Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya bercadang hendak meletakkan nama anak saya dengan nama “binyamin/bunyamin.” Namun saya terbaca di media sosial mengatakan yang tidak digalakkan menggunakan nama tersebut kerana dikhuatiri menyerupai golongan yahudi atau ahli kitab. Benarkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, Binyamin atau Bunyamin, bahkan Banyamin adalah merujuk kepada nama saudara atau adik kandung kepada Nabi Yusuf A.S. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad Murtadha al-Zabidi bahawa:
بِنْيامِين بالكسْر: اسمُ أَخٍ لسيِّدِنا يوسُفَ الصِّدِّيق، عَلَيْهِمَا السَّلَام، لأُمِّه وأَبيه
Maksudnya: “Binyamin dibaca dengan baris bawah (pada huruf ba’) iaitu nama saudara/adik kepada Saidina Yusuf al-Siddiq ‘Alaihima al-Salam, iaitu saudara seibu sebapa — adik kandung.” (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 34/286).
Sebutannya dengan baris atas pada huruf ba’ ada dinyatakan oleh Muhammad al-Amin bin Abdullah al-Urami al-Harari ketika menafsirkan ayat:
إِذْ قَالُوا لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: “(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): ‘Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.’”
(Surah Yusuf: 8)
Beliau menyebutkan bahawa:
{وَأَخُوهُ} الشَّقِيقُ بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَفَـتْحِهَا
Maksudnya: “Dan saudaranya iaitu adik kandungnya, Binyamin boleh dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan huruf ba’ berbaris atas — iaitu Banyamin.” (Lihat Tafsir Hada’iq al-Ruh wa al-Raihan fi Rawabi ‘Ulum al-Quran, 13/322).
Begitu juga Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi turut menyebutkan dalam kitabnya ketika menafsirkan ayat 8 Surah Yusuf (sebagaimana dinyatakan di atas) bahawa:
وَأَخُوهُ الشَّقِيقُ بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَفَـتْحِهَا
Maksudnya: “Dan adik kandungnya, Binyamin boleh dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan huruf ba’ berbaris atas — iaitu Banyamin.” (Lihat Marah Labid li Kasyf Ma‘na al-Qur’an al-Majid, 1/523).
Manakala sebutannya dengan baris depan pada huruf ba’ ada dinyatakan oleh ‘Isamuddin Ismail bin Muhammad al-Hanafi dalam kitabnya bahawa:
بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَنُـقِلَ بِضَمِّ الْبَاءِ
Maksudnya: “Binyamin dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan dinukilkan juga dibaca dengan huruf ba’ berbaris depan — iaitu Bunyamin.” (Lihat Hasyiah al-Qunawi ‘ala Tafsir al-Baidhawi, Cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 10/259)
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami nyatakan bahawa di antara nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah seperti Abdullah atau ‘Abd al-Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ
Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Harith dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”
Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)
Seterusnya, menamakan anak dengan nama Binyamin atau Bunyamin dan seumpamanya adalah dibolehkan pada asalnya, dan tidak ada apa-apa halangan pada nama itu sendiri yang menunjukkan bahawa tidak dibenarkan memanggil anak dengan nama ini. Akan tetapi kebiasaannya orang-orang Yahudi yang menggunakan nama ini dan tidak dianggap sebagai adat orang Islam untuk memberikan nama ini kepada anak seseorang, atas alasan tersebut sebahagian ulama melarang untuk menggunakan nama ini. Di sana terdapat dalam kalangan para sahabat al-Masih A.S yang bernama Matta (Matius), Yuhanna (John) dan sebagainya, tetapi tidak syak lagi ini bukan nama yang digunakan oleh umat Islam pada masa kini. Oleh itu, para ulama tidak membenarkan memanggil anak-anak seseorang dengan nama-nama ini.
Mengenai hal ini, Ibn al-Qayyim ada menyebutkan, nama terbahagi kepada tiga kategori:
- Pertamanya, nama yang khusus untuk kaum Muslimin.
- Keduanya, nama yang khusus untuk orang kafir (bukan Islam).
- Ketiganya, nama yang dikongsi bersama.
Di antara contoh nama pada kategori pertama adalah seperti Muhammad, Ahmad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah dan al-Zubair. Mereka – iaitu ahli Zimmah – tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan nama-nama ini.
Kemudian di antara contoh nama pada kategori kedua adalah seperti Jurjus (George), Butrus (Peter), Yuhanna (John), Matta (Matthew) dan seumpamanya. Mereka tidak boleh dihalang daripada menggunakan nama-nama ini, tetapi tidak dibenarkan bagi orang Islam untuk menggunakan nama-nama ini, kerana padanya terdapat penyerupaan dalam sesuatu yang dikhususkan bagi mereka.
