nabawi, yang mana solat di dalamnya adalah lebih baik daripada seribu solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram?! Adakah kamu faham? Penanya itu menjawab: “Ya.” Syeikh menambah lagi: “Jadi, hukum itu bergantung kepada ‘illahnya. Sekarang ini, air boleh disucikan dengan bahan-bahan kimia seperti mensucikan/membersihkan air bernajis dan air kumbahan. Apabila bahan kimia ini dimasukkan ke dalamnya, lalu ia menjadi suci, maka tidak menjadi masalah. Peganglah kaedah dalam syarak yang menyatakan bahawa ‘sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.’”[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan dan tidak menjadi masalah untuk melakukan pengubahsuaian atau renovation terhadap tandas terbiar bagi dijadikan sebagai musala atau ruangan solat. Bahkan sah serta tidak makruh mendirikan solat di dalamnya selepas ditukar menjadi musala.

Apatah lagi, semasa proses renovation semua kawasan-kawasan yang bernajis akan dihilangkan/dibersihkan seperti mangkuk tandas, begitu juga tile atau lantai akan diganti dan seumpamanya. Begitu juga selepas renovation kebiasaannya ruangan itu akan berubah sekalipun tidak sepenuhnya dan seboleh-bolehnya hilangkanlah tanda-tanda yang menampakkannya sebagai tandas dan sebaliknya berusahalah untuk menzahirkannya sebagai kawasan solat/musala. Selain itu, selepas pengubahsuaian untuk dijadikan sebagai ruangan solat, ia tidak lagi dikenali mahupun dapat dipanggil sebagai tandas. Jadi, tidak ada sebarang alasan mahupun halangan lagi untuk ia tidak boleh dijadikan sebagai ruangan solat atau musala.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Musala ialah tempat sembahyang. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=musala. Diakses pada 4 Oktober 2023).

[2] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/76034/حكمتحويلدوراتالمياهالىمصلى. Diakses pada 5 Oktober 2023.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply