Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. 1. Bagaimana keadaan saya dan isteri; adakah kami dikira bercerai? Macam ini ustaz. Saya dan isteri ada berlaku salah faham dan kami bergaduh besar. Kemudian isteri saya minta berpisah. Berulang kali ulang yang sama. Saya masih diam. Kemudian isteri saya cabar saya untuk ikut apa yang dia cakap.
Isteri: Aku ceraikan hang.
Suami: Aku ceraikan dia.
Atas niat saya untuk jernihkan keadaan. Dan tidak ada niat untuk ceraikan isteri saya. Dan waktu cakap itu, saya langsung tidak pandang dia.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”
Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)
Menurut Imam al-Baijuri:
“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak diihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)
Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:
“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam situasi ini telah jatuh talak yang diucapkan saudara kerana ‘dia’ itu merujuk kepada si isteri, serta kalimah ‘ceraikan’ itu juga lafaz sorih yang mana tanpa niat sekali pun akan jatuh talak. Melainkan, si suami mempunyai dua isteri, maka ketika itu perlu ditentukan isteri yang mana. Meskipun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, sebaiknya saudara merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Kaedah menyebut:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Nasihat kami janganlah bermudah-mudahan untuk mengucap kalimah cerai kerana dikhuatiri akan terjatuh. Sekalipun marah, janganlah menggunakan kalimah/ayat-ayat sebegitu kerana diakhir kemarahan itu akan wujudnya penyesalan.
أَوَّلُهُ جُنُونٌ وَآخِرُهُ نَدَمٌ
Maksudnya: “Marah ini awalnya adalah gila dan akhirnya dengan penyesalan.”
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihati pasangan suami isteri agar meletakkan keredhaan Allah SWT untuk dicapai sebagai keutamaan dalam hidup. Dengan cara ini suami isteri sentiasa muhasabah diri, melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta menghendaki sakinah, rahmah dan mawaddah dalam perkahwinan tersebut.
Justeru, perlu difahami setiap perkahwinan mempunyai konflik dan cabaran, namun sejauh mana seseorang itu menghadapinya hendaklah berpandukan kepada hukum syara’.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445