Kemudian di antara contoh nama pada kategori ketiga pula adalah seperti Yahya, Isa, Ayyub, Daud, Sulaiman, Zaid, ‘Amr, Abdullah, ‘Atiyyah, Mauhub, Salam dan sebagainya. Nama-nama ini tidak dilarang sama ada untuk ahli Zimmah atau kaum Muslimin. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/1317).
Tambahan lagi, ulama al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya mengenai memanggil atau menggunakan nama-nama seperti Jurjus (George), Butrus (Peter), Yuhanna (John), Mikha’il (Michael) dan Binyamin ketika bergurau kepada seseorang, adakah ia haram? Nama-nama itu tidak digunakan untuk memanggil antara satu sama lain melainkan ketika bergurau sesama mereka.
Mereka menjawab, amalan seperti ini tidak boleh. Ini kerana ia termasuk dalam penyerupaan dengan orang-orang kafir pada nama-nama mereka. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” Justeru, wajib ke atas kita untuk mengelakkan panggilan dengan nama-nama asing ini, walaupun hanya sekadar gurauan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/32).
Selain daripada itu, sebagaimana yang kita ketahui bahawa menamakan anak dengan nama-nama para nabi termasuk dalam penamaan yang baik lagi digalakkan (mustahabbah). Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (3/26) bahawa adalah baik untuk menamakan anak dengan nama-nama para nabi seperti Ibrahim, Nuh, Muhammad, Soleh dan seumpamanya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa adik-beradik Nabi Yusuf A.S, kesemua mereka adalah nabi. Nama-nama adik-beradik Nabi Yusuf A.S sebagaimana disebutkan oleh al-Qurtubi ialah Rubil (رُوبِيلُ) — dan dia adalah anak yang paling sulung di antara mereka, — Syam‘un (شَمْعُونُ), Lawi (لَاوِي), Yahuza (يَهُوذَا), Zayalun (زيالون), Yasyjir (يشجر), Dan (دان), Naftali (نفتالي), Jad (جاد), Asyir (آشر) dan Binyamin (بِنْيَامِينَ). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 9/130).
Akan tetapi pendapat yang kuat (rajih) adalah mereka bukan nabi. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa tidak ada dalil mahupun bukti yang menunjukkan kepada kenabian adik-beradik Nabi Yusuf A.S. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/319). Begitu juga al-Suyuti turut menyebutkan, di sana terdapat dua pendapat ulama mengenai (kenabian) adik-beradik Nabi Yusuf A.S. Pendapat kebanyakan ulama dalam kalangan salaf (terdahulu) mahupun khalaf (terkemudian) ialah mereka bukan nabi. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/367).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, di samping melihat kepada ‘uruf masyarakat Malaysia, kami berpendapat bahawa menamakan anak dengan nama Binyamin atau Bunyamin adalah tidak mengapa. Ini kerana ia kembali kepada hukum asal penamaan itu sendiri iaitu diharuskan, dan tidak ada apa-apa halangan pada nama itu sendiri yang menunjukkan bahawa tidak dibenarkan memanggil anak dengan nama ini seperti ia merujuk kepada nama yang tidak baik dan seumpamanya.
Selain itu, kami juga melihat tidak ada isu penyerupaan atau tasyabbuh dengan orang-orang Yahudi pada nama ini iaitu seseorang itu dengan sengaja ingin meniru penamaan orang Yahudi atau Ahli Kitab. Apatah lagi — setakat yang kami ketahui — orang Muslim Malaysia biasanya mengeja nama ini dengan “Binyamin” atau “Bunyamin” dan bukannya sebagaimana ejaan orang Yahudi atau barat yang biasa memilih nama itu dengan ejaan Benjamin seperti Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan seorang tokoh Amerika Syarikat yang terkenal, Benjamin Franklin.
Sekalipun begitu, kami juga berpendapat bahawa sebaik-baiknya, mengelakkan daripada memilih atau menamakan anak dengan nama ini (iaitu Binyamin/Bunyamin) adalah lebih baik sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf. Bahkan mengelakkan adanya persamaan dengan ahli kitab.
Namakanlah anak dengan nama-nama yang baik dan dipuji, di samping mengandungi pengertian yang baik dan jelas serta difahami seperti nama Abdullah, ‘Abd al-Rahman, Muhammad, Ahmad, Mahmud dan lain-lain. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud (4948)
Pada masa yang sama, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa kita sebagai umat Islam mesti mempunyai identiti tersendiri. Justeru, dengan memilih nama-nama yang mempunyai kaitan rapat dengan Islam seperti nama para nabi, para sahabat, para ulama, orang soleh dan seumpamanya, atau nama-nama baik yang disebutkan dalam al-Quran, maka secara tidak langsung kita telah meninggikan syiar agama Islam dan sekali gus menunjukkan umat Islam mempunyai identitinya yang tersendiri.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